#6169: Meletakkan Telefon atau Buku di atas Mashaf al-Quran

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita meletakkan telefon bimbit atau buku atau barangan seumpamanya di atas mashaf al-Quran tanpa niat untuk menghinakannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

Maksudnya: Dan jika kamu bertanya kepada mereka tentang ejekan-ejekan itu, tentulah mereka akan menjawab, ‘Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bergurau.’ Katakanlah, ‘Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta rasul-Nya kamu persendakan?’

(Surah al-Taubah: 65)

Syeikh al-Tantawi berkata ketika menafsirkan ayat ini: “Apabila kamu wahai Nabi yang mulia atau orang beriman yang berakal bertemu dengan orang yang bermain-main dengan ayat-ayat Kami dengan cara mendustakannya, mentohmahnya atau menghinanya maka hendaklah kamu melarikan diri daripada mereka atau meninggalkan majlis mereka supaya mereka melihat perbuatan kamu itu (iaitu meninggalkan mereka) seperti tidak senang dengan tingkah laku mereka dan janganlah kamu kembali semula kepada mereka sehinggalah mereka berbicara tentang perkara yang lain. Ini kerana, ayat-ayat Kami itu dinisbahkan kepada Kami (Allah SWT) dan menjadi tanggungjawab kita terhadap ayat-ayat al-Quran adalah dengan membesarkan serta memuliakannya dan bukannya menjadi tempat untuk diejek atau dihina.” (Lihat al-Tafsir al-Wasit, 5/98)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, meletakkan telefon bimbit atau buku-buku termasuk dalam perbahasan ulama berkenaan meletakkan sesuatu barangan di atas mashaf al-Quran. Pada asalnya, kita dituntut untuk memuliakan dan menghormati al-Quran di samping menjaga adab-adab dengannya.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.”

Riwayat Muslim (817);  Ibn Majah (218) dan  Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581)

Tiada perbezaan di kalangan ulama tentang kewajipan memuliakan al-Quran, bahkan para ulama sepakat akan kewajipannya. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa kaum Muslimin (para ulama) telah bersepakat berkenaan kewajipan untuk menjaga mushaf dan memuliakannya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/85; al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm 190).

Bukan itu sahaja, malahan perbuatan sengaja merendah-rendahkan atau menghina al-Quran boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus dianggap sebagai kufur. Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Qadhi ‘Iyadh, ketahuilah bahawa sesiapa yang (dengan sengaja) merendah-rendahkan al-Quran atau sesuatu daripadanya, atau mencacinya, atau mengingkarinya tidak kira satu huruf atau satu ayat, atau mendustainya atau mendustai sebahagian daripadanya, atau dia mendustai suatu hukum atau berita yang jelas dinyatakan di dalamnya, atau mengisbatkan suatu yang dinafikannya, atau menafikan suatu yang diisbatkannya, dalam keadaan dia mengetahui perkara tersebut atau dia syak pada sesuatu daripada perkara tersebut, maka dia dikira jatuh kafir di sisi ulama secara ijma‘. (Lihat al-Syifa bi Ta‘rif Huquq al-Mustafa, 2/646).

Begitu juga al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, salah satu adab dengan al-Quran adalah dengan tidak meletakkan sesuatu di atasnya, kecuali mashaf al-Quran yang lain. Ini adalah seperti mana yang dinyatakan oleh al-Qurtubi dan al-Hakim al-Tirmizi bahawa antara kehormatan mashaf yang perlu dijaga adalah dengan tidak meletakkan kitab di atasnya, supaya dengan itu ia selamanya berada lebih tinggi daripada seluruh kitab lain. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 1/42; Nawadir al-Usul fi Ahadith al-Rasul, 3/254).

Begitu juga al-Baihaqi turut menyebutkan, termasuk dalam adab-adab dengan al-Quran adalah dengan tidak meletakkan kitab lain mahupun kain atau sesuatu apa pun di atas mashaf al-Quran melainkan jika di sana terdapatnya dua mashaf, lalu diletakkan salah satu mashaf di atas mashaf yang satu lagi, maka hal itu adalah dibolehkan. (Lihat Syu‘ab al-Iman,3/329).

Bahkan ulama al-Syafi‘iyyah menyatakan, meletakkan sesuatu di atas mashaf adalah tidak haram selagi mana ia tidak mengandungi unsur penghinaan. Ini adalah seperti mana jawapan yang diberikan oleh Syihabuddin al-Ramli ketika ditanya berkenaan isu ini bahawa hal itu tidaklah haram, kerana ia tidak mengandungi maksud penghinaan terhadap al-Quran. (Lihat Fatawa al-Ramli, 1/29).

Sekalipun begitu, tidak meletakkan sesuatu barangan seperti kain, kitab, telefon dan lain-lain di atas mashaf selain daripada mashaf yang lain adalah lebih baik dan afdhal. Ini adalah sebagaimana fatwa yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah (hlm. 164).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan di atas, jelaslah bahawa meletakkan telefon atau buku di atas al-Quran tidaklah haram, jika ia tidak berniat untuk menghina atau memperlekehkan keagungan al-Quran. Namun perbuatan itu dilihat kurang beradab dengan al-Quran kerana kalam Allah sebaiknya kita pelihara dengan sebaik mungkin. Maka, sewajarnya kita tidak meletakkan apa-apa di atas al-Quran melainkan al-Quran yang lain, bahkan inilah yang sebaik-baiknya.

Syeikh Muhammad ‘Awwamah di dalam kitabnya yang masyhur, Ma’alim Irsyadiyyah li Sina’ah Talib al-Ilmi telah menyebut cara susunan kitab, bahkan memegangnya berdasarkan amalan guru-gurunya serta nasihat mereka. Sila rujuk kitab tersebut termasuk buku kami yang meringkaskannya iaitu Tinta Nasihat Buat Penuntut Ilmu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.