#6808: Pujian Ulama’ Terhadap Pengarang Kitab Fath al’-Ali fi Tarjamah Sirah al-Nabawi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana pandangan ulama’ dan pujiannya terhadap pengarang kitab Fath al’-Ali fi Tarjamah Sirah al-Nabawi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ibn Mas’ud RA menyebut bahawa Allah SWT telah memuji ulama’ di dalam ayat ini iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 17/299)

Sekali lagi, kami nyatakan nama sebenarnya ialah al-Imam al-Hafiz Taqiy al-Din Abu Muhammad ʿAbd al-Ghani bin Abd al-Wahid bin ʿAli bin Surūr al-Maqdisi al-Jammaʿli al-Dimasyqi al-Salihi al-Hanbali.

Adapun pujian ulama’ terhadapnya, kami nyatakan seperti berikut:

Dalam kitab Ṭabaqāt al-Ḥanābilah, Ibn Rajab al-Hanbali menyebutkan pujian para ulama’ kepadanya. Antara pujian tersebut adalah hebatnya hafazan beliau dalam hadis sekaligus sanadnya. Hingga akhirnya beliau diberi gelar sebagai Amīr al-Mu’minīn dalam ilmu hadis.

Beliau juga dipuji sebagai ahli ibadah, dan warak. Ibn Qudāmah al-Maqdisi mengatakan bahawa “Tidaklah kami berlumba-lumba dalam kebaikan melainkan beliau (al-Hafiz ʿAbd Al-Ghani al-Maqdisi) pasti mendahuluiku kecuali pada sedikit perkara.”

Beliau juga seorang ulama’ yang gigih dalam menegakkan amar ma’ruf dan nahi munkar dengan lisan dan tangannya. Selain itu, beliau adalah seorang yang amat tawadhu’, dermawan dan sentiasa berbuat baik kepada sesama Muslim. Imam al-Zahabi menyatakan dalam biografinya bahwa beliau adalah seorang al-Imam, al-ʿĀlim dan al-Hafiz, jujur, layak dicontohi, pengikut sunnah, ulama’ bagi para penghafaz.

al-Hafiz al-Ḍiyā’ menyatakan, “Tidaklah al-Hafizh al-Maqdisi ditanya tentang sebuah hadis melainkan pasti beliau menyebutkannya lalu menjelaskan kesahihan dan kelemahan hadis tersebut. Tidaklah beliau ditanya tentang seseorang melainkan pasti menjawab bahawa dia adalah Fulān bin Fulān al-Fulānī.”

Diriwayatkan ada seorang lelaki datang menemui al-Hafiz ʿʿAbd Al-Ghani al-Maqdisi dan bersumpah akan menceraikan isterinya jika beliau hafal 100,000 hadis. Maka beliau menyatakan, “Seandainya dia menyatakan bahawa aku hafal lebih dari itu, nescaya ucapannya benar.” Al-Taj al-Kindi berkata, “Tidak ada setelah al-Daraquṭni seorang ulama seperti al-Hafiz ʿAbd al-Ghanī.” Beliau juga berkata, “al-Hafiz (ʿAbd al-Ghanī) itu, tidak ada orang yang sepertinya.”

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”