#6766: Memakan Burung Punai Emas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini saya ada melihat satu video seseorang menceritakan berkenaan burung punai emas miliknya, lalu ada dinyatakan juga secara sepintas lalu berkenaan ada tak di sana orang yang memakannya, dan dia menjawab, lebih baik tidak memakannya kerana burung ini sangat mahal. Soalan saya, bolehkah ustaz terangkan berkenaan kehalalannya dan adakah ia tidak dimakan kerana mahal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan secara ringkas berkenaan burung ini terlebih dahulu. Merpati Nicobar (Nicobar pigeon) adalah spesies burung yang tergolong dalam keluarga Columbidae. Ia juga dikenali sebagai Merpati emas atau Punai mas dalam bahasa Melayu. Burung ini mempunyai bulu tengkuk yang panjang dan penutup ekor putih dengan bulu ekor hitam, sayap yang panjang, dan kaki yang panjang. Burung jantan boleh dikenali melalui badannya yang kelabu dengan bulu berwarna biru-hijau logam dan gangsa-tembaga, kaki berwarna ungu atau merah-ungu, serta cakar yang berwarna kuning atau coklat muda. Pada burung betina, warnanya lebih gelap, bulu tengkuknya lebih pendek, dan paruhnya lebih kecil. Anak burung ini hampir serupa dengan burung betina, tetapi mereka tidak mempunyai bulu tengkuk dan seluruh badannya berwarna hitam kecoklatan termasuk ekor.

Gambar di atas: Burung Punai Emas (Sumber gambar: https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Punai_emas#/media/Fail%3ANicobar_Pigeon_820.jpg).

Punai Emas boleh ditemui di pulau-pulau kecil yang berhutan, dari Kepulauan Andaman dan Nicobar di Lautan Hindi hingga ke seluruh Kepulauan Indonesia dan Filipina, serta ke New Guinea dan Kepulauan Solomon di Pasifik barat.[1] Dikatakan Punai Emas merupakan anggota tunggal yang masih hidup dalam genus Caloenas, dan mungkin juga saudara terdekat dodo yang masih wujud selain burung tunggal Rodrigues.

Selain itu, Burung Punai Emas berkelana dalam kawanan dari pulau ke pulau, termasuk tapak-tapak yang dihuni manusia, untuk mencari makanannya yang terdiri daripada biji, buah, dan sesetengah invertebrata. Ia tertarik kepada kawasan-kawasan yang mempunyai bijian.[2]

Memakan Burung Punai Emas

Dalam menjawab soalan di atas, sebenarnya burung punai emas ini lebih dekat dengan keluarga merpati berbanding keluarga punai. Pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — yakni berlepas daripada hukum haram.

Selain itu, berkenaan burung merpati ini juga, Imam al-Nawawi ada menyatakan, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) bersepakat mengenai kehalalan untuk memakan burung unta, ayam, burung kurki (yakni burung jenjang),[3] burung hubara (الْحُبَارَى – chlamydotis), burung hajal (الْحَجَلِ – partridge),[4] itik, burung qata (الْقَطَا – sandgrouse), burung ‘usfur (عصفور),[5] burung qunbarah (قُنْبَرَة – iaitu burung jambul),[6] burung durraj (دُرّاج),[7] dan burung merpati. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/21)

Bahkan sebahagian ulama menyatakan bahawa kehalalan daging burung merpati itu sebagai ijma‘ ulama. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hazm bahawa ulama telah bersepakat bahawa lembu, kambing, ayam, burung merpati, angsa, burad (البُرد),[8] burung hajal (الْحَجَلِ – partridge), burung qata (الْقَطَا – sandgrouse), burung hubara (الْحُبَارَى – chlamydotis) dan burung ‘usfur (عصفور) adalah halal untuk dimakan. (Lihat Maratib al-Ijma‘, hlm. 149).

Begitu juga al-Kasani turut menyebutkan, burung-burung yang jinak, di antaranya seperti ayam dan itik, begitu juga yang liar seperti burung merpati, burung fakhitah (dove) dan burung ‘usfur adalah halal (untuk dimakan) berdasarkan ijma‘ ulama. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/39).

Selain itu, Ibn al-Qattan ada menyebutkan, ulama bersepakat bahawa lembu, kambing, ayam, burung merpati, angsa, burung burkah (بُرْكَة),[9] burung hajal (الْحَجَلِ – partridge), burung qata (الْقَطَا – sandgrouse), burung hubara (الْحُبَارَى – chlamydotis), burung ‘usfur (عصفور) dan zarazir (الزرازر)[10] adalah halal untuk memakannya. (Lihat al-Iqna‘ fi Masa’il al-Ijma‘, 1/323).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa burung merpati termasuk dalam jenis burung yang halal untuk dimakan. Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa burung Punai Emas atau Merpati Emas ini adalah halal dan harus untuk dimakan sebagaimana hukum asalnya, selagi mana ia tidak memudaratkan pemakannya. Begitu juga keharusan dan kehalalan untuk memakannya itu, tidak kira ia daripada jenis liar mahupun jinak, mahal atau murah harganya, dewasa mahupun anak, jantan atau betina. Kesemuanya adalah halal dimakan dengan syarat ia disembelih terlebih dahulu sebagaimana sembelihan yang dikehendaki oleh syarak.

Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya, tidak terdapat perintah untuk membunuhnya mahupun larangan daripada membunuhnya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Selain itu, hal ini juga dikuatkan lagi dengan nukilan ijma‘ oleh sebahagian ulama yang menyatakan mengenai keharusan dan kehalalan untuk memakannya.

Walaupun begitu, kita juga amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia dan lain-lain, adakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk mendapatkan dan memakan burung tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://www.mybis.gov.my/sp/21145. Diakses pada 12 Ogos 2024.

[2] Lihat https://ms.m.wikipedia.org/wiki/Punai_emas. Diakses pada 12 Ogos 2024.

[3] Lihat Kamus Idris al-Marbawi, 2/180.

[4] Syeikh Idris al-Marbawi menyatakan, ia sebangsa burung sebesar merpati, merah paruhnya dan kakinya. (Lihat Kamus Idris al-Marbawi, 1/121).

[5] Syeikh Idris al-Marbawi menyatakan, burung-burung yang kecil seperti ciak, pipit dan seumpamanya. (Lihat Kamus Idris al-Marbawi, 2/26).

[6] Lihat Kamus Idris al-Marbawi, 2/157)

[7] Jika disebut dengan baris atas pada huruf dal, darraj (الدَّرَّاجِ) ia bermaksud landak. (Lihat Kamus Idris al-Marbawi, 1/199). Akan tetapi jika dibaca dengan baris depan pada huruf dal, durraj (دُرّاج) ia merujuk kepada sejenis burung daripada keluarga ayam yang mirip dengan burung hajal (الْحَجَلِ – partridge) dan lebih besar daripadanya dari segi saiznya. Wajah, leher, dan dadanya berwarna hitam dengan bintik-bintik, dengan tubuh berwarna putih. Paruhnya pendek. Di bahagian bawah perut dan di bawah ekornya, terdapat warna merah, juga terdapat bintik-bintik hitam dan putih yang cenderung ke arah hitam dan putih di ekor dan belakangnya. Burung ini juga dikenali sebagai Durraj al-Iraqi. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/arar/الدَّرَّاجِ/. Diakses pada 16 Ogos 2023).

[8] Kami tidak menjumpai haiwan/burung dengan nama ini. Boleh jadi yang dimaksudkan ialah burung burkah (بُرْكَة) atau burak (بُرَكٌ) yang merujuk kepada sejenis burung air.

[9] Menurut al-Damiri, burkah (بُرْكَة) dan kata jamaknya ialah burak (بُرَكٌ) iaitu sejenis burung air. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/414)

[10] Boleh jadi ia merujuk kepada burung zurzur (الزُّرْزُورُ). Ia ialah burung daripada jenis ‘usfur. Ia dinamakan sedemikian disebabkan oleh zarzarah (زَرْزَرَة) iaitu bunyinya. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 2/478)