#6791: Meminta Gambar daripada Wanita Pada Bahagian Tertentu

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Maaf soalan agak sensitif. Bolehkah seseorang lelaki meminta gambar wanita yang bukan mahramnya pada bahagian-bahagian aurat tertentu seperti payudara, kaki dan seumpamanya meskipun tertutup? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa meminta gambar wanita yang bukan mahram ataupun gambar pada mana-mana bahagian tubuhnya tanpa sebarang keperluan yang diizinkan oleh syarak adalah tidak dibolehkan dan haram. Apatah lagi, jika gambar yang diminta itu adalah berupa gambar pada bahagian aurat yang jelas tujuannya adalah untuk perkara yang tidak baik sekalipun ia masih tertutup dengan pakaian, maka adalah lebih-lebih lagi diharamkan dan tidak dibenarkan. Ini kerana perbuatan itu boleh membawa kepada kemudharatan yang lebih besar dan banyak seperti timbulnya syahwat dan nafsu yang dilarang bagi orang yang melihatnya atau hal-hal seumpamanya.

Perkataan aurat ialah merujuk kepada apa-apa yang diharamkan untuk didedah daripada anggota badan sama ada lelaki ataupun perempuan. Ia juga ditakrifkan sebagai apa-apa yang wajib ditutupi dan tidak boleh dizahirkan daripada anggota badan. Menurut Khatib al-Syarbini, aurat diertikan sebagai apa-apa yang haram untuk dilihat. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/185).

Menurut pengarang kitab Kifayah al-Akhyar, aurat menurut syarak ialah batas minima dari bahagian tubuh yang wajib ditutup kerana perintah Allah SWT. (Lihat Kifayah al-Akhyar, 1/52)

Begitu juga turut dijelaskan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa aurat adalah suatu anggota badan yang tidak boleh ditunjukkan dan diperlihatkan oleh lelaki atau perempuan kepada orang lain. (Lihat al-Mausu‘ah al Fiqhiyyah al Kuwaitiyyah, 31/44).

Secara asasnya, ulama mazhab al-Syafi‘i menyatakan bahawa aurat wanita di hadapan mahramnya ialah antara pusat dan lutut sama ada mahramnya yang lelaki atau perempuan dan begitu juga antara wanita dan wanita. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/188-189).

Meskipun dinyatakan bahawa aurat wanita di hadapan lelaki mahram antara pusat dan lutut, namun seseorang wanita tidak boleh mendedahkan bahagian tubuhnya yang boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Ini kerana setiap Muslim wajib meninggalkan segala perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Perkara ini dinyatakan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji: “Manakala (aurat wanita) di hadapan lelaki-lelaki mahramnya adalah antara pusat dan lutut, iaitu dia harus mendedahkan seluruh penjuru badannya di hadapan mereka dengan syarat aman daripada fitnah, jika sebaliknya (wujud fitnah) maka itu tidak boleh (yakni haram) juga.”  (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/125).

Larangan daripada melihat aurat ini adalah lebih jelas menerusi hadith Abu Sa‘id al-Khudri:

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ، وَلاَ يُفْضِي الرَّجُلُ إِلَى الرَّجُلِ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ، وَلاَ تُفْضِي الْمَرْأَةُ إِلَى الْمَرْأَةِ فِي الثَّوْبِ الْوَاحِدِ

Maksudnya: “Tidak boleh seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki yang lain dan tidak boleh bagi seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain. Begitu juga tidak boleh seorang lelaki berbaring dengan lelaki lain di dalam satu selimut yang sama, demikian juga tidak boleh seorang perempuan berbaring dengan perempuan lain di bawah satu selimut yang sama.”

Riwayat Muslim (338)

Imam al-Nawawi menyebutkan, hadith ini menunjukkan haram seorang lelaki untuk melihat aurat lelaki lain dan begitu juga haramnya seorang perempuan untuk melihat aurat perempuan yang lain. Tidak ada perselisihan ulama mengenai hal ini. Demikianlah juga haram seorang lelaki untuk melihat aurat perempuan lain dan begitu juga haram seorang perempuan untuk melihat aurat lelaki lain secara ijma‘ ulama.

Nabi Muhammad SAW menegaskan melalui larangan lelaki melihat aurat lelaki lain bahawa larangan melihat aurat wanita lebih utama lagi (dari segi pengharamannya). Pengharaman ini berlaku terhadap selain pasangan suami isteri. Adapun bagi suami isteri, masing-masing dibolehkan melihat aurat pasangannya, kecuali pada bahagian faraj itu sendiri. Dalam hal ini, terdapat tiga pandangan dalam kalangan ashab kami, di mana pandangan yang paling sahih adalah bahawa ia makruh bagi masing-masing melihat faraj pasangannya tanpa keperluan, namun ia tidaklah haram. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/30).

Selain daripada itu, larangan ini juga adalah sebagai suatu langkah Sadd al-Zarai‘ iaitu mencegah dan menutup kemudharatan yang lebih besar, yang mungkin timbul akibat gambar tersebut. Ini kerana gambar itu boleh diedit dan digunakan untuk perkara-perkara yang tidak baik ataupun disebarkan dengan sewenang-wenangnya tanpa keizinan — na‘uzubillah min zalik. Akibatnya, nama baik si pemilik gambar akan tercemar dan menjatuhkan maruahnya, meskipun sebenarnya ketika mana dia (wanita itu) memberi gambarnya pada lelaki yang bukan mahramnya itu pun sudah menyebabkan maruahnya tercalar.

Di antara dalil yang dijadikan sebagai sandaran akan kewajipan menutup aurat dan menjaga diri daripada mempamerkan kecantikan sehingga boleh membawa kepada timbulnya fitnah, adalah firman Allah SWT:

 وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَى عَوْرَاتِ النِّسَاءِ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِنْ زِينَتِهِنَّ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya:Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Al-Sa‘di menafsirkan lafaz “إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا” (yakni kecuali yang zahir daripadanya) pada ayat di atas sebagai pakaian yang zahir, iaitu yang biasa dipakai menurut adat setempat dengan syarat pakaian tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 566).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa seseorang lelaki tidak boleh dan diharamkan untuk meminta gambar wanita yang bukan mahramnya tanpa sebarang keperluan yang diizinkan syarak, tidak kira pada bahagian mana sekalipun; bahagian aurat ataupun tidak, dan begitu juga meskipun bahagian aurat yang diminta itu tertutup dengan pakaian. Ia tetap tidak dibolehkan kerana jelas tujuannya adalah untuk perkara yang tidak baik, bahkan meminta gambar pada bahagian aurat sekalipun ia masih tertutup dengan pakaian, adalah lebih-lebih lagi diharamkan dan tidak dibenarkan. Ini kerana perbuatan itu boleh membawa kepada kemudharatan yang lebih besar dan banyak seperti timbulnya syahwat dan nafsu yang dilarang bagi orang yang melihatnya atau hal-hal seumpamanya.

Bahkan terdapat di sana hadith yang menyatakan zina boleh terjadi dengan hanya/bermula dari penglihatan. Daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ. فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ الـمَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي. وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah menetapkan bahagian daripada zina ke atas anak Adam yang dia akan terjebak dengannya tanpa dapat dielak. Maka zina mata adalah dengan melihat, zina lidah adalah dengan percakapan dan jiwa sentiasa menginginkan dan menggemari. Lalu kemaluanlah yang membenarkan perkara itu atau mendustakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6612)

Begitu juga wanita yang diminta gambarnya oleh lelaki asing itu juga tidak dibolehkan atau haram baginya untuk memberikan gambarnya itu kepada lelaki berkenaan. Ini kerana tindakannya memberikan gambarnya kepada lelaki tersebut, secara tidak langsung telah membuka pintu fitnah yang menjurus kepada hal yang dilarang serta membantunya dalam melakukan maksiat. Sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh membantu orang dalam perkara maksiat dan dosa. Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas menyebutkan, Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/7).

Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ الـمَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya:Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” (Lihat Ma‘lamah Zayed li al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666).

Oleh itu, walaupun seseorang itu tidak melakukan maksiat atau perbuatan dosa tersebut, namun perbuatannya dalam menolong orang lain untuk melakukan perbuatan maksiat akan turut dianggap sebagai maksiat. Dalam kes ini, wanita tersebut menanggung dosa jika gambar yang diberikan itu tidak menutup aurat dengan sempurna dan juga dosa kerana membuka jalan kepada maksiat tersebut.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan kepada semua, tidak kira lelaki mahupun perempuan, agar sentiasa memelihara diri masing-masing dan tidak melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan tohmahan kepada diri mereka sekali gus mencemarkan maruah dan imej sebagai seorang Muslim dan Muslimah. Ingatlah, sebelum melakukan sesuatu tindakan atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama. Ini selari dengan kaedah yang menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya:Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[1]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Nota Hujung:

[1] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.