#6763: Bacaan Sujud Sahwi

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Apakah bacaan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam sujud sahwi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Pensyariatan  Sujud Sahwi

Sujud Sahwi disyariatkan bagi sesiapa yang meninggalkan salah satu amalan sunat ab‘adh di dalam solat sama ada kerana terlupa atau sengaja; begitu juga dengan orang yang terlupa bilangan rakaat. Perkara ini berdasarkan hadith ‘Abdullah bin Buhainah RA yang meriwayatkan bahawa:

صَلَّى لَنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَيْنِ، ثُمَّ قَامَ فَلَمْ يَجْلِسْ، فَقَامَ النَّاسُ مَعَهُ، فَلَمَّا قَضَى صَلَاتَهُ وَانْتَظَرْنَا التَّسْلِيمَ كَبَّرَ، فَسَجَدَ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ قَبْلَ التَّسْلِيمِ، ثُمَّ سَلَّمَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersolat bersama kami sebanyak 2 rakaat, kemudian baginda bangkit meneruskan rakaat ke-3 dan tidak duduk tasyahud. Makmum di belakang pun turut bangkit juga bersama baginda. Apabila selesai (semua rukun) solat, dan menunggu untuk memberi salam, baginda bertakbir dan bersujud sebanyak dua kali, dalam keadaan baginda duduk (tahiyat akhir) sebelum salam. Selepas itu, barulah Rasulullah SAW memberi salam.”

Riwayat al-Bukhari (829) dan Muslim (570)

‘Abdullah bin Mas‘ud RA juga meriwayatkan bahawa:

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَمْسًا، فَلَمَّا انْفَتَلَ تَوَشْوَشَ الْقَوْمُ بَيْنَهُمْ، فَقاَلَ: مَا شَأْنُكُمْ؟ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ! هَلْ زِيدَ فِي الصَّلَاةِ؟ قَالَ: لَا، قَالُوا: فَإِنَّكَ قَدْ صَلَّيْتَ خَمْسًا، فَانْفَتَلَ ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ، ثُمَّ سَلَّمَ، ثُمَّ قَالَ: إِنَّمَا أنَا بَشَرٌ مِثْلُكُمْ

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersolat bersama kami sebanyak 5 rakaat. Apabila selesai solat, orang ramai pun mulai berbunyi. Lantas baginda bertanya: “Mengapa dengan kalian semua?” Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, adakah rakaat solat telah ditambah?” Baginda menjawab: “Tidak.” Mereka berkata: “Tuan telah bersolat sebanyak lima rakaat.” Kemudian, Rasulullah melaksanakan sujud sebanyak dua kali kemudian baginda memberi salam. Lantas baginda bersabda: “Sesungguhnya aku ini manusia seperti kalian.”

Riwayat al-Bukhari (1226) dan Muslim (572)

Bacaan Sujud Sahwi

Berdasarkan fatwa Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj, kami simpulkan seperti yang tertera di jadual berikut:

Sebab Sujud Sahwi Bacaan Yang Dianjurkan
Tertinggal kerana lupa (سَهَا) Zikir Tasbih sujud seperti biasa, dan dianjurkan juga untuk membaca:

سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو

“Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa.”

Tinggal kerana sengaja (تَعَمَّدَ) Zikir Tasbih Sujud beserta Istighfar, paling sedikit: أَسْتَغْفِرُ اللهَ

Jadual ini adalah berdasarkan kenyatakan beliau, bahawa Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “(Tatacara sujud Sahwi adalah sama seperti cara sujud solat) termasuklah harus duduk antara dua sujudnya, juga ketiga-tiga kewajipan sujud mesti dituruti, termasuklah amalan-amalan sunat di dalamnya seperti bacaan zikir ketika sujud. Dikatakan juga, dianjurkan untuk membaca: “سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو” (Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa) dan bacaan ini adalah amat sesuai dengan keadaan ketika seseorang itu terlupa (melaksanakan sunat ab‘adh atau terlupa rakaat); bukan apabila sengaja meninggalkan (sunat ab‘adh). Jika sengaja, maka istighfar lebih sesuai bagi keadaan itu.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/199)

Bacaan Sunnah Dalam Sujud

Berikut adalah bacaan-bacaan yang disunnahkan untuk dibaca ketika dalam keadaan bersujud sepertimana yang diriwayatkan di dalam hadith-hadith sahih:

سُبْحَانَ ربِّيَ الْأَعْلَى [وَبِحَمْدِهِ]

Maksudnya: “Maha Suci Tuhanku yang Maha Tinggi dan Segala Puji milik-Nya.”

Riwayat Ahmad (3514), disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir dalam Tahqiq al-Musnad (1/371)

 

سُبُّوحٌ قُدُّوسٌ، ربُّ الْمَلَائِكَةِ وَالرُّوحِ

Maksudnya: “Maha Suci dan Maha Kudus Tuhan, Tuhan kepada sekalian malaikat dan para Roh”

Riwayat Muslim (487)

 

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبَّنَا وَبِحَمْدِكَ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي

Maksudnya: “Maha Suci Engkau Wahai Allah, Tuhan kami, segala puji hanya milik-Mu. Ya Allah, ampunkanlah daku.”

Riwayat al-Bukhari (817) dan Muslim (484)

Terdapat juga riwayat menyebut dengan doa:

اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَلَكَ أَسْلَمْتُ، سَجَدَ وَجْهِيَ لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ، وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ، تَبَارَكَ اللهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: “Ya Allah! Kepada-Mu aku bersujud, kepada-Mu aku beriman, kepada-Mu aku berserah. Aku sujudkan wajahku ini kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya, dan memberikannya pendengaran dan penglihatan. Maha Berkat Diri-Mu, sebaik-baik pencipta.”

Riwayat Muslim (771)

Sebahagian riwayat yang lain menyebut:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي ذَنْبِي كُلَّهُ؛ دِقَّهُ وَجِلَّهُ، وَأَوَّلَهُ وَآخِرَهُ، وَعَلَانِيَتَهُ وَسِرَّهُ

Maksudnya: “Ya Allah! Ampunkanlah dosaku kesemuanya; sama ada yang kecil mahupun besar, yang awal dan yang akhir, yang terangan atau sembunyi.”

Riwayat Muslim (483)

Juga terdapat riwayat yang lain menyebut:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي مَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ

Maksudnya: “Ya Allah! Ampunkan daku, segala dosa yang aku sembunyikan dan yang aku zahirkan.”

Riwayat al-Nasa’i (1124); disahihkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Nata’ij al-Afkar (2/99)

Antara riwayat menyebut:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا، وَفِي سَمْعِي نُورًا، وَفِي بَصَرِي نُورًا، وَعَنْ يَمِينِي نُورًا، وَعَنْ شِمَالِي نُورًا، وَأَمَامِي نُورًا، وَخَلْفِي نُورًا، وَفَوْقِي نُورًا، وَتَحْتِي نُورًا، وَاجْعَلْ لِّي نُورًا

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah hatiku cahaya, pendengaranku cahaya, penglihatanku cahaya, di kananku cahaya, di kiriku cahaya, di hadapanku cahaya, di belakangku cahaya, di atasku cahaya, di bawahku cahaya. Jadikanlah aku bercahaya.”

Riwayat al-Bukhari (6316) dan Muslim (763)

Begitu juga riwayat lain menyebut:

اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ، أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu dengan keredhaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan kemaafan-Mu daripada seksaan-Mu. Aku berlindung dengan-Mu daripada kemurkaan-Mu. Tidak terhitung segala pujian buat-Mu. Engkau berhak mendapat pujian sebanyak mana yang Engkau puji Diri-Mu.”

Riwayat Muslim (486)

Kesimpulannya

Kami nyatakan di sini bahawa bacaan Sunnah Rasulullah SAW di dalam Sujud Sahwi adalah bacaan-bacaan yang Sunnah dibaca ketika Sujud Solat seperti yang telah kami bawakan di atas. Manakala, sebahagian ulama menganjurkan untuk menambah bacaan: “سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُو” ketika sujud sahwi kerana terlupa; begitu juga bacaan Istighfar ketika sujud sahwi kerana sengaja meninggalkan amalan sunat di dalam solat.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَبِمُعَافَاتِكَ مِنْ عُقُوبَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ لَا أُحْصِي ثَنَاءً عَلَيْكَ، أَنْتَ كَمَا أَثْنَيْتَ عَلَى نَفْسِكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu dengan keredhaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan kemaafan-Mu daripada seksaan-Mu. Aku berlindung dengan-Mu daripada kemurkaan-Mu. Tidak terhitung segala pujian buat-Mu. Engkau berhak mendapat pujian sebanyak mana yang Engkau puji Diri-Mu.”

Wallahu a‘lam.