#6744: Berwuduk dengan Air Hujan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah seseorang itu berwuduk dengan air hujan dan apakah dalil-dalilnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya:Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

(Surah al-Ma’idah: 6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61).

Sebagaimana yang kita ketahui, wuduk merupakan medium syarak yang terpenting untuk menghilangkan (mengangkat) hadas kecil daripada anggota badan bagi menjadikan seorang Muslim itu suci, lalu membolehkannya melaksanakan segala perbuatan atau amalan yang disyaratkan padanya suci daripada hadas — seperti mendirikan solat, memegang mashaf al-Quran, tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/69).

Di antara syarat sah wuduk ialah menggunakan air yang suci lagi menyucikan — iaitu air mutlak — kerana hadas tidak akan terangkat melainkan dengan hanya air mutlak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 96 dan 57). Dalam bahasa mudahnya, air mutlak ialah air yang kekal dengan sifat asal kejadiannya yang telah dijadikan Allah SWT. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/31). Selain daripada itu juga, di antara syarat sahnya yang lain adalah ia mestilah mengalir pada anggota wuduk yang dibasuh dan tidak cukup dengan hanya sekadar menyapu air pada anggota tersebut tanpa mengalirkannya kerana ia tidak dinamakan sebagai basuhan. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/70; Lihat Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Fath al-Qarib al-Mujib, 1/95).

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa berwuduk dengan menggunakan air hujan adalah dibolehkan, tidak kira dalam keadaan darurat (situasi terpaksa) mahupun ketika dalam keadaan biasa iaitu ketika adanya air lain atau banyaknya air.  Hal ini kerana air hujan termasuk dalam kategori air mutlak suci lagi menyucikan dan boleh digunakan untuk membersihkan najis atau mengangkat hadas. Justeru, sudah tentu ia juga boleh digunakan untuk memandikan jenazah. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili bahawa air-air yang boleh digunakan untuk bersuci ada tujuh iaitu air hujan, air laut, air sungai, air mata air, air salji dan air sejuk. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/79).

Terdapat beberapa dalil yang dijadikan dasar oleh para ulama bahawa air hujan boleh digunakan untuk bersuci. Di antaranya firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي أَرْسَلَ الرِّيَاحَ بُشْرًا بَيْنَ يَدَيْ رَحْمَتِهِ ۚ وَأَنزَلْنَا مِنَ السَّمَاءِ مَاءً طَهُورًا

Maksudnya: “Dan Dia lah Tuhan yang menghantarkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmatNya, dan Kami menurunkan dari langit: air yang bersih suci.”

(Surah al-Furqan: 48)

Menurut Dr. Muhammad Sulaiman al-Asyqar, lafaz “طَهُورًا” dalam ayat di atas bermaksud suci lagi menyucikan, kerana jika air hujan menimpa sesuatu yang najis atau kotor, ia akan menyucikannya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 476).

Begitu juga firman Allah SWT:

 وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ السَّمَاءِ مَاءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ

Maksudnya: “Dan (ingatlah ketika) Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya.

(Surah al-Anfal: 11)

Sebahagian ulama menafsirkan lafaz “لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ” dengan menyebutkan bahawa maknanya adalah untuk diangkat atau dihilangkan hadas-hadas daripada kamu. Dalam erti kata lain, supaya kamu dapat mandi dan mendirikan solat dalam keadaan yang sempurna, dan ketika itu belum lagi disyariatkan tayammum. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 228).

Selain itu, Nabi SAW juga pernah bersuci dengan air hujan. Malah, Baginda pernah mengajak para sahabatnya untuk bersuci dengan air hujan. Ini menunjukkan bahawa air hujan boleh digunakan untuk bersuci, baik untuk mengangkat hadas, sama ada mandi wajib untuk hadas besar dan berwuduk untuk hadas kecil, ataupun membersihkan  najis.

Ini adalah sebagaimana disebutkan dalam hadith daripada riwayat Yazid bin al-Had, bahawasanya apabila air hujan deras mengalir, Nabi SAW bersabda:

 اخْرُجُوا بِنَا إِلَى هَذَا الَّذِي جَعَلَهُ اللهُ طَهُورًا فَنَتَطَهَّرَ مِنْهُ، وَنَحْمَدَ اللهَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Keluarlah kamu bersama kami menuju ke air ini yang telah dijadikan oleh Allah SWT sebagai tahur (suci lagi menyucikan). Lalu kami bersuci dengan air tersebut dan memuji Allah atas nikmat ini.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (6457); al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir wa Ziyadatuhu (9895); Imam al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam (2/884) menyatakan, ia diriwayatkan secara mursal dan sanadnya adalah dha‘if. Begitu juga Ibn Kathir dalam Irsyad al-Faqih (1/216) menyatakan ia adalah mursal. Manakala al-Baihaqi dan turut dinyatakan dalam Tuhfah al-Muhtaj (1/567), ia adalah munqati‘.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami tegaskan sekali lagi bahawa dibolehkan untuk berwuduk dengan menggunakan air hujan (air yang turun dari langit) kerana ia termasuk dalam jenis air mutlak yang suci lagi menyucikan. Bukan itu sahaja, air hujan turut boleh digunakan mengangkat hadas, membersihkan najis,mandi wajib dan juga memandikan jenazah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ، وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ،  وَاجْعَلْنَا مِنْ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami termasuk daripada kalangan orang yang bertaubat. Jadikanlah juga kami termasuk daripada kalangan orang yang bersuci. Dan jadikan juga kami termasuk daripada kalangan hamba-hambaMu yang soleh.”