#6814: Bangkai Cicak dan Lipas di dalam Kolam Mandi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum apakah hukum ada bangkai cicak/lipas dalam kolam mandi dan adakah air tersebut perlu digantikan dengan air baru?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam sebuah hadith Abdullah Ibn ‘Umar daripada bapanya, katanya aku mendengar Rasulullah SAW ketika ditanya tentang air yang berada di padang atau tanah lapang yang digunakan oleh binatang ternakan dan binatang buas. Lantas Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يُنَجِّسْهُ شَىْءٌ

Maksudnya: “Apabila air mencapai dua kolah, maka ia tidak dinajiskan oleh sesuatu.”

Riwayat Ibn Majah (517), Ahmad (5803), Nasa’ie (52), dan Tirmizi (67)

Dalam hadith ini, diukur nilai dua kolah yang tidak membawa najis iaitu sekitar:

Dua Kolah ataupun dalam istilah arabnya, qullah (قُلَّة) ialah 500 kati Baghdad, bersamaan 192.857 kg atau 1 ¼ hasta padu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/175)

Sebenarnya sukatan atau kadar air yang dikemukakan oleh ulama’ berkenaan dengan dua qullah bersifat taqribi bukan tahdidi atau tepat. Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut nilainya seperti berikut:

  • Dari segi timbangan iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam (1 kati Syam bersamaan 2.5 kg. justeru, 2 qullah bersamaah 195.113 kg).
  • Dari segi sukatan 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).
  • Dari segi ukuran 1 ¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pandapat ulama’ Hanbali, ukurannya ialah 2 ½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/273)
  • Majlis Agama Islam Singapura juga mentakrifkan dua kolah sebagai 270 liter.
  • Mengikut Dr Abdul Salam Muhammad Shukri, dari Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ukuran dua kolah adalah isi padu air kira-kira 9 ¾ tin minyak tanah atau 192.121 kilogram.

Berdasarkan kepada hal ini, jika benar tidak mencukupi, maka air tersebut menjadi air musta’mal selepas digunakan dan tidak bertukar kepada mutlak. Justeru, cuba pastikan terlebih dahulu jumlah air yang terdapat dalam bath tub anda. Ini kerana, air musta’mal tidak boleh digunakan untuk bersuci

Jika air tersebut mencapai dua qullah atau lebih, maka najis yang ada di dalam air tersebut tidak memberikan kesan kepada kesucian air tersebut dengan syarat ianya tidak mengubah mana-mana tiga sifat utama air. (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/17-19).

Akan tetapi jika air tersebut mencapai dua qullah atau dalam kata lainnya banyak, namun najis yang ada di dalam air tersebut mengubah bau atau rasa atau warnanya maka air tersebut dianggap sebagai najis. Ini adalah pandangan yang telah dikemukakan oleh Imam al-Nawawi.

Beliau menukilkan ijmak daripada ulama Syafi’iyyah bahawa air jika banyak atau sedikit, yang mengalir atau bertakung jika najis yang ada di dalam air tersebut mengubah mana-mana sifat sama ada warna, bau atau rasa, maka air tersebut dihukum sebagai najis. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1/160).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya  isipadu air melebihi dua qullah iaitu lebih kurang 200 liter / 52 gallon, maka bangkai yang ada di dalam tangki tersebut tidak memberikan kesan kepada kesucian air yang ada di dalam tangki tersebut dengan syarat ianya tidak mengubah rasa, bau atau warna air itu.  Jika bangkai tersebut menyebabkan berubahnya tiga sifat tersebut maka air tersebut dihukumkan sebagai najis. Ianya tidak boleh digunakan untuk bersuci seperti berwuduk mahupun mandi wajib. Wallahu a’lam.

Semoga jawapan ini memberi kefahaman yang baik kepada kita berkenaan dengan agama kita. Amin.

Marilah kita berdoa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَا إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami.

(Surah al-Baqarah: 286)