#6782: Menubuhkan Pusat Pengajian Di Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum mengadakan kelas atau menubuhkan tempat pengajian di masjid? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.”

(Surah al-Taubah: 18)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat Aisar al-Tafasir, 2/66, al-Tafsir al-Kabir, 5/9).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa masjid merupakan sebuah institusi yang penting dalam islam. Semenjak dahulu, selain menjadi tempat ibadah, masjid juga berfungsi sebagai pusat komuniti di mana pelbagai aktiviti sosial, pendidikan, dan kebajikan dijalankan.

Antara perkara yang menunjukkan bahawa masjid merupakan tempat untuk mempelajari ilmu adalah apa yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Amr R.Anhuma beliau berkata:

خرجَ رسولُ اللَّهِ صلّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ ذاتَ يومٍ من بعضِ حُجَرِهِ فدخلَ المسجدَ فإذا هوَ بحلقتينِ إحداهما يقرؤونَ القرآنَ ويدعونَ اللَّهَ والأخرى يتعلَّمونَ ويعلِّمونَ فقالَ النَّبيُّ صلّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ كلٌّ على خيرٍ هؤلاءِ يقرؤونَ القرآنَ ويدعونَ اللَّهَ فإن شاءَ أعطاهم وإن شاءَ منعَهُم وَهَؤلاءِ يتعلَّمونَ ويعلِّمونَ وإنَّما بُعِثتُ معلِّمًا

Maksudnya: “Pada suatu hari, Rasulullah SAW keluar dari salah satu biliknya dan masuk ke dalam masjid. Baginda mendapati terdapat dua kumpulan, salah satu daripadanya sedang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah, sementara yang satu lagi sedang belajar dan mengajar. Lalu Nabi SAW bersabda,: “Kedua-duanya berada di atas kebaikan. Mereka yang membaca al-Quran dan berdoa kepada Allah, jika Dia menghendaki, Dia akan memberikannya (permintaan), dan jika Dia menghendaki, Dia akan menahan dari mereka. Adapun mereka yang belajar dan mengajar, sesungguhnya aku diutuskan sebagai seorang guru.”

Riwayat Ibn Majah (225) al-Albani menilai hadith ini sebagai dhaif

Disebutkan dalam Syarh Sunan Ibn Majah (15/10) bahawa: Mereka yang membaca al-Quran sedang mempelajari ilmu dan bukan berada di luar daripada ilmu. Maka kedua-dua kumpulan ini adalah sama; mereka yang membaca al-Quran dan mereka yang mempelajari ilmu adalah dalam satu kelompok.

Selain itu juga, hadith ini menunjukkan bahawa masjid bukan hanya tempat untuk solat tetapi juga pusat pembelajaran. Rasulullah SAW mendapati dua kumpulan dalam masjid, satu sedang membaca al-Quran dan berdoa, sementara satu lagi sedang mempelajari dan mengajarkan ilmu. Ini menunjukkan bahawa masjid adalah tempat yang sesuai untuk kedua-dua aktiviti ini.

Ibn al-Haj menyebutkan: tempat pengajaran tidak terlepas daripada tiga keadaan: sama ada di rumah, di sekolah, atau di masjid. Tempat pengajaran yang terbaik adalah di masjid. (Lihat al-Madkhal, 1/85)

Begitu juga dalam Athar Ibn Badis (3/225) disebutkan bahawa: Masjid dan pendidikan adalah dua perkara yang saling berkait dalam Islam sejak dari awal kemunculannya. Apabila Nabi SAW menetap di tanah Islam, Baginda tidak membina rumahnya sebelum membina masjid. Setelah membina masjid, Baginda mendirikan solat di dalamnya dan duduk mengajar para sahabatnya. Maka, masjid terikat dengan pendidikan sebagaimana ia terikat dengan solat. Kemudian umat Islam meneruskan sunnah ini di serata dunia Islam dengan mewakafkan harta untuk masjid bagi tujuan solat dan pendidikan. Antara yang paling terkenal dan menonjol hari ini adalah Masjid al-Azhar, Masjid Zaituna, dan Masjid al-Qarawiyyin.

Justeru, tidak menjadi satu kesalahan untuk mengadakan kelas atau menubuhkan pusat pengajian di masjid. Ini kerana ia merupakan tradisi yang telah diamalkan sejak dahulu hingga kini. Oleh itu, masjid menjadi tempat utama untuk mempelajari dan mengamalkan ajaran Islam. Dengan mengadakan kelas di masjid, kita dapat menghidupkan kembali tradisi ini dan memastikan bahawa ilmu agama terus disebarkan kepada generasi muda. Ini juga membantu memperkukuhkan komuniti Muslim dengan menyediakan platform untuk belajar dan berinteraksi dalam suasana yang penuh keberkatan.

Walaupun begitu, nasihat kami, jika ingin mengadakan kelas yang tetap seperti kelas tahfiz di mana pelajarnya sentiasa menggunakan masjid tersebut, maka hendaklah mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pihak pengurusan masjid. Ini kerana, akan berlaku peningkatan kos sama ada api mahupun air. Insya Allah, akan ada satu solusi yang terbaik untuk kedua-dua belah pihak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua‘lam