#6804: Memakan Daging/Makanan Hangus

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah Rasulullah SAW melarang daripada memakan daging atau makanan yang hangus? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah daripada apa yang ada di bumi yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah: 168)

Ayat ini ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan haiwan-haiwan yang telah dihalalkan untuk mereka mengambilnya (yakni makan dan ambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, mencuri, jual beli yang diharamkan atau perkara-perkara yang seumpamanya.  Manakala lafaz ‘tayyiban’ pula bermaksud bukan daripada perkara yang buruk (yakni kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging babi dan lain-lain. Oleh itu, ayat ini merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/80).

Di sana terdapat artikel yang ditulis oleh Dr. Maimunah Sanny, yang merupakan Professor Madya di Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia dengan tajuk: “Elakkan Pengambilan Makanan Yang Hangus.

Ini kerana di dalamnya mengandungi Akrilamida. Akrilamida digunakan di seluruh dunia untuk mensintesis poliakrilamida. Poliakrilamida pula digunakan dalam pelbagai aplikasi. Contohnya, dalam rawatan air sisa, poliakrilamida digunakan untuk membekukan pepejal. Poliakrilamida juga digunakan oleh industri plastik, kosmetik, kertas dan tekstil.

Akrilamida terhasil apabila sejenis protein dalam makanan yang dinamakan sebagai asparagina bertindak balas dengan gula semulajadi dalam makanan. Tindak balas tersebut berlaku apabila makanan dimasak menggunakan suhu yang tinggi. Pembentukan akrilamida bergantung pada sifat makanan dan kaedah memasak. Lazimnya, kaedah memasak, seperti menggoreng, membakar, dan memanggang, yang melibatkan suhu melebihi 120°C akan menghasilkan akrilamida. Kaedah merebus dan mengukus tidak akan menghasilkan akrilamida dalam makanan. Bahan toksik ini terbentuk dalam kuantiti yang tinggi dalam makanan yang berasaskan tumbuh-tumbuhan. Risiko pembentukan akrilamida lebih rendah dalam produk tenusu, daging, ayam dan ikan.

Oleh itu, makanan tergoreng harus diangkat dengan segera apabila bertukar warna kuning keemasan. Bagi roti pula, cukup sekadar warna roti bertukar kepada coklat muda. Bahagian roti bakar yang hangus dan bewarna coklat tua harus dielakkan sama sekali kerana kawasan itulah yang mempunyai kandungan akrilamida yang tinggi. Lebih gelap warna makanan yang  dimasak, lebih tinggi kandungan akrilamidanya.[1]

Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa tidak ditemukan hadith Nabi SAW yang melarang memakan daging atau makanan yang hangus. Namun, terdapat beberapa ulama dalam kalangan Malikiyyah membahaskan berkenaannya. Muhammad Maulud al-Syanqiti, termasuk dalam kalangan ulama Maliki yang terkemudian, menyebut dalam kitab al-Rahmah yang mengulas karya al-Dusuqi bahawa pendapat yang lebih kuat adalah haramnya memakan roti yang hangus. Namun, ada juga yang berpendapat, ia adalah makruh. Manakala dinyatakan dalam al-Qasriyyah, daripada Ibn Hilal yang berpendapat bahawa dibolehkan makan makanan yang hangus selagi tidak dikhuatiri akan mendatangkan mudarat seperti kematian atau penyakit yang jelas, dan hukumnya adalah makruh jika tidak dikhuatiri ada mudarat yang nyata. Perbezaan pendapat ini adalah berdasarkan sama ada makanan yang hangus akan mendatangkan mudarat kepada pemakannya ataupun tidak. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah, 17/174)

Sememangnya syariat melarang daripada mendedahkan diri kepada apa yang boleh membahayakan atau membinasakan diri. Allah SWT berfirman:

وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ

Maksudnya:Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan.”

(Surah al-Baqarah: 195)

Ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Begitu juga firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا تَأْكُلُوٓا۟ أَمْوَٰلَكُم بَيْنَكُم بِٱلْبَـٰطِلِ إِلَّآ أَن تَكُونَ تِجَـٰرَةً عَن تَرَاضٍۢ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًۭا ٢٩ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ عُدْوَٰنًۭا وَظُلْمًۭا فَسَوْفَ نُصْلِيهِ نَارًۭا ۚ وَكَانَ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu (29). Dan sesiapa berbuat demikian dengan menceroboh dan aniaya, maka kami akan masukkan dia ke dalam api neraka, dan balasan yang sedemikian itu adalah mudah bagi Allah, (tidak ada sesiapapun yang dapat menghalangnya).

(Surah al-Nisa’: 29-30)

Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa‘di menyebutkan, maksudnya adalah janganlah sebahagian daripada kamu membunuh sebahagian yang lain, dan janganlah seseorang membunuh dirinya sendiri. Ini termasuk juga mendedahkan diri kepada kebinasaan dan melakukan perkara-perkara yang berisiko membawa kepada kematian dan kebinasaan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 175).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa makanan yang hangus adalah dibolehkan dan halal untuk memakannya sebagaimana hukum asalnya, kecuali jika diketahui bahawa ia boleh mendatangkan mudarat kepada pemakannya. Jika diketahui atau diyakini bahawa memakannya pasti akan membawa mudarat, maka hukumnya adalah haram.

Ini kerana agama Islam selalu mengingatkan penganutnya agar menjauhi semua perkara yang boleh memudaratkan diri. Kaedah ada menyebutkan bahawa:

وَالْأَصْلُ فِي الْمَضَارِّ الْحُرْمَةُ

Maksudnya:Hukum asal pada setiap sesuatu yang memudaratkan adalah haram.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Maka untuk mengetahui sama ada makanan hangus memudaratkan atau tidak, rujukan perlu dibuat kepada pakar dalam bidang tersebut. Jika benar bahawa ia memudaratkan, maka tinggallah daripada memakannya, tetapi jika tidak memudaratkan, maka ia adalah dibolehkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota hujung:

[1] Lihat https://food.upm.edu.my/artikel/elakkan_pengambilan_makanan_yang_hangus-46385. Diakses pada 14 Ogos 2024.