#6759: Tukar Niat Taqdim kepada Ta’khir di dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada satu permasalahan. Saya dalam musafir, dan solat jamak qasar Maghrib Isyak, jangkakan masih Maghrib. Saya niat solat jamak taqdim. Di pertengahan solat, rakaat kedua saya tersedar tersilap dan bertukar niat ta’khir (sudah masuk waktu Isyak). Saya teruskan solat tukar niat ta’khir. Lepas tu teruskan solat Isyak jamak qasar. Soalannya:

  1. Sah ke solat Maghrib dan Isyak itu?
  2. Kalau tidak sah, perlukah ganti kedua-duanya; Maghrib dan Isyak, atau saya perlu ganti maghrib sahaja?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمۡسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّیۡلِ وَقُرۡءَانَ ٱلۡفَجۡرِۖ إِنَّ قُرۡءَانَ ٱلۡفَجۡرِ كَانَ مَشۡهُودࣰا

Maksudnya: “Dirikanlah solat ketika tergelincirnya matahari dan juga ketika permulaan malam. Dan bacalah al-Quran (di dalam solatmu) ketika waktu Subuh. Sesungguhnya bacaan al-Quran pada waktu Subuh itu disaksikan (oleh para malaikat).”

(Surah al-Isra’: 78)

Menurut Imam al-Fakhr al-Razi, ayat di atas merupakan dalil bagi keharusan menjamakkan antara dua solat yang telah ditetapkan. Beliau berkata, “Jika kita tafsirkan kalimat al-ghasaq (الغَسَقَ) sebagai detik awal kemunculan gelap malam, maka al-ghasaq adalah ungkapan kepada waktu awal Maghrib. Berdasarkan keterangan ini, waktu-waktu solat yang disebutkan di dalam ayat ini ada tiga iaitu waktu zawal, waktu awal maghrib dan waktu fajar. Berdasarkan ini juga, waktu zawal adalah waktu untuk Zohor dan Asar sekaligus, yang dikongsi bersama oleh dua waktu solat ini. Begitu juga dengan waktu awal Maghrib, ia merupakan waktu yang dikongsi oleh waktu Maghrib dan waktu Isyak. Ini menandakan keharusan untuk menjamakkan antara solat Zohor dengan solat Asar, begitu juga solat Maghrib dengan solat Isyak. Namun dalil-dalil menunjukkan bahawa perbuatan menjamakkan solat tanpa keuzuran adalah tidak dibolehkan. Dalil hanya membenarkan perbuatan jamak solat ketika musafir, hujan dan sebagainya (yang diizinkan syarak).” (Lihat al-Tafsir al-Kabir atau Mafatih al-Ghaib, 21/27)

Seorang yang bermusafir juga dibenarkan untuk mengqasarkan solat iaitu memendekkan solat-solat Ruba’iyyah (4 rakaat) menjadi dua rakaat sahaja. Keringanan ini diberikan berdasarkan firman Allah SWT di dalam al-Quran menerusi firman-Nya:

وَإِذَا ضَرَبۡتُمۡ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَلَیۡسَ عَلَیۡكُمۡ جُنَاحٌ أَن تَقۡصُرُوا۟ مِنَ ٱلصَّلَوٰةِ إِنۡ خِفۡتُمۡ أَن یَفۡتِنَكُمُ ٱلَّذِینَ كَفَرُوۤا۟ۚ إِنَّ ٱلۡكَـٰفِرِینَ كَانُوا۟ لَكُمۡ عَدُوࣰّا مُّبِینࣰا

Maksudnya: “Dan apabila kalian berjalan di atas muka Bumi maka tidak menjadi kesalahan buat kalian untuk mengqasarkan solat sekiranya kalian berwaspada dengan serangan kejahatan orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir merupakan musuh kalian yang jelas dan nyata.”

(Surah al-Nisa’: 101)

Bagi menjawab persoalan di atas, kami nyatakan bahawa perbuatan menukar (tahwil) niat daripada jamak taqdim kepada jamak ta’khir ketika di dalam solat adalah tidak dibolehkan. Imam al-Ramli memfatwakan sedemikian ketika beliau berkata: “Perkara (yang wajib) di sini (iaitu pada jamak ta’khir) ialah dua perkara. Salah satunya ialah berkekalan dalam keadaan musafir sehingga selesai sembahyang kedua-duanya. Syarat kedua (keadaan mengakhirkan solat itu dengan niat jamak) iaitu dia wajib berniat untuk jamak ta’khir sebelum habis waktu pertama.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/279)

Niat Jamak Ta’khir hanya boleh dilakukan di luar waktu solat sepanjang waktu solat pertama. Hanya niat Jamak Taqdim sahaja yang boleh diniatkan di hati semasa melaksanakan solat pada waktu solat yang pertama.

Manakala, solat Maghrib yang dilaksanakan tersebut adalah sah namun dikira sebagai solat qadha’, dan solat Isyak yang dilaksanakan selepas itu juga sah sebagai solat Ada’ (tunai), dan tidak dikira sebagai Jamak. Tidak perlu mengulangi kedua-dua solat tersebut. Imam Ibn Hajar al-Haitami memfatwakan:

جَمَعَ (تَأْخِيرًا فَأَقَامَ بَعْدَ فَرَاغِهِمَا لَمْ يُؤَثِّرْ) اتِّفَاقًا كَجَمْعِ التَّقْدِيمِ وَأَوْلَى (وَ) إقَامَتِهِ (قَبْلَهُ) أَيْ فَرَاغِهِمَا، وَلَوْ فِي أَثْنَاءِ الثَّانِيَةِ خِلَافًا لِمَا فِي الْمَجْمُوعِ (يَجْعَلُ الْأُولَى قَضَاءً) ؛ لِأَنَّ الْأُولَى تَبَعٌ لِلثَّانِيَةِ فَاعْتُبِرَ وُجُودُ سَبَبِ الْجَمْعِ فِي جَمِيعِ الْمَتْبُوعَةِ

Maksudnya: “Seseorang melaksanakan solat jamak (secara ta’khir kemudian sudah bermukim selepas selesai menunaikan kedua-dua sembahyang tersebut, nescaya keadaan itu tidak memberi apa-apa kesan sama sekali) menurut kesepakatan para ulama sepertimana jamak taqdim dan ia lebih utama. (Dan apabila) bermukimnya seseorang (sebelumnya) iaitu sebelum selesai sembahyang kedua-duanya walaupun berada pada pertengahan sembahyang yang kedua, ada perbezaan pendapat tentang hal ini dengan pendapat di dalam kitab al-Majmu‘ (menjadikan sembahyang pertama sembahyang qadha’) kerana sembahyang yang pertama itu mengikuti sembahyang yang kedua. Maka, diambil kira wujudnya sebab jamak pada keseluruhan sembahyang yang diikuti — iaitu sembahyang yang kedua.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/401)

Maka, jika seseorang ubah niat di penghujung waktu, tidak sah niat jamak tersebut dan solat tersebut bakal menjadi solat qadha’. Imam Ibn Hajar al-Haitami juga mengatakan:

وَفِيمَا إذَا تَرَكَ النِّيَّةَ مِنْ أَصْلِهَا أَوْ نَوَى وَقَدْ بَقِيَ مِنْ الْوَقْتِ مَا لَا يَسَعُ رَكْعَةً تَكُونُ قَضَاءً

Maksudnya: “Dan jika seseorang tidak berniat langsung pada asalnya, atau baru berniat sedangkan waktu solat hanya berbaki pada tempoh yang tidak sempat untuk dilaksanakan di dalamnya panjang 1 rakaat; maka solat itu menjadi solat qadha’.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/400)

Kesimpulannya, kedua-dua solat yang dilaksanakan adalah sah dan tidak perlu diulangi. Namun, solat Maghrib tersebut sah secara qadha’, dan solat Isyak tersebut sah secara ada’ (tunai).

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إيَّاكَ أرْجُو، وَلَكَ أدْعُو، فَبَلِّغْنِي صَالِحَ أمَلِي، واغْفِرْ لِي ذُنُوبِي، وَامْنُنْ عَليَّ بِما مَنَنْتَ بِهِ على أهْلِ طاعَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Hanya kepada-Mu aku berharap. Hanya kepada-Mu aku berdoa. Capaikanlah cita-cita baikku. Ampunkan dosa-dosaku. Kurniakanlah kepadaku segala perkara yang Engkau kurniakan kepada orang-orang yang mentaati-Mu.”

Wallahu a‘lam.