#6094: Ambergris dalam Minyak Wangi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ingin bertanya berkenaan perfume yang mengandungi ambergris, adakah ia halal dan suci? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas berkenaan ambergris terlebih dahulu. Dalam bahasa Arab, Ambergris dipanggil sebagai ‘Anbar (الْعَنْبَرُ). Syeikh Yahya al-‘Imrani menyebutkan, ‘Anbar itu ialah tumbuhan yang tumbuh di dalam laut kemudian ditelan oleh ikan paus. (Lihat al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafi‘i, 4/160).

Menurut al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, dari segi bahasa ia adalah bahan pepejal yang tiada rasa dan tiada bau melainkan jika dihancurkan atau dibakar. Selain itu, dikatakan bahawa ia adalah tinja haiwan laut. Manakala dari segi istilah pula, diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Ahuma bahawa ‘anbar itu ialah sesuatu yang dilemparkan/diluahkan oleh laut ke pantai. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/288).

 

undefined

 

Gambar di atas: Bekas Berisi Ketulan Ambergris (Sumber gambar: https://ms.wikipedia.org/wiki/Muntah_paus#/media/Fail:Ambergris.jpg)

Namun, mengikut Ensiklopedia Pusat Rujukan Persuratan Melayu yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Ambergris ialah bahan berlilin yang terdapat dalam usus sesetengah ikan paus sperma. Ia berbau kuat apabila dikeringkan dan digunakan dalam minyak wangi yang mahal.[1]

Dalam erti kata lain, ambergris, bahan berlilin pepejal yang berasal dari usus paus sperma (Physeter macrocephalus). Dalam budaya Timur ambergris digunakan untuk ubat-ubatan dan ramuan dan sebagai rempah; di Barat ia digunakan untuk menstabilkan bau minyak wangi yang halus. Ambergris terapung dan dihanyutkan ke darat paling kerap di pantai China, Jepun, Afrika, dan Amerika serta di pulau-pulau tropika seperti Bahamas. Oleh kerana ia diambil sebagai hanyut di sepanjang pantai Laut Utara, ambergris disamakan dengan ambar di wilayah yang sama, dan namanya berasal daripada perkataan Perancis untuk “ambar kelabu.” Ambergris segar berwarna hitam dan lembut serta mempunyai bau yang tidak menyenangkan. Apabila terdedah kepada matahari, udara dan air laut, bagaimanapun, ia mengeras dan pudar kepada kelabu muda atau kuning, menghasilkan wangian yang halus dan menyenangkan dalam proses itu.

Kepingan biasanya kecil, tetapi satu ketulan yang ditemui di Hindia Belanda mempunyai berat kira-kira 635 kg (1,400 paun). Ambergris dahulunya dianggap berasal dari makhluk yang tidak diketahui yang dipercayai. Ia juga dianggap sebagai hasil gunung berapi bawah laut atau najis burung laut. Marco Polo tahu bahawa pelayar Oriental memburu ikan paus sperma untuk ambergris, tetapi dia berpendapat bahawa ikan paus menelannya dengan makanan mereka. Ambergris kini dianggap sebagai bahan pelindung terhadap kerengsaan usus yang disebabkan oleh paruh tanduk yang tidak dapat dihadam dari sotong dan sotong yang dimakan paus sperma. Usus ikan paus boleh menampung hanya ketulan kecil ambergris, jadi kepingan yang lebih besar mesti dimuntahkan. Tidak diketahui dengan tepat bagaimana ambergris terbentuk atau sama ada prosesnya normal atau patologi, begitu juga ambergris tidak ditemui dalam saudara terdekat paus sperma, iaitu Paus nayan (Pygmy sperm whale) dan Paus Sperma Kerdil (Dwarf sperm whale).

Dari segi kimia, ambergris mengandungi alkaloid, asid, dan sebatian tertentu yang dipanggil ambrein, yang serupa dengan kolesterol. Ambergris biasanya dikisar menjadi serbuk dan dilarutkan dalam alkohol cair. Jarang digunakan hari ini disebabkan oleh sekatan perdagangan, wataknya yang berbau musky unik menambahkan aroma tahan lama pada minyak bunga pati, tetapi yang lebih penting, ambergris adalah agen penstabil yang menghalang wangian daripada menyejat. Beberapa komponen kimia ambergris kini dihasilkan secara sintetik.[2]

Seterusnya sebelum menjawab soalan di atas, kita sedia maklum bahawa ambergris sangat sinonim dengan wangi-wangian. Justeru dari sudut hukum, jika ambar dipakai oleh orang yang sedang dalam ihram, maka dia dikenakan fidyah. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa jika kasturi, ambar, atau kafur digesek pada hujung bajunya, atau perempuan meletakkannya pada jubahnya, atau perempuan itu memakai perhiasan yang diisikan dengan bahan-bahan tadi, maka wajib dikenakan fidyah, kerana dia telah menggunakannya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/132).

Begitu juga ambergris terkenal dengan harganya yang sangat mahal. Oleh sebab itu, sebahagian ulama mewajibkan zakat daripadanya. Ini seperti mana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa Ibn al-Munzir dan selainnya menukilkan daripada al-Hasan al-Basri, Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, al-Zuhri, Abu Yusuf, Ishaq bin Rahwaih, bahawa mereka mewajibkan khums pada ‘Anbar. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/6).

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa ambergris adalah suci dan harus untuk digunakan dalam wangi-wangian sebagaimana hukum asalnya kerana ia bukannya najis. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Selain itu, alkohol yang wujud di dalam ambergris atau ‘anbar tidak menjadikannya najis, sekalipun memabukkan, kerana sifatnya dalam bentuk pepejal. Imam Ibn Hajar al-Haitami menyatakan, dalam hadith disebutkan:

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ

Maksudnya: “Setiap yang memabukkan itu adalah arak.”

Justeru tidak termasuk daripada jenis cecair, bahan seperti daun banj, ganja, opium, buah pala, anbar yang banyak, za‘faran. Semua ini memabukkan tetapi sifatnya pepejal maka ia adalah suci. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/289).

Begitu juga jika dikatakan ia bernajis kerana tinggal di dalam perut, maka Imam al-Syafi‘i, tanpa menghukumkan ‘anbar sebagai najis, mengajarkan cara untuk membersihkannya supaya boleh digunakan. Beliau menyebutkan, ‘anbar hendaklah dibasuh agar dibuang apa yang mengotorkannya kemudian jadilah ia halal, boleh dijual beli, dan digunakan sebagai pewangi, disebabkan ia adalah bahan pepejal yang berat, tidak busuk, tidak bercampur dengan bahan yang boleh merosakkannya secara keseluruhan, sebaliknya hanya luarannya sahaja, seperti kotoran yang berada pada luaran kulit yang jika dibasuh maka jadi suci, begitu juga kotoran pada emas, perak, tembaga, plumbum, dan besi. Apabila dibasuh ia menjadi bersih dan kekal sebegitu. (Lihat al-Umm, 3/115).

Apatah lagi ia berasal dari paus sperma yang merupakan haiwan laut yang halal dan tidak berhajat kepada sembelihan serta bangkainya juga dianggap suci. Lalu ia juga keluar ke dalam air laut yang sememangnya suci lagi menyucikan sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: “Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).”

Riwayat al-Tirmizi (68); Abu Dawud (83); al-Nasa’ie (59)

Maka secara tidak langsung, air laut itu telah membersihkan dan menyucikannya sementara ia hendak sampai ke tepi pantai.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian,  berbalik kepada persoalan di atas, kami berpendapat bahawa ambergris yang terdapat dalam minyak wangi adalah suci dan boleh digunakan pada badan dan baju, termasuklah ketika solat. Ini kerana ia kembali kepada hukum asalnya iaitu suci dan bukannya najis. Namun, keharusan itu terikat selagi mana tidak ada bahan lain yang boleh menjadikannya najis.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=ambergris&d=243192&#LIHATSINI. Diakses pada 10 Jun 2024.

[2] Lihat https://www.britannica.com/science/ambergris. Diakses pada 10 Jun 2024.