#6823: Menelan Kahak ketika Puasa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya rasa puasa susah sebab mulut saya sentiasa berkahak. Saya rasa puasa saya tidak sah sebab saya ludah dan air liur termasuk balik dan saya telan. Saya ada 100 lebih hari lagi untuk ganti puasa. Saya penat sangat nak ganti.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).”

(Surah al-Baqarah :187)

Makan dan minumlah sehingga jelas bagimu cahaya fajar dari kegelapan malam, dengan terbitnya fajar sadiq. Kemudian sempurnakanlah puasa dengan menahan diri dari makanan dan minuman hingga masuk waktu malam dengan terbenamnya matahari. (Lihat Tafsir al-Muyassar,1/29)

Menelan kahak adalah termasuk dalam perbuatan ini. Hukum telan kahak ketika solat adalah sama dengan hukum telan kahak ketika berpuasa. Ini merupakan persamaan antara hukum solat dengan hukum puasa.

Imam al-Baghawi mengatakan: “Hukum menelan kahak yang turun dari otak ketika solat adalah sama sahaja dengan hukum menelan kahak ketika berpuasa.” (Lihat al-Tahzib fi Fiqh al-Syafi‘i, 2/163)

Hukumnya berdasarkan keadaannya menurut pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i adalah seperti berikut:

Apabila kahak sudah sampai kepada bahagian had zahir mulut kemudian dia masih menelan lagi kahak tersebut; maka solatnya terbatal.

Bahagian zahir mulut adalah makhraj huruf Kha’ (خ) iaitu bahagian puncak tekak (tekak yang paling dekat dengan lidah) dan ada pendapat lain juga menyatakan makhraj huruf Ha’ (ح) iaitu pertengahan tekak/halkum.

Hal ini dinyatakan al-Khatib al-Syirbini apabila beliau berkata:

“Sekiranya turun kahak daripada otak dan sampai kepada had zahir daripada mulut iaitu pada makhraj huruf Kha’ () begitu juga dengan makhraj Ha’ () berdasarkan pendapat yang kuat juga, maka jangan dibiarkan kahak itu berjalan pada rongga mulut dan hendaklah mengeluarkannya jika dia mampu. Dan sekiranya dia tidak mengeluarkan kahak itu sedangkan dia mampu untuk mengeluarkannya dan sampai pula kahak tersebut ke bahagian dalam maka puasanya adalah batal.” (Lihat al-Iqna‘ fi halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/337)

Begitulah juga hukumnya dengan menelan kahak ketika solat, apabila kahak telah sampai kepada makhraj Kha’ atau makhraj Ha’, jika seseorang itu masih menelan kahak tersebut; maka batallah solatnya sama seperti batal puasa seperti yang dinaskan oleh Imam al-Baghawi di atas.

Sekiranya kahak masih berada bahagian had batin mulut, maka tidak batal solatnya.

Had batin mulut adalah di bawah daripada makhraj Ha’ (ح), iaitu bahagian tengah halkum ke bawah menuju ke perut. Jika kahak berada pada kawasan ini, seperti menelan kahak yang berada di pertengahan halkum hingga turun ke perut, maka tidak batal solatnya.

Imam al-Nawawi menyatakan: “Sekiranya kahak tidak sampai ke had zahir daripada mulut maka ia tidak memudaratkan (tidak membatalkan).” (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 2/360)

Jika kahak itu turun dengan sendirinya, apabila dikemam begitu lama dan menjadi terpecah dengan sendirinya bersama air liur.

Imam al-Isnawi berkata: “Terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama tentang keadaan ini, pendapat yang paling menepati fatwa-fatwa para Imam (al-Syafi‘iyyah) adalah ia membatalkan.” (Lihat al-Muhimmat fi Syarh al-Raudhah wa al-Rafi‘i, 4/72)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya kahak itu sudah keluar sehingga ke mulut yakni telah sampai ke pangkal lidah dan puncak tekak iaitu pada makhraj Kha’ (خ), kemudian anda sengaja menelannya semula, maka batal puasa kerana sengaja menelannya. Namun, jika tertelan dan tidak disengajakan, maka hukumnya dimaafkan dan tidak batal puasa.

Berkenaan ganti puasa, kami katakan tidak perlu ganti kerana anda mempunyai penyakit berkahak yang susah untuk dikawal. Maka, jika anda tertelan kahak tersebut, anda boleh teruskan puasa kerana puasa anda masih sah. Namun, jika anda sengaja menelan kahak tersebut meskipun anda boleh membuangnya, maka batal puasa dan perlu diganti.

Semoga Allah mengurniakan kita kefaqihan dalam beragama dan kekuatan untuk melaksanakan amal soleh dengan cara yang diredhai oleh-Nya. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَاۤ إِن نَّسِینَاۤ أَوۡ أَخۡطَأۡنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَیۡنَاۤ إِصۡرࣰا كَمَا حَمَلۡتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِنَاۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَاۤۚ أَنتَ مَوۡلَىٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡكَـٰفِرِینَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau hukum pada apa yang kami lupa atau tersilap. Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau beratkan kami dengan kesusahan yang ditanggung oleh orang-orang sebelum kami. Wahai Tuhan kami, janganlah engkau bebankan kami dengan beban yang tidak mampu kami pikul. Maafkan kami, ampunkanlah kami dan rahmatilah kami dengan kasih-sayang-Mu. Engkaulah pelindung kami maka menangkanlah kami mengatasi orang-orang kafir.”

Wallahu a‘lam.