#6253: Tanda Kiamat: Perempuan Lebih Ramai

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ada orang kata, bila hampir Kiamat, wanita seramai 50 orang berbanding seorang lelaki? Benarkah pendapat tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan, benar. Daripada Anas R.A, katanya:

لَأُحَدِّثَنَّكُمْ حَدِيثًا لاَ يُحَدِّثُكُمُوهُ أَحَدٌ بَعْدِي، سَمِعْتُهُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ» وَإِمَّا قَالَ: «مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ، أَنْ يُرْفَعَ العِلْمُ، وَيَظْهَرَ الجَهْلُ، وَتُشْرَبَ الخَمْرُ، وَيُظْهَرَ الزِّنَا، وَيَقِلَّ الرِّجَالُ، وَيَكْثُرَ النِّسَاءُ حَتَّى يَكُونَ لِلْخَمْسِينَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ».

Maksudnya: “Sungguh aku akan menyampaikan kepada kamu suatu hadith yang tidak akan disampaikan oleh seorang pun sesudahku, yang aku mendengarnya daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Hari Kiamat tidak akan terjadi (melainkan)…” – ataupun Baginda bersabda: “Antara tanda-tanda Hari Kiamat…” – “…ialah ilmu diangkat, kejahilan merebak, arak diminum, zina dilakukan secara terang-terangan, jumlah orang lelaki sedikit dan jumlah wanita banyak, sehingga menjadi (nisbah) lima puluh wanita bagi seorang lelaki.”

Riwayat al-Bukhari (6808)

Al-Qastalani berkata: “Adakah maksud sebenar dengan ‘lima puluh’ atau adakah ia sebuah majaz untuk menunjukkan banyak? Ini telah dijelaskan dalam kitab al-’Ilm. Mungkin maksud ‘القَيِّمُ’ adalah mereka yang menjaga wanita, sama ada mereka telah disentuh atau tidak. Atau mungkin ini berlaku pada masa di mana tidak ada lagi yang mengucapkan ‘Allah, Allah’, sehingga seseorang berkahwin tanpa mengetahui jumlah yang sebenar, dalam keadaan jahil terhadap hukum syariah.” (Lihat Irsyad al-Sari, 10/6)

Marilah sama-sama kita meningkatkan amalan kita dan menyediakan bekalan sebanyak-banyaknya sebelum datang kepada kita bala dan ujian daripada Allah SWT. Sesungguhnya, kehidupan kita pasti berakhir. Justeru, amalan soleh, keimanan dan mendapatkan ilmu adalah ramuan terbaik dalam menghadapi tribulasi kehidupan dunia ini.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”