#6666:  Pemimpin Menipu Rakyat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah pemimpin yang menipu rakyat diharamkan Syurga bagi mereka?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتٍ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ، وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggungjawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggungjawab atas rakyatnya, seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggungjawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggungjawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggungjawab atas kepemimpinannya.”

Riwayat Muslim (3408)

Hadith di atas dapat dijadikan sebagai pedoman kepada kita bahawa setiap tanggungjawab yang diberikan tidak akan terlepas daripada perhitungan, bahkan seorang hamba juga akan dipersoalkan mengenai tanggungjawabnya terhadap tuannya.

Dalam menjawab bagi personal di atas kami katakan bahawa benar terdapat ancaman bahawa Allah mengharamkan syurga bagi pemimpin yang sentiasa menipu rakyat dengan janji-janji mereka dan tidak melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar bahawa beliu pernah mendegar Rasulullah SAW bersabda:

ما مِن عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً، يَمُوتُ يَومَ يَمُوتُ وَهو غاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ، إِلّا حَرَّمَ اللَّهُ عليه الجَنَّةَ

Maksudnya: “Tidak ada seorang penguasa yang mengurus rakyat daripada kalangan orang Islam, lalu dia meninggal dalam keadaan menipu rakyatnya, melainkan Allah akan mengharamkan Syurga baginya.”

Riwayat al-Bukhari (7150) Muslim (142)

Hadith ini mengandungi ancaman yang keras dan teguran yang kuat terhadap pemimpin yang menipu rakyatnya dan tidak memberi nasihat yang baik kepada mereka. Ini termasuk dalam dosa-dosa besar kerana sesiapa yang mati dalam keadaan ini, Allah Ta‘ala akan menghalangnya daripada masuk syurga.

Menipu rakyat oleh pemimpin meliputi banyak perkara, antaranya: lalai dalam menerapkan syariat Allah SWT, tidak menghukum antara rakyat dengan apa yang diturunkan oleh Allah, lalai dalam menegakkan agama Allah SWT, serta tidak menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, tidak memberi perhatian kepada urusan rakyat atau kepentingan mereka, dan mengabaikan rakyat serta tidak mendengar keperluan mereka.

Termasuk dalam penipuan ini adalah membiarkan para perosak merosakkan moral, merampas harta benda, dan menyerang maruah tanpa ada halangan atau hukuman yang dikenakan. Penipuan juga termasuk memberikan jawatan kepada orang yang tidak layak, sama ada dalam kepimpinan, kehakiman, kementerian, atau jawatan-jawatan lain. (Lihat Minhah al‘Allam fi Syarh Bulugh al-Maram, 10/223 )

Justeru, dapat difahami bahawa tanggungjawab yang dipikul oleh pemimpin dalam mengurus rakyatnya adalah amat besar. Pemimpin perlu sentiasa bersikap jujur, amanah, dan adil dalam melaksanakan tugas mereka. Allah SWT memberikan ancaman yang keras terhadap pemimpin yang menipu rakyatnya, iaitu mereka diharamkan daripada memasuki syurga jika meninggal dunia dalam keadaan menipu rakyatnya. Ini menunjukkan betapa seriusnya dosa penipuan dalam kepimpinan.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Wallahua‘lam