#6652: Keutamaan Antara Dua Jemputan Kenduri

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, sekiranya bertembung dua jemputan kenduri dalam satu masa daripada jiran, yang mana satu perlu diutamakan? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Majoriti para ulama menyebut bahawa hukum memenuhi undangan majlis perkahwinan adalah wajib. Ia berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Maksudnya: “Jika salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.”

Riwayat Muslim (1053)

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi SAW فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fiqh.

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Pandangan yang paling sahih dalam mazhab kami, bahawa hukum hadir ke majlis kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput. Namun, kewajiban tersebut boleh gugur dengan beberapa sebab keuzuran seperti jika ada syubhah (keraguan) pada makanan, atau adanya kemungkaran dalam majlis tersebut. Begitu juga, jika majlis perkahwinan tersebut hanya mengkhususkan orang-orang yang kaya sahaja untuk hadir. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)

Imam al-Nawawi turut menyebut: “Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan).” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa sekiranya terdapat 2 jemputan kenduri, hendaklah didahulukan yang terlebih dahulu menjemput berbanding yang terkemudian walaupun ianya jauh. Namun sekiranya jemputan tersebut pada waktu yang sama,  hendaklah didahulukan yang paling dekat rumahnya.

Perkara ini sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah hadith yang diriwayatakan daripada seseorang dari kalangan sahabat bahawa beliau berkata:

إذَا اجْتَمَعَ دَاعِيَانِ فَأَجِبْ أَقْرَبَهُما بَابًا، فَإِنْ سَبَقَ أَحَدُهُمَا فَأَجِبِ الَّذِي سَبَقَ

Maksudnya: “Apabila terdapat dua orang yang menjemput, maka penuhilah jemputan yang pintunya lebih dekat. Jika salah seorang daripada mereka mendahului, maka penuhilah jemputan yang terdahulu.”

Riwayat Abu Dawud 3576) dan Ahmad (23513)

Dalam hadith ini terdapat dalil bahawa apabila seseorang itu dijemput oleh dua orang jirannya dan tidak dapat memenuhi kedua-dua jemputan tersebut, maka jika salah seorang daripada mereka mendahului yang lain, dia harus memenuhi jemputan yang mendahului walaupun jauh, kerana kelebihannya mendahului dalam jemputan, dan kerana kewajipan memenuhi jemputannya berlaku ketika dia dijemput. Kewajipan tersebut tidak hilang dengan jemputan kedua. Jika tiada yang mendahului, dia harus memenuhi jemputan yang lebih dekat pintunya, kerana lebih dekat pintunya bermaksud lebih dekat kejiranannya. Jika kedua-duanya sama dekat, dia harus memenuhi jemputan yang lebih berilmu, beragama, dan berakhlak. Jika kedua-duanya sama dalam hal tersebut, maka dilakukan undian, dan yang terpilih melalui undian yang dijemputnya, kerana undian menentukan yang berhak apabila hak-hak adalah sama.

Hadith ini menunjukkan bahawa keutamaan dekat diukur melalui pintu, bukan dinding. Jika salah seorang lebih dekat pintunya, dia lebih diutamakan. (Lihat Minhah al- A‘llam fi Syarh Bulugh al-Maram, 7/435)

Justeru berdasarkan hadith di atas ia menunjukkan panduan dalam mengurus jemputan yang diterima kerana seseorang itu diwajibkan untuk memenuhi jemputan selagimana tiada keuzuran yang menghalang. Sekiranya bertembung beberapa jemputan dalam masa yang sama hendaklah mendahului siapa yang terlebih dahulu menjemputnya. Oleh yang demikian, apa yang terbaik adalah memenuhi kesemua jemputan sekiranya berpeluang. Namun sekiranya tidak berpeluang, sebaiknya memaklumkan kepada pihak yang menjemput tersebut tentang keuzuran yang dihadapi.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘alam