#6416: Was-Was dengan Najis Anjing dan Babi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya telah melanggar bangkai haiwan dan tak dapat dipastikan bangkai anjing, kucing atau lain-lain dan jika betul pun bangkai anjing, Setibanya di rumah, saya dapati tiada kesan najis atau darah pada tayar, rim dan body kereta.Namun setelah beberapa minggu perasaan was was datang kembali bila saya pegang penutup tiub tayar untuk pam angin tayar.Adakah saya perlu sertu penutup tiub tayar dan juga tangan saya. Pada waktu malam ketika lalu di lebuhraya, saya rasa lori khinzir lalu di lorong kiri saya dan pada waktu itu hujan, adakah kereta saya perlu sertu keseluruhannya ? Saya tidak dapat pastikan jika ada terkena air dari lori khinzir itu sebab sudah bercampur dengan air hujan. Kejadian ini telah menyebabkan saya menjadi was was kerana setiap hari menggunakan kereta dan perlukah saya sertu tangan sekali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah. Dinukilkan mengenai pendapat ini daripada al-Hasan al-Basri dan ‘Urwah bin al-Zubair. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu.

(Surah al-Ma’idah: 4)

Hal ini kerana dalam ayat di atas, tidak disebutkan untuk membasuh tempat yang disentuh atau dipegang oleh anjing terlatih itu ketika menangkapnya. Begitu juga berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya: “Pada zaman Rasulullah SAW, anjing-anjing kencing dan keluar masuk ke dalam masjid. Tetapi mereka (para sahabat) tidak merenjis (membasuh) apa-apa pun (pada tempat itu).

Riwayat al-Bukhari (174)

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.

Riwayat al-Nasa’i (66)

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami membahagikan jawapan kepada dua:

Bagi soalan pertama, kami katakan sekiranya tidak dapat dipastikan bangkai apa yang dilanggar itu dan setelah itu juga tidak ada kesan seperti darah, percikan, atau seumpamanya pada kenderaan anda, maka janganlah anda was-was kerana perkara itu dimaafkan sebagaimana firman Allah SWT:

 عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ

Maksudnya:  “Allah maafkan apa yang telah lalu.”

(Surah al-Maidah: 95)

Begitu juga bagi soalan kedua, sekiranya benar sekalipun lori tersebut lori khinzir, apabila tidak terzahir pada lori tersebut sebarang tanda-tanda najis seperti tahi khinzir yang jelas jatuh dan terkena kenderaan kita atau seumpamanya, maka cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Sementelahan, untuk mengawalnya adalah sangat susah. Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan diri sendiri. Maka, cukuplah kita yakin dan tidak was-was kerana sifat was-was ini amat bahaya disebabkan ia akan menyebabkan hidup dalam keadaan gusar, stress dan seumpamanya. Justeru, kami katakan untuk kedua-dua situasi itu, tidak perlu untuk anda sertu sepertimana dalil yang telah kami jelaskan di atas.

Bahkan, bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam.