#6106: Memegang Tulang Anjing untuk Pembelajaran dan Cara Membersihkan Tangan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimana pula dengan hukum memegang tulang anjing yang telah diawet untuk tujuan belajar dan bagaimana cara menyucikan tangan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Hadith ini juga jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing. Hal ini kerana kesucian itu datang selepas daripada hadas atau najis. Maka, dalam konteks di sini kesucian bekas itu daripada hadas adalah tidak mungkin. Justeru, jelaslah bahawa bekas itu disucikan daripada najis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40). Selain itu, Ibn Qudamah menyebutkan, tidak ada khilaf dalam mazhab Hanbali bahawa kenajisan anjing wajib dibasuh sebanyak tujuh kali basuhan dan salah satunya adalah dengan tanah. Ini juga merupakan pendapat dalam mazhab al-Syafi‘i. (Lihat al-Mughni, 1/73).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asalnya menurut mazhab Syafi‘i, menyentuh najis secara sengaja tanpa sebarang tujuan atau keperluan adalah haram. Hal ini adalah seperti mana dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini, al-Ramli dan lain-lain bahawa:

التَّضَمُّخُ بِالنَّجَاسَةِ حَرَامٌ

Maksudnya:Melumur dengan najis — secara sengaja — adalah haram.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/194; Nihayah al-Muhtaj, 1/185)

Pengarang-pengarang hasyiah dalam mazhab Syafi‘i mengikat hukum haram tersebut, jika ia dilakukan tanpa sebarang keperluan seperti yang disebutkan oleh al-Syabramalisi, al-Syarwani dan lain-lain. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 1/174; Nihayah al-Muhtaj wa Hawasyi al-Syabramalisi wa al-Rasyidi, 1/143).

Di dalam Bughyah al-Mustarsyidin dinyatakan bahawa haram untuk menyentuh najis secara terus (direct) dalam keadaan lembap atau basah tanpa sebarang keperluan. Maka, wajib membasuhnya secara segera (jika menyentuhnya tanpa keperluan), berbeza sekiranya ada keperluan seperti beristinja’. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, hlm. 33).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, jelaslah bahawa orang Islam tidak boleh memegang anjing dan juga mana-mana komponennya seperti bulu, tulang dan lain-lain tanpa sebarang keperluan. Ini kerana anjing dikategorikan sebagai najis mughallazah. Lebih-lebih lagi, menyentuh najis tanpa sebarang keperluan juga adalah bertentangan dengan sifat orang Muslim itu sendiri. Hal ini kerana sifat seorang Muslim itu suka pada kebersihan dan menjauhi segala perkara kotor serta najis.

Walau bagaimanapun, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa untuk menyentuh tulang anjing yang sudah diawet jika ada keperluan seperti untuk tujuan pembelajaran terutamanya bagi mereka dalam bidang veterinar dan seumpamanya. Kemudian, tangan tersebut hendaklah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali basuhan, dan salah satu daripadanya dengan air tanah jika ketika menyentuhnya itu dalam keadaan lembap atau basah, di samping sentuhan itu juga berlaku secara terus (direct) dan bukannya dalam keadaan berlapik. Jika sentuhan itu berlaku dalam keadaan kering (yakni tangan yang menyentuh dan juga tulang yang disentuh), atau dalam keadaan berlapik, maka tidak perlu membasuhnya sebanyak tujuh kali basuhan bersama salah satunya air tanah kerana persentuhan dalam keadaan kering tidak akan memberi sebarang kesan kepada sesuatu yang suci itu — dalam menajiskannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”