#6751:  Melangkah Ke Belakang Ketika Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan adakah dibolehkan melangkah beberapa langkah ke belakang semasa solat jika ada keperluan seperti adanya binatang atau najis ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan jawapan ini dengan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.”

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: ” خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.

Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110).

Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, 9/329).

Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.

Antara pendapat sahabat dan tokoh berkaitan maksud khusyuk:

  • Ibnu ‘Abbas berkata: Tenang dan merendahkan diri (مخبتون أذلاء)
  • Ali bin Abi Talib R.A berkata: Iaitu tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri.
  • Sa’id bin Jubair berkata: Iaitu (seseorang) tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan kirinya, dia tidak menoleh, kerana sangat khusyuknya (menghadap kepada) Allah ‘Azza wa Jalla.
  • ‘Amr bin Dinar berkata: Iaitu ketenangan dan keindahan keadaan (gerakan).
  • Ibnu Sirin dan yang lainnya berkata: Iaitu engkau tidak mengangkat pandanganmu dari tempat sujudmu.
  • Atha’ berkata: Iaitu engkau tidak bermain-main dengan anggota tubuhmu dalam solat.
  • Al-Hasan (al-Basri) dan Qatadah berkata: (iaitu) orang-orang yang takut (خائفون).
  • Muqatil berkata: (iaitu) orang-orang yang rendah hati (tawadhu’) (متواضعون).
  • Mujahid berkata: iaitu menundukkan pandangan dan merendahkan suara. (غض البصر وخفض الصوت)
  • Ada juga yang menyebut, khusyuk dalam solat adalah: Mengumpulkan konsentrasi (memerhatikan urusan solat) dan berpaling daripada urusan selainnya serta menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan oleh lisannya.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/408).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa seorang yang sedang mendirikan solat hendaklah tidak melakukan pergerakan yang banyak tanpa adanya keperluan. Ini kerana ia bukan sahaja mengannggu kekhusyukan dalam menjalani ibadah solat malah, ia boleh membuatkan solat menjadi batal.

Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi menyebut di dalam al-Minhaj: “Jika seseorang itu sengaja melakukan perbuatan di dalam solatnya, selain daripada perbuatan-perbuatan asal di dalam solat, sekalipun perbuatan itu daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll), maka batallah solatnya, kecuali jika dia terlupa. Adapun jika perbuatan bukan daripada jenis perbuatan solat (rukun, dll) maka batal solat jika perbuatan (pergerakan) itu banyak pada uruf dan tidak batal jika perbuatan (pergerakan) itu sedikit pada uruf. Dua langkah atau dua pukulan itu adalah termasuk di dalam pergerakan sedikit, manakala tiga kali perbuatan (pergerakan) secara berturut-turut adalah banyak (maka ia membatalkan solat).” (Lihat Minhaj al-Talibin, hlm. 53-54)

Berkaitan dengan isu ini, pergerakan yang sedikit dalam solat, jika dilakukan kerana keperluan atau demi kemaslahatan solat, adalah dibolehkan dan tidak menjejaskan kesahihan solat. Telah sabit bahawa Rasulullah SAW pernah menggendong Umamah binti Zainab dan meletakkannya ketika baginda sedang solat. Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Harith bahwa beliau berkata:

رَأَيْتُ النبيَّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ يَؤُمُّ النّاسَ وأُمامَةُ بنْتُ أبِي العاصِ وهي ابْنَةُ زَيْنَبَ بنْتُ النبيِّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ على عاتِقِهِ، فَإِذا رَكَعَ وضَعَها، وإذا رَفَعَ مِنَ السُّجُودِ أعادَها.

Maksudnya: “Aku melihat Nabi SAW mengimami solat dan Umamah binti Abu al-‘As, yang merupakan anak perempuan Zainab binti Nabi SAW, berada di atas bahunya. Ketika beliau rukuk, beliau meletakkannya, dan apabila beliau bangun dari sujud, beliau mengangkatnya kembali.”

Riwayat Muslim (543)

Hadith ini menunjukkan bahawa pergerakan yang sedikit dalam solat kerana keperluan, seperti menggendong anak kecil, tidak menjejaskan kesahihan solat. Ini menunjukkan bahawa syariat Islam mengambil kira keadaan dan keperluan individu.

Ibnu Rusyd berkata: Para ulama telah bersepakat akan keharusan melakukan pergerakan ringan. (Lihat  Bidayah al-Mujtahid, 1/126).

Justeru kami nyatakan bahawa, melakukan pergerakan dalam solat dengan melangkah ke belakang disebabkan oleh keperluan seperti adanya najis atau sesuatu yang mengganggu solat adalah dibenarkan. Ini kerana pergerakan tersebut tidak dilakukan dengan sengaja tetapi disebabkan oleh keperluan. Walau bagaimanapun, pergerakan tersebut hendaklah tidak terlalu banyak sehingga mengganggu kekhusyukan solat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)