#6806: Kitab Fath al’-Ali fi Tarjamah Sirah al-Nabawi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah pengarang kitab Fath al’-Ali fi Tarjamah Sirah al-Nabawi dan boleh terangkan isi kandungannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kitab ini dikaryakan oleh al-Hafiz Abd al-Ghani al-Maqdisi. Nama sebenarnya ialah Beliau adalah al-Imam al-Hafiz Taqiy al-Din Abu Muhammad ʿAbd al-Ghani bin Abd al-Wahid bin ʿAli bin Surūr al-Maqdisi al-Jammaʿli al-Dimasyqi al-Salihi al-Hanbali. Beliau dilahirkan pada tahun 541H di Jammaʿil, iaitu di kawasan Nablus Palestin. Beliau dinisbahkan kepada Bayt al-Maqdis kerana dekatnya Jummaʿil dengan kawasan tersebut. Nisbah al-Salihi kerana nama kawasan al-Salihiyah di mana terkenal dengan keluarganya.

Beliau meninggal dunia pada hari Isnin 23 Rabi al-Awwal tahun 600H pada umur 56 tahun dan dikebumikan di Mesir.

Kitab yang dikaryakan adalah sebuah ringkasan berkenaan dengan salasilah Nabi SAW, tempat dan tarikh, riwayat hidup pada masa kecil, nama Nabi, tempat pembesarannya, perjalanannya ke Kota Syam, seterusnya menerima wahyu, hijrahnya, kewafatan Baginda, anak-anak Baginda, haji dan umrah Baginda, penulis dan utusan Nabi SAW, bapa dan ibu saudara Nabi, isteri-isteri Baginda SAW, khadam lelaki, wanita dan hamba Nabi, hamba yang telah dibebaskan, kuda tunggangan Nabi, senjata yang Nabi miliki, sifat Baginda SAW, akhlak dan peribadi Baginda SAW, dan diakhiri dengan mukjizat Baginda SAW.

Semoga buku yang kecil ini, yang telah kami tahqiqkannya dan menambah nota kaki seperti hasyiyah bagi memberi lebih penjelasan dan makrifah kepada para pembaca. Insya Allah, buku ini akan di-ebook-kan atau dicetak pada masa yang terdekat.

Marilah sama-sama kita menjadikan Rasulullah SAW sebagai uswah dan qudwah yang terbaik bagi kita, selaras dengan firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Abu al-Hasan al-Nadwi berkata:

  • Jika anda seorang pemuda, maka teladan yang paling elok dan paling cantik bagimu adalah Nabi Muhammad SAW.
  • Jika anda telah mencapai umur tua, maka, Baginda SAW adalah contoh anda.
  • Jika anda fakir dan miskin, maka Baginda SAW adalah teladan dan contoh bagi anda.
  • Jika anda kaya, maka Baginda SAW imam anda.
  • Jika anda berangkat untuk berperang, maka Baginda SAW juga turut serta berperang.
  • Jika kamu menginginkan perdamaian, maka Baginda SAW akan memberikan kedamaian sebelum kamu memintanya.
  • Jika anda redha, maka Baginda SAW pun redha.
  • Jika anda marah (tidak menerima sesuatu), maka Baginda SAW pun demikian halnya. (Lihat Makrifah Rasulullah SAW, 23)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”