#6767: Tidak Menginginkan Zuriat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, seorang suami tidak mencintai isterinya dan tidak mahu mempunyai anak? Apakah nasihat Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَاللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةً وَرَزَقَكُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ ۚ

Maksudnya: “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan menjadikan bagi kamu dari pasangan kamu anak-anak dan cucu-cicit, serta merezekikan kepada kamu dari benda yang baik (lagi halal).”

(Surah al-Nahl: 72)

Syeikh Muhammad Amin al-Syinqiti menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan bahawa pasangan, anak-anak, dan rezeki yang baik merupakan nikmat Allah SWT yang sangat besar. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/412)

Dan disebutkan juga di dalam firman Allah SWT:

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ

Maksudnya: “Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia.”

(Surah al-Kahf: 46)

Imam al-Alusi menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan tentang perkara-perkara yang menjadi kebanggaan manusia daripada kebaikan kehidupan di dunia. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 8/271)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan antara hikmah perkahwinan adalah dapat merasai kasih sayang dan belas kasihan antara satu sama lain. Kasih sayang ini bukan sahaja menceriakan kehidupan, tetapi juga meningkatkan keyakinan, memberikan ketenangan, dan membawa kebahagiaan. Ia adalah rahmat yang besar dari Allah SWT yang perlu kita syukuri dan pelihara. Hal ini jelas seperti dalam firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ‎

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Selain itu juga, tujuan bagi sesebuah perkahwinan adalah untuk mengembangkan zuriat. Hal ini boleh dilihat melalui sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A, katanya: Seseorang telah mendatangi Rasulullah SAW dan berkata:

إِنِّي أَصَبْتُ امْرَأَةً ذَاتَ جَمَالٍ وَحَسَبٍ، وَإِنَّهَا لَا تَلِدُ أَفَأَتَزَوَّجُهَا؟ قَالَ: لَا، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّانِيَةَ فَنَهَاهُ، ثُمَّ أَتَاهُ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: تَزَوَّجُوا الْوَدُودَ الْوَلُودَ فَإِنِّي مُكَاثِرٌ بِكُمُ الْأُمَمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah bertemu dengan seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik tetapi dia seorang yang tidak boleh melahirkan anak. Maka, apakah aku boleh menikahinya? Rasulullah SAW menjawab: “Jangan.” Kemudian, lelaki itu datang buat kali yang kedua, maka baginda juga melarangnya. Lalu lelaki itu datang buat kali yang ketiga, maka Nabi SAW bersabda: “Kahwinilah kamu akan perempuan yang penyayang, subur kerana aku merasa bangga dengan memiliki umat yang banyak.”

Riwayat Abu Dawud (2050) dan al-Nasa’i (3227). Syeikh Syuaib al-Arnaut menyatakan sanad hadith ini qawiy dan dinilai sahih berdasarkan kitab Adab al-Zifaf (hlm. 132)

Syeikh Abd al-‘Azim Abadi  berkata: “( تَزَوَّجُوا الْوَدُود) iaitu; yang mencintai suaminya, (الْوَلُود) iaitu yang ramai anaknya. Dua kriteria diikat bersama kerana jika dia subur tetapi bukan seorang yang penyayang, maka tidak digalakkan untuk berkahwin dengannya, dan jika dia penyayang tetapi tidak subur maka matlamatnya tidak akan tercapai iaitu menambahkan bilangan umat Nabi SAW dengan melahirkan ramai anak. Untuk mengetahui dua perkara yang ada pada wanita dara adalah dengan melihat saudara dan adik beradik mereka; kerana secara umumnya apa yang berlaku adik beradiknya atau saudaranya tidak jauh beza antara satu sama lain. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 6/33)

Justeru, dapat difahami daripada hadith di atas bahawa Rasulullah SAW amat berbangga dengan memiliki umat yang ramai. Ini menunjukkan bahawa memperbanyakkan umat Islam adalah satu perkara yang digalakkan dalam Islam dan ia merupakan salah satu matlamat perkahwinan. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar bagi isteri atau suami menolak zuriat kerana ia menyalahi matlamat tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu‘lam