#6810: Berwaspada daripada Musuh

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita disuruh berwaspada daripada musuh dan menjarakkan daripada musuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Musa bin ‘Uqbah, katanya: Salim Abu al-Nadhr – maula Umar bin ‘Ubaidullah – menyampaikan kepadaku: Dahulu aku adalah penulis baginya, dia berkata:

كَتَبَ إِلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أَبِي أَوْفَى، حِينَ خَرَجَ إِلَى الحَرُورِيَّةِ، فَقَرَأْتُهُ، فَإِذَا فِيهِ: إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَيَّامِهِ الَّتِي لَقِيَ فِيهَا العَدُوَّ، انْتَظَرَ حَتَّى مَالَتِ الشَّمْسُ، ثُمَّ قَامَ فِي النَّاسِ فَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، لاَ تَمَنَّوْا لِقَاءَ العَدُوِّ، وَسَلُوا اللَّهَ العَافِيَةَ، فَإِذَا لَقِيتُمُوهُمْ فَاصْبِرُوا، وَاعْلَمُوا أَنَّ الجَنَّةَ تَحْتَ ظِلاَلِ السُّيُوفِ ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Abdullah bin Abu Aufa menulis (surat) kepada Umar bin ‘Ubaidullah ketika keluar menuju ke (medan peperangan) al-Haruriyah, aku pun membacanya dan ternyata di dalam surat itu: ‘Sesungguhnya Rasulullah SAW pada suatu peperangan, ketika memimpin tentera Muslimin menghadapi musuh, Baginda menunggu sehinggalah matahari condong (ke barat). Kemudian Baginda berdiri di hadapan manusia dan bersabda: Wahai manusia, janganlah kalian berharap bertemu musuh dan mintalah keselamatan kepada Allah. Sekiranya kalian bertemu mereka maka bersabarlah. Ketahuilah sesungguhnya syurga (terletak) di bawah bayangan (hayunan) pedang.’ Setelah itu Baginda berdoa: “اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ” (Maksudnya: Ya Allah, Tuhan yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, dan yang mengalahkan pasukan ahzab (tentera bersekutu), hancurkanlah mereka dan bantulah kami menentang mereka).”

Riwayat al-Bukhari (3024)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan sebuah hadith daripada Huzaifah Ibn al-Yaman R.A, katanya:

كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ‏”‏ أَحْصُوا لِي كَمْ يَلْفِظُ الإِسْلاَمَ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَتَخَافُ عَلَيْنَا وَنَحْنُ مَا بَيْنَ السِّتِّمِائَةِ إِلَى السَّبْعِمِائَةِ قَالَ ‏”‏ إِنَّكُمْ لاَ تَدْرُونَ لَعَلَّكُمْ أَنْ تُبْتَلَوْا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ فَابْتُلِينَا حَتَّى جَعَلَ الرَّجُلُ مِنَّا لاَ يُصَلِّي إِلاَّ سِرًّا ‏.‏

Maksudnya: Pada suatu ketika kami berada bersama-sama Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Cubalah kalian hitung untukku berapa orang yang melafazkan Islam124?” Jawab kami: “Ya, Rasulullah! Adakah kau khuatir terhadap kami? Kami berjumlah kira-kira 600 sampai 700 orang.” Sabda Rasulullah SAW: “Anda semua belum tahu, kalau pada suatu ketika kalian akan ditimpa ujian.” Kata Hudhaifah: “Benar sabda Rasulullah SAW. Ternyata kami benar-benar ditimpa ujian, sehingga kami tidak dapat solat melainkan dengan cara sembunyi-sembunyi. “

Riwayat al-Bukhari (3060) dan Muslim (149)

Prof. Dr. Ali Ibrahim Sa’ud al-’Ajeen berkata: Golongan yang berjaya, walaupun sudah berjaya, mereka tetap berjaga-jaga dengan perubahan zaman dan keadaan semasa kehidupan. Mereka tidak mengharapkan berlakunya kecelakaan tetapi mereka menjangkakannya agar mereka mengetahui cara menjauhinya atau meminimumkan impaknya. Seorang berjaya ada padanya sifat optimistik yang realistik dan berjaga-jaga tanpa berlebihan.

Mereka menimbangi dan meneliti sesebuah perkara. Nabi SAW meminta para sahabat untuk mendapatkan statistik demografi bagi umat Islam pada zamannya lalu bilangan mereka mencapai 1500 orang menurut riwayat al-Bukhari dan di antara 600 ke 700 orang menurut riwayat Muslim.

Bilangan ini mengagumkan para sahabat. Akan tetapi, Nabi SAW mengingatkan mereka akan ujian yang akan menimpa manusia walaupun mereka sudah mencapai kekuatan dan kejayaan. Selepas itu, apa yang diberitakan oleh Nabi SAW menjadi kenyataan dengan kekuatan wawasan pemimpin.

Maka Huzaifah R.A berkata: “Sesungguhnya aku telah melihat kami diuji sehinggakan seorang lelaki akan menunaikan solat bersendirian dalam keadaan ketakutan.”

Kemungkinan ini terjadi semasa sebahagian fitnah yang berlaku selepas kewafatan Nabi SAW. Sebahagian mereka menyembunyikan dirinya dan bersolat secara sembunyi kerana takut untuk menonjolkan diri serta menyertai fitnah dan peperangan. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/180)

Imam al-Nawawi menggabungkan riwayat al-Bukhari yang menyatakan bilangan mereka 1,500 orang dan riwayat Muslim yang menyatakan bilangan mereka 600 ke 700 orang dengan berkata: “Jawapan yang betul ialah, insya-Allah, mereka memaksudkan bilangan di antara 600 ke 700 orang itu khusus untuk penduduk Madinah, dan 1,500 orang pula ialah termasuk dengan penduduk Muslim di sekeliling mereka (iaitu sekeliling Madinah).  (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/179)

(Lihat 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW, hlm. 314-317)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”