#6301: Kisah Abu Ayyub al-Ansari dan Kelebihannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami berkenaan kehidupan Abu Ayyub al-Ansari dan kelebihannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam).”

(Surah al-Ahzab: 23)

Imam al-Tabari berkata: Maksud ayat ini adalah, di antara orang-orang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, terdapat orang-orang yang menepati janjinya kepada Allah, iaitu sabar terhadap pelbagai kesusahan dan mudharat. Antara mereka ada yang menyelesaikan pekerjaan yang dijanjikannya kepada Allah dan diwajibkannya kepada dirinya sendiri bagi Allah, sehingga sebahagian dari mereka mati syahid dalam Perang Badar, sebahagian mati syahid dalam perang Uhud, dan sebahagian lagi mati syahid di tempat lain. Tetapi, di antara mereka ada yang menanti qadha dan penyelesaian dari Allah sebagaimana di antara mereka ada yang ditetapkan memenuhi janji kepada Allah, serta memperoleh pertolongan dari Allah dan kemenangan atas musuhnya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/50)

Abu Ayyub al-Ansari merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang terkenal dari kalangan Ansar. Namanya ialah Khalid bin Zaid bin Kulaib bin Tsa’labah bin Abdi Amr bin ‘Auf bin Ghanm bin Malik bin al-Najjar bin Tsa’labah bin al-Khazraj. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/354)

Beliau adalah generasi awal yang memeluk Islam dari kalangan sahabat. Sebelum Nabi SAW berhijrah ke Madinah, Abu Ayyub mengikuti Bai’ah al-Aqabah yang kedua. Ini sepertimana dinyatakan oleh Ibn Ishaq. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/356)

Abu Ayyub meriwayatkan hadis langsung daripada Nabi SAW. Antara sahabat yang meriwayatkan hadis daripada beliau ialah al-Bara’ bin ‘Azib, Zaid bin Khalid, Abdullah bin Abbas, Anas bin Malik dan lain-lain. Ramai tabi’in turut meriwayatkan hadis daripada beliau.

Rasulullah SAW Berhenti di Rumahnya dalam Peristiwa Hijrah

Semasa peristiwa penghijrahan Nabi SAW, rumah beliau telah dipilih oleh Nabi SAW sebagai tempat tinggal sementara di perkampungan Bani Najjar sehinggalah pembangunan Masjid Nabawi selesai. Apabila proses pembinaan masjid tersebut dan bilik isteri Nabi selesai, barulah Baginda SAW berpindah dari rumah Abu Ayub.

Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menceritakan: Hari tersebut adalah hari bersejarah dan gemilang. Orang-orang Ansar bukanlah golongan yang memiliki harta yang banyak, namun setiap dari mereka bercita-cita semoga Rasulullah SAW singgah ke rumah mereka. Rasulullah hanya menjawab kepada mereka, “Biarlah unta ini bergerak mengikut arahnya.” Unta Baginda terus bergerak sehingga tiba di tapak masjid al-Nabawi yang ada sekarang ini. Sampai di situ, unta Rasulullah pun berhenti. Namun Rasulullah tidak terus turun. Tiba-tiba unta Baginda bangun semula dan berjalan lagi ke hadapan. Kemudian berpatah balik semula ke belakang ke tempat pertama tadi.

Ketika itu barulah Rasulullah turun darinya. Tempat itu adalah kawasan kediaman Bani al-Najjar, keluarga bapa saudara Rasulullah sebelah ibunya. Semua yang hadir di situ lalu mempersilakan Rasulullah untuk tinggal di rumah mereka. Namun, Abu Ayub al-Ansari terlebih dahulu segera menuju ke binatang tunggangan Baginda lalu menuntunnya masuk ke dalam kawasan rumahnya.

Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bertanya:

أَيُّ بُيُوتِ أَهْلِنَا أَقْرَبُ ، فَقَالَ أَبُو أَيُّوبَ: أَنَا يَا نَبِيَّ اللَّهِ، هَذِهِ دَارِي وَهَذَا بَابِي، قَالَ : فَانْطَلِقْ فَهَيِّئْ لَنَا مَقِيلًا، قَالَ: قُومَا عَلَى بَرَكَةِ اللَّهِ

Maksudnya: “Manakah rumah keluarga kami yang terdekat?” Lalu Abu Ayyub berkata: “Saya wahai Rasulullah. Inilah rumah saya dan ini pintunya.” Lalu Nabi berkata: “Kalau begitu, marilah pergi dan sediakan tempat berteduh untuk kami.” Abu Ayyub menjawab: “Silakan dengan keberkatan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (3911)

Baginda SAW menetap di rumah Abu Ayyub sehinggalah proses pembinaan Masjid Nabawi dan ruang-ruang sebagai bilik isteri-isteri Rasulullah SAW selesai. Setelah siapnya pembinaan bilik tersebut, barulah Baginda berpindah dari rumah Abu Ayyub. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, 117-118)

Adab Abu Ayyub R.A Terhadap Rasulullah SAW

Diceritakan dari Abu Ayyub R.A, beliau berkata, ‘Ketika Rasulullah SAW singgah di rumahku, Baginda berada di tingkat bawah manakala aku dan Ummu Ayyub berada di tingkat atas. Kemudian aku berkata kepada Baginda, ‘Wahai Nabi Allah, ibu bapaku rela menjadi tebusan untukmu. Aku merasa tidak selesa berada di atas sementara Baginda berada di bawah. Oleh itu, bangunlah dan naiklah ke tingkat atas, sementara kami akan turun dan pindah ke tingkat bawah.’ Kemudian Baginda menjawab, ‘Wahai Abu Ayyub, yang lebih selesa bagi kami dan juga bagi orang yang datang melawat kami, adalah apabila kami berada di tingkat bawah rumah.’” (Riwayat Muslim, no. 1623)

Dalam satu riwayat lain, diceritakan bahawa ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda menginap di rumah Abu Ayyub. Rasulullah SAW tidur di tingkat bawah, manakala Abu Ayyub tidur di tingkat atas. Pada suatu malam, Abu Ayyub terjaga dan berkata kepada isterinya, “Kita berjalan di atas kepala Rasulullah SAW!” Oleh itu, dia berpindah dan tidur di sebelah. Ketika pagi tiba, dia menceritakan kejadian itu kepada Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW menjawab, “Tingkat bawah lebih selesa untuk kami.” Maka Abu Ayyub menjawab, “Aku tidak akan naik ke atas atap di mana engkau berada di bawahnya.” Selepas itu, Abu Ayyub pindah ke tingkat bawah sementara Rasulullah SAW berada di tingkat atas. (Riwayat Muslim, 1/171)

Abu Ayyub R.A menceritakan kepada Abu Ruhm, katanya: Bahawa Rasulullah SAW tidur di tingkat bawah rumah kami, sementara aku berada di dalam bilik. Air tumpah di dalam bilik, lalu aku dan Ummu Ayyub mengambil kain berumbai untuk mengelap air yang tumpah itu mengikut arah alirannya. Aku turun dan berkata, ‘Wahai Rasulullah, kami tidak sepatutnya berada di atasmu. Pindahlah ke bilik.’ Kemudian, Baginda menyuruh kami membawa barang-barangnya dan kami memindahkan barang-barang Baginda yang sedikit itu. Aku berkata, ‘Wahai Rasulullah, engkau biasa menerima makanan, dan aku melihatmu makan. Bila aku melihat bekas jari-jarimu pada makanan, aku akan letakkan tanganku di situ (yakni untuk mencari keberkahan dari al-Habib SAW).’” (Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnad-nya (5/420). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut berkata, “Sanadnya sahih.”)

Tindakan Abu Ayyub R.A Ketika Nabi SAW Menikahi Safiyyah R.Anha

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

لَمَّا دَخَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِصَفِيَّةَ بَاتَ أَبُو أَيُّوبَ عَلَى بَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أَصْبَحَ فَرَأَى رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَبَّرَ وَمَعَ أَبِي أَيُّوبَ السَّيْفُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ! كَانَتْ جَارِيَةً حَدِيثَةَ عَهْدٍ بِعُرْسٍ، وَكُنْتَ قَتَلْت أَبَاهَا وَأَخَاهَا وَزَوْجَهَا، فَلَمْ آمَنْهَا عَلَيْكَ، فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ لَهُ خَيْرًا.

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW memasuki bilik Safiyyah (pada malam pernikahannya), Abu Ayub menghabiskan malam itu menjaga di pintu Rasulullah SAW. Ketika fajar menyingsing, Rasulullah SAW melihat Abu Ayub mengucapkan takbir, dengan pedangnya di sisinya. Dia berkata: ‘Ya Rasulullah! Dia adalah seorang gadis yang baru saja menikah, dan engkau telah membunuh ayahnya, abangnya dan suaminya, jadi saya tidak merasa aman untuknya atas dirimu.’ Mendengar ini, Rasulullah SAW tersenyum dan memberikan kata-kata yang baik kepadanya.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/28-29). Al-Hakim berkata: Hadith ini, sanadnya sahih, tetapi kedua mereka (Imam al-Bukhari dan Muslim) tidak mengeluarkannya.

Peperangan yang Diikuti oleh Abu Ayyub R.A

Abu Ayyub al-Ansari merupakan salah seorang sahabat yang turut serta dalam peperangan Badar, Uhud, Khandaq dan perang-perang seterusnya. Dikatakan, tidak ada satu perang pun di zaman Rasulullah yang beliau tidak ikuti. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/30)

Setelah Rasulullah SAW wafat, beliau tetap terlibat dalam jihad. Perang terakhir yang diikuti oleh beliau adalah pada zaman pemerintahan Muawiyah bin Abi Sufyan.

Akhir Hayatnya

Abu Ayyub meninggal dunia di tanah Rom (Konstantinopel) ketika zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Kathir, 2/209)

Kewafatannya adalah ketika menyertai pasukan yang dipersiapkan oleh Muawiyah dalam usaha menakluki Konstantinopel di bawah pimpinan anaknya, Yazid. Ketika itu, usia beliau mencecah 80 tahun. Namun, beliau tetap bersemangat dalam meraih pahala jihad.

Namun, sebaik pasukan Islam hampir tiba di sana, beliau telah jatuh sakit yang membawa kepada kematian beliau. Yazid sempat datang menziarahinya dan bertanya: “Adakah padamu ada apa-apa keinginan?” Lalu beliau menjawab: “Sampaikan salamku kepada pasukan kaum Muslimin. Katakan pada mereka, tempuhilah wilayah musuh sejauh mungkin dan bawalah jasadku bersama kamu semua.”

Apabila beliau meninggal, mereka pun lalu membawa jasadnya bersama. Kemudian mereka menguburkannya berhampiran dengan Konstantinopel. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/65 dan Siyar A’lam al-Nubala’, 3/356)

Dikatakan bahawa pada pagi hari pengebumian Abu Ayyub, orang-orang Rom berkata:  “Wahai orang-orang Arab, (kami melihat) berlaku sesuatu pada kamu semalam.” Mereka menjawab, “Telah wafat salah seorang sahabat yang agung dari Nabi kami, yang terlebih dahulu memeluk Islam.” (Lihat Usd al-Ghabah oleh Ibn al-Athir, 3/142)

Al-Waqidi menyatakan:  “Abu Ayyub meninggal dunia pada tahun di mana Yazid memimpin pasukan yang dihantar oleh ayahnya ke Konstantinopel. Sungguh telah sampai khabar kepadaku bahawa orang-orang Rom mencari makamnya. Kemudian mereka meminta hujan dengan perantaranya.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 3/356)