#6813: Status Solat Jumaat: Melancong Bersama Keluarga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya adakah boleh meninggalkan solat jumaat kerana pergi melancong bersama keluarga. Pergi dan balik tidak lebih tiga hari. Dan meninggalkan solat jumaat kerana aktiviti permainan. Apakah hukumnya Dr. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat).

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)

Solat Jumaat diwajibkan kepada mereka yang memenuhi tujuh syarat berikut, iaitu:

  • Beragama Islam
  • Baligh
  • Berakal
  • Merdeka (bebas) sepenuhnya.
  • Lelaki
  • Sihat tubuh badan.
  • Bermukim di tempat solat Jumaat didirikan.

Sekiranya seseorang itu telah cukup ketujuh-tujuh syarat ini, maka diwajibkan solat Jumaat ke atas dirinya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201)

Hukum solat Jumaat ke atas orang yang bermusafir

Terdapat dua pendapat dalam isu adakah wajib solat Jumaat bagi orang yang bermusafir dalam hari Jumaat.

Pendapat pertama:

Menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab al-Syafi’e, sekiranya permusafiran pada hari Jumaat dilakukan sebelum fajar, maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat.

Namun, sekiranya dia bermusafir dan permusafirannya itu melebihi 4 hari tidak termasuk hari masuk dan keluar ke tempat tersebut, maka dia perlu menunaikan Solat Jumaat kerana dia sudah berniat sebagai bermukim. Justeru, jikalau permusafirannya kurang dari 4 hari tidak termasuk hari masuk dan keluar dari tempat tersebut maka gugur ke atasnya untuk melakukan solat Jumaat.

Inilah pendapat jadid (baru) Imam al-Syafi’e, pendapat azhar menurut ahli Iraq, dan jumhur ulama. (Lihat al-Mu’tamad, 1/496)

Pendapat kedua:

Di sana terdapat juga pendapat lain di dalam mazhab Syafi’e seperti mana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitab Raudhah al-Talibin (2/38).

Mereka berpendapat gugur kewajipan solat Jumaat jika bertolak musafir selepas fajar dan sebelum tergelincir matahari. Inilah pendapat qadim (lama) Imam al-Syafi’e, Syeikh Harmalah, dan dinukilkan juga oleh al-Syirasi di dalam al-Muhazzab dengan qias harusnya menjual harta zakat sebelum sampai haulnya. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/498-499)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan kami lebih cenderung kepada pendapat yang kedua ini dengan keterangan berikut. Suasana mutakhir ini banyak perjalanan bergantung kepada jadual bas, kereta api dan kapal terbang yang berlepas selepas fajar. Jika kenderaan bertolak pada jam 11.00 pagi contohnya, adalah menyukarkan bagi seseorang untuk keluar daripada kampungnya sebelum fajar dan perlu menunggu lama. Namun, hendaklah musafir itu atas tujuan yang mubah/harus, bukan makruh ataupun haram. Oleh itu, dalam isu anda, boleh untuk tidak solat Jumaat ketika bercuti bersama keluarga kerana menepati syarat yang ditetapkan syarak.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.