#6431: Adik-Beradik Berkahwin pada Tahun Hijrah yang Sama

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum adik-beradik kahwin pada tahun hijrah yang sama? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Perkahwinan atau pernikahan adalah sangat dituntut di dalam Islam. Sudah menjadi fitrah manusia untuk saling berkasih sayang ini diperjelaskan di dalam Al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ

Maksudnya:Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”

(Surah al-Rum: 21)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Dalam menjawab soalan ini, sebenarnya dalam Islam tidak ditentukan hari-hari mahupun bulan-bulan tertentu yang digalakkan atau dilarang daripada melangsungkan perkahwinan melainkan terdapat sebahagian ulama yang berpendapat bahawa digalakkan/disunatkan untuk berkahwin pada bulan Syawal. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, di mana beliau berkata:

تَزَوَّجَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَوَّالٍ وَبَنَى بِي فِي شَوَّالٍ فَأَيُّ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَحْظَى عِنْدَهُ مِنِّي

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah mengahwiniku pada bulan Syawal dan Rasulullah bersama denganku juga pada Syawal. Isteri Rasulullah mana yang lebih beruntung di sisi Rasulullah SAW daripada ku?

Riwayat Muslim (1423)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini mengandungi dalil yang menunjukkan kepada galakan/sunat berkahwin dan bersama (melakukan hubungan intim suami isteri) pada bulan Syawal kerana terdapat nas yang jelas daripada para ashab kami berkenaan galakannya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 9/209).

Begitu juga al-Ramli turut menyebutkan, disunatkan untuk berkahwin dan bersama (melakukan hubungan intim suami isteri) pada bulan Syawal, akad itu diadakan di dalam masjid, dalam khalayak ramai dan pada waktu siang. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/185).

Begitu juga di sana tidak terdapatnya sebarang larangan dalam Islam yang melarang adik-beradik untuk sama-sama berkahwin pada hari, bulan atau tahun yang sama, sama ada daripada nas al-Quran mahupun hadith atau dalil-dalil lain. Kami merasakan bahawa timbulnya persoalan seperti ini disebabkan oleh beberapa dakwaan yang tersebar dalam sebahagian masyarakat, di mana jika adik-beradik tetap berkahwin pada tahun yang sama, maka berkemungkinan akan ada sesuatu perkara yang akan terjadi pada salah seorang daripada mereka. Kami ingin tegaskan bahawa kepercayaan atau dakwaan seperti ini tidak ada dalil yang menyokong mahupun mengesahkannya, bahkan ia hendaklah segera ditinggalkan kerana dikhuatiri boleh menjerumuskan orang yang mempercayainya ke lembah kesyirikan.

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak menjadi masalah bagi adik-beradik untuk berkahwin pada tahun yang sama tidak kira bulan hijrah mahupun masihi kerana di sana tidak terdapatnya sebarang dalil yang melarang hal tersebut. Oleh itu, ia kembali kepada hukum asalnya, iaitu diharuskan. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”