#6824: Disyaratkan Mengetahui Akidah Penyembelih?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya ada terbaca bahawa dibolehkan memakan daging sembelihan seorang Muslim yang tidak diketahui keadaan agamanya, atau sembelihan yang terdapat di negara yang majoriti penduduknya Muslim, walaupun tidak diketahui siapa penyembelihnya. Namun, saya mendapati fatwa daripada Syeikh Muhammad bin Ibrahim yang mensyaratkan bahawa penyembelih mesti seorang Muslim yang mempunyai akidah yang benar, dan tidak cukup sekadar mengaku Islam. Bagaimanakah kita menggabungkan apa yang disebutkan dengan syarat yang ditetapkan oleh Syeikh mengenai keperluan mengetahui akidah penyembelih? Perkara ini mengelirukan saya. Adakah ini bermakna semua sembelihan adalah haram sehingga kita memastikan siapa sebenarnya penyembelihnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, kita hendaklah mengetahui bahawa sebagai seorang Muslim kita diharamkan untuk memakan sembelihan penganut agama lain yang terdiri daripada penyembah berhala, penganut agama majusi, dan seumpamanya kecuali sembelihan ahli kitab. Dinyatakan dalam al-Jauharah al-Nayyirah (2/181) bahawa tidak boleh dimakan sembelihan penganut majusi, orang murtad dan penyembah berhala kerana orang murtad tidak mempunyai agama, manakala penyembah berhala pula adalah seumpamanya.

Pengarang al-Fiqh al-Manhaji ada menyebutkan syarat-syarat melakukan penyembelihan bagi memastikan kesahan sembelihan tersebut. Di antaranya, enyembelih hendaklah beragama Islam atau ahli kitab, iaitu yang beragama Yahudi dan Nasrani. Jika penyembelih seorang yang murtad, penyembah berhala, tidak percaya kepada Allah atau Majusi, maka hukum sembelihan mereka tidak halal. Firman Allah SWT:

إِلَّا مَا ذَكَّيْتُمْ

Maksudnya: “Kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya).

(Surah al-Ma’idah: 3)

Ayat tersebut ditujukan kepada orang Islam. Sembelihan ahli kitab halal berdasarkan firman Allah SWT:

وَطَعَامُ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حِلٌّ لَّكُمْ

Maksudnya: “Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 5)

Maksud makanan dalam ayat tersebut ialah sembelihan. Sembelihan orang kafir selain daripada ahli kitab tidak halal.

Ini berdasarkan hadith, Nabi SAW menulis surat kepada Majusi Hajar mengajak mereka memeluk Islam. Baginda bersabda:

فَمَنْ أَسْلَمَ قُبِلَ مِنْهُ، وَمَنْ أَبَى ضُرِبَتْ عَلَيْهِ الْجِزْيَةُ، عَلَى أَنْ لاَ تُؤْكَلَ لَهُمْ ذَبِيْحَةٌ، وَلاَ تُنْكَحَ لَهُمُ امْرَأَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang memeluk agama Islam diterima dan sesiapa yang ingkar dikenakan jizyah, sembelihan mereka tidak halal dimakan dan perempuan mereka tidak harus dikahwini.

Riwayat al-Bukhari (9/285)

Sembelihan Majusi tidak halal, lebih-lebih lagi sembelihan orang murtad, penyembah berhala dan yang tidak percaya kepada Tuhan (الملحدين) kerana kekufuran mereka lebih dahsyat. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/43-44).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, pada asalnya, sembelihan yang dilakukan di negara-negara Islam adalah halal, dan tidak perlu memeriksa atau bertanya tentang akidah penyembelihnya berdasarkan hukum asalnya, yakni dia beragama Islam. Namun, jika terbukti bahawa penyembelih itu rosak akidahnya, seperti mencela agama Islam atau memusuhinya, maka sembelihannya itu adalah tidak halal.

Mantan Mufti Arab Saudi, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz Ibn Baz menyebutkan: “Jika penduduk negara itu Muslim atau ahli kitab daripada kalangan Yahudi dan Nasrani, maka sembelihan tersebut adalah halal. Ini kerana secara asasnya adalah halal sehingga diketahui sesuatu yang mengharamkannya. Akan tetapi jika negara tersebut dikuasai oleh orang kafir selain Yahudi dan Nasrani, maka jangan makan sembelihan itu sehingga diketahui bahawa penyembelihnya adalah Muslim, Yahudi, atau Nasrani, dan pastikan penyembelih itu bukan daripada golongan yang haram sembelihannya. Namun, jika penyembelihnya adalah orang yang diketahui sebagai penyembah berhala, tidak solat, atau daripada kalangan penyembah kubur, maka janganlah makan sembelihan mereka jika mereka diketahui seperti itu.”[1]

Apa yang disebut oleh Syeikh Muhammad bin Ibrahim, adalah fatwa yang berkaitan dengan import daging dari Australia. Beliau memberi penekanan dalam hal import ini kerana orang yang mengaku Islam di sana mungkin Qadiani atau penyembah berhala, maka beliau mensyaratkan memastikan akidah yang betul kerana ia melibatkan ribuan sembelihan berdasarkan fatwanya. Perincian ini boleh dirujuk dalam fatwanya, (12/208).

Kesimpulannya

Sebagai kesimpulannya, kami katakan bahawa tidak ada masalah dalam mewajibkan memastikan keislaman penyembelih, terutama jika tersebar akidah yang sesat dalam kalangan mereka yang mengaku beragama Islam.

Namun, pada hari ini kebanyakan daging-daging atau makanan yang diimport dari negara luar kebiasaannya mempunyai pengesahan sijil halal yang sudah diiktiraf oleh  badan berwajib negara kita, Bahagian Hab Halal JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri. Justeru, jika didapati pada barangan yang diimport itu sudah pun mempunyai sijil-sijil halal yang diiktiraf oleh badan berwajib, maka ia boleh dimakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas kerana sijil pengesahan halal tersebut telah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terdapat dalam suatu produk makanan itu adalah terdiri daripada sumber yang halal, sekaligus menghilangkan keraguan yang timbul.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Nota Hujung:

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/14974/منتحلذبيحتهومنتحرم. Diakses pada 16 Ogos 2024.