#6461: Contoh Haiwan yang tetap Dihukumkan sebagai Bangkai Meskipun Disembelih

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah dua contoh binatang yang mati yang dihukumkan bangkai walaupun telah disembelih? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mendefinisikan terlebih dahulu bangkai. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, bangkai ialah binatang yang sudah mati.[1] Seterusnya dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai al-Maitah (المَيتة). Ia bermaksud apa yang berpisah roh daripadanya tanpa sembelihan. (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 4/146; Tafsir al-Baidhawi, 2/114).

Selain itu, ada ulama menafsirkan al-Maitah sebagai semua haiwan yang mempunyai darah merah mengalir, sama ada haiwan darat atau burung, yang dihalalkan Allah untuk dimakan, sama ada yang jinak atau liar, yang mati tanpa disembelih. Selain daripada itu, ada juga dalam  kalangan ulama yang menafsirkannya sebagai semua haiwan yang terdiri daripada jenis haiwan darat dan burung, yang kehidupannya (nyawanya) berpisah daripadanya tanpa disembelih, yang dihalalkan Allah untuk dimakan. (Lihat Tafsir al-Tabari, 9/492).

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, kami bawakan di sini beberapa contoh haiwan yang tetap dianggap sebagai bangkai sekalipun ia disembelih mengikut sembelihan syarak.

Pertama dan keduanya ialah ikan dan belalang. Ini kerana terdapat nas yang menyatakan berkenaan kehalalan dan kesucian bangkainya serta tidak berhajat kepada sembelihan bagi menghalalkannya. Bahkan mengikut adat kebiasaan kedua-dua haiwan itu tidak mungkin boleh disembelih, menjadikan kewajipan sembelihan tersebut tergugur. Ini adalah seperti mana hadith daripada riwayat Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُحِلَّت لنا ميتتانِ ودمانِ الميتتانِ الحوتُ والجرادُ والدَّمانِ الكبدُ والطِّحالُ

Maksudnya: “Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai itu ialah ikan dan belalang, manakala dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.”

Riwayat Ahmad (5690) dan Ibn Majah (3314)

Ikan dan belalang tidak berhajat kepada sembelihan kerana bangkai kedua-duanya adalah suci lagi halal sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith di atas. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 21/174)

Malah, al-Khatib al-Syirbini menukilkan, telah berlaku ijma‘ dalam kalangan ulama mengenai halalnya bangkai ikan dan belalang. Selain itu juga, kerana pada adat kebiasaan kedua-dua haiwan itu tidak mungkin boleh disembelih, maka telah gugur kewajipan sembelihan tersebut. Oleh itu, sama ada kedua-duanya mati secara bersebab ataupun tidak, dan sama ada dijumpai mati dalam keadaan terapung di atas air ataupun tenggelam — ia adalah halal. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/98-99)

Ketiganya, babi. Para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302).

Oleh yang demikian, babi tetap dianggap sebagai bangkai dan haram untuk dimakan kerana sembelihan yang dilakukan padanya tetap tidak dapat menghalalkannya untuk dimakan.

Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Menurut Ibn Kathir, bahawa yang dimaksudkan dengan daging khinzir tersebut adalah secara umum (aghlabiyyah), bahkan ia juga termasuk kesemua anggota khinzir hatta lemaknya sekalipun. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/36)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=bangkai. Diakses pada 18 Julai 2024.