#6784: Pemurahnya Qais bin Sa’d

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, betapa pemurahnya Qais bin Sa’d?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١﴾ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ ثُمَّ لَا يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُوا مَنًّا وَلَا أَذًى ۙ لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya. Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya), dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

(Surah al-Baqarah: 261-262)

Ibn Kathir berkata: Ini merupakan perumpamaan yang diberikan Allah mengenai gandaan pahala untuk orang yang bernafkah hartanya pada jalan Allah kerana mencari keredaan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/526)

Al-Imam al-Nasafi berkata: “Allah membuktikan kekuasaannya dalam menghidupkan yang mati seterusnya Allah menggesa supaya menginfak pada jalan Allah kerana pahalanya yang amat besar.” (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Ta’wil, 1/216)

Kami mulakan terlebih dahulu, biografi ringkas Qais bin Sa’d: Qais ibn Sa’d ialah seorang pemimpin terkemuka tentera Islam yang terkenal dengan pertahanannya dalam peperangan. Beliau adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW. Qais juga merupakan salah seorang sahabat Ali bin Abi Talib. Qais ibn Sa’d dilahirkan di Madinah sekitar zaman Rasulullah SAW. Bapanya ialah Sa’d ibn Ubadah, ketua suku Khazraj. Sebelum memeluk Islam, Qais ibn Sa’d dikatakan sangat licik. Dia akan menggunakan kelicikannya untuk menipu penduduk Madinah dan sekitarnya dalam perniagaan. Qais meninggal dunia pada tahun 59 H (678-679 M) di Madinah.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan pada suatu ketika, Qais bin Sa’d R.A sakit. Kemudian, beliau mendapati saudara-saudaranya belum ada yang datang menziarahinya. Lalu Qais bertanya, kenapa saudara-saudaranya dan temannya tidak ada yang datang.

Salah seorang menjawab: “Qais! Mereka mahu datang menziarahimu. Akan tetapi, mereka (tidak datang kerana) masih memiliki hutang kepada kamu.”

Lalu Qais berkata, “Apalah gunanya harta jika ia menghalang saudara dan teman-temanku untuk menziarahiku.” Kemudian Qais memerintahkan seseorang untuk memberitahu, “Sesiapa yang memiliki hutang kepada Qais, maka beliau telah membebaskan (menghalalkan) hutang tersebut.”

Setelah itu, berduyun-duyun penziarah yang datang ke rumah Qais. (Lihat Radd al-Bala’ bi al-Sadaqah oleh Mustafa Syeikh Ibrahim Haqqi, hlm. 41)

Dalam satu kisah yang lain, pernah ditanya kepada Qais, ‘Adakah di sana orang yang lebih pemurah daripada kamu?’ Jawabnya, ‘Ada’ Lantas, dikisahkan bahawa beliau bersama beberapa sahabatnya pergi ke sebuah perkampungan Badwi. Apabila menjelmanya malam, beliau memohon kepada sebuah rumah untuk bermalam. Maka, keluarlah seorang wanita mengizinkannya untuk bermalam di rumahnya yang bersebelahan sebagai rumah tamu.

Pada malam tersebut, suaminya pulang dan melayan Qais serta sahabatnya dengan penuh kemesraan. Selepas beberapa ketika, tuan rumah menjamu Qais dengan seekor unta. Kemudian, pada malam berikutnya, seekor unta yang lain pula. Qais bertanya, ‘Adakah ini unta semalam?’ Jawabnya, ‘Tidak. Aib bagi kami menjamu makanan yang sama dua kali. Justeru, kami sembelih yang baru pula.’ Qais bertanya, ‘Baki yang semalam di mana?’ Jawabnya, ‘Sesudah tetamu menjamu selera, saya akan bahagikan kepada seluruh penduduk kampung.’

Kemudian, itulah yang dilakukannya setiap malam. Akhirnya, Qais meminta izin dengan tuan rumah yang kebetulan pada masa itu hanya isterinya ada. Diletakkan di bawah bantal tempat tidurnya seuncang daripada wang bernilai 100 dinar sebagai balasan atas kebaikannya.

Kemudian pada waktu petang, didapati tuan rumah lelaki mengejarnya dengan kuda dengan keadaan muka yang amat marah di samping menghunus tombak atau pedang seraya berkata, ‘Celaka wahai yang laknat. Ambillah duitmu ini, kalau tidak nescaya akan aku bunuh kamu.’ Qais terpinga-pinga lantas bertanya, ‘Kenapa?’ Jawabnya, ‘Menjadi aib pada kami mengambil duit tetamu atau pemberian tetamu.’ Kata Qais, ‘Aku tidak melihat orang yang sepemurah itu.’(Lihat Qisasun fi al-Karam, hlm. 15-16)

  • Qais dan Kebunnya

Dikatakan bahawa Qais bin Sa’d R.A mempunyai sebuah kebun kemudian dijualnya kepada Muawiyah bin Abi Sufyan R.A dengan nilai 90,000. Selepas beliau menerima duitnya, terus beliau memberi kepada orang ramai separuhnya sebagai hadiah atau hibah. Kemudian, beliau meminta seorang penyeru untuk melaungkan di Madinah siapa yang berhajat kepada harta dan mahu meminjam maka bolehlah pergi kepada Qais untuk berhutang dengannya. Maka, datanglah ramai manusia kepada Qais. Kemudian, Qais memberi pinjam kesemuanya dan Qais mengambil setiap peminjam dengan mencatat pada kertas jumlah yang diberi pinjam sebagai bahan bukti. (Lihat Qisasun fi al-Karam, hlm. 5)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ كُلِّ خَيْرٍ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ كُلِّ شَرٍّ أَحَاطَ بِهِ عِلْمُكَ، فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami mohon daripada-Mu dari setiap kebaikan yang menguasai ilmu-Mu di dunia dan akhirat, dan kami minta berlindung dengan-Mu dari setiap kejahatan yang menguasai dengannya ilmu-Mu di dunia dan akhirat.”