#6833: Perempuan Keluar Dengan Ramai Lelaki

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum seorang perempuan, keluar dengan lelaki yang ramai? Contohnya perempuan itu 1 orang dan keluar dengan 3 orang lelaki sama ada siang atau malam. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan jawaban ini dengan membawakan firman Allah SWT:

وَمَن لَّمۡ یَسۡتَطِعۡ مِنكُمۡ طَوۡلًا أَن یَنكِحَ ٱلۡمُحۡصَنَـٰتِ ٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِ فَمِن مَّا مَلَكَتۡ أَیۡمَـٰنُكُم مِّن فَتَیَـٰتِكُمُ ٱلۡمُؤۡمِنَـٰتِۚ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِإِیمَـٰنِكُمۚ بَعۡضُكُم مِّنۢ بَعۡضࣲۚ فَٱنكِحُوهُنَّ بِإِذۡنِ أَهۡلِهِنَّ وَءَاتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِ مُحۡصَنَـٰتٍ غَیۡرَ مُسَـٰفِحَـٰتࣲ وَلَا مُتَّخِذَ ٰ⁠تِ أَخۡدَانࣲۚ فَإِذَاۤ أُحۡصِنَّ فَإِنۡ أَتَیۡنَ بِفَـٰحِشَةࣲ فَعَلَیۡهِنَّ نِصۡفُ مَا عَلَى ٱلۡمُحۡصَنَـٰتِ مِنَ ٱلۡعَذَابِۚ ذَ ٰ⁠لِكَ لِمَنۡ خَشِیَ ٱلۡعَنَتَ مِنكُمۡۚ وَأَن تَصۡبِرُوا۟ خَیۡرࣱ لَّكُمۡۗ وَٱللَّهُ غَفُورࣱ رَّحِیمࣱ

Maksudnya: “Dan sesiapa antara kamu yang tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin dengan perempuan yang merdeka, maka dibenarkan baginya untuk berkahwin dengan hamba perempuan beriman untuk mengelakkan dirinya terjebak dalam zina. Dan Allah amat mengetahui tentang tahap keimanan kamu. Sebahagian kamu adalah sama dengan sebahagian yang lain sama ada yang merdeka atau hamba dari segi agama dan asal-usul. Oleh itu, berkahwinlah dengan izin tuan mereka dan berikanlah kepada mereka mas kahwin mengikut kadar yang wajar. Hendaklah hamba yang dinikahi itu dalam kalangan perempuan yang baik, bukannya pelacur dan bukan juga perempuan yang menyimpan teman-teman lelaki. Jika hamba yang telah dinikahkan itu melakukan perbuatan zina, maka hukuman yang dikenakan ke atas mereka adalah separuh daripada hukuman yang dikenakan ke atas perempuan merdeka. Kebenaran berkahwin dengan hamba adalah buat mereka yang bimbang akan melakukan zina. Namun jika kamu bersabar daripada menikahi hamba, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Pengasih.”

(Surah al-Nisa’: 25)

Imam Ibn Juzai al-Andalusi menafsirkan perkataan مُتَّخِذَ ٰ⁠تِ أَخۡدَانࣲۚ sebagai: “Perkataan tersebut adalah perkataan jamak (plural) bagi kalimat خَدَنَ khadana iaitu teman rapat. Wanita-wanita jahiliah dahulu mempunyai teman lelaki masing-masing untuk mereka berzina dengannya secara khusus. Dalam kalangan mereka juga, andai disentuh, mereka tidak akan menolak ajakan sentuhan tersebut.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/188)

Kita dapat perhatikan bahawa Allah SWT menggunakan perkataan “أَخْدَانٍ” iaitu ramai teman lelaki yang rapat; untuk dilakukan bersama-sama dalam kalangan mereka akan perkara-perkara yang haram dan tidak diredhai Allah SWT dalam pergaulan.

Sekali gus memberitahu kita, antara sifat yang tidak wajar bagi seorang Muslimah dan Mukminah yang bermaruah adalah menceburkan diri bergaul dengan ramai lelaki asing (ajnabi). Perkara tersebut (mempunyai ramai teman lelaki ajnabi dan keluar bersama mereka) merupakan perkara yang jijik, kotor malah mencemarkan maruah seorang wanita yang seharusnya terpelihara dan dijulang tinggi.

Bercampur antara lelaki dan perempuan (ikhtilat) adalah perkara yang haram dan dilarang oleh Rasulullah SAW daripada berlaku bahkan di tempat semulia masjid. Abu Usaid al-Sa‘idi RA meriwayatkan bahawa:

أنَّهُ سمِعَ رسولَ اللَّهِ ﷺ يقولُ وَهوَ خارجٌ منَ المسجدِ فاختلطَ الرِّجالُ معَ النِّساءِ في الطَّريقِ فقالَ للنِّساءِ استأخِرنَ فإنَّهُ ليسَ لَكنَّ أن تَحقُقنَ الطَّريقَ عليكنَّ بحافّاتِ الطَّريقِ فَكانتِ المرأةُ تلصَقُ بالجدارِ حتّى إنَّ ثوبَها ليَعلَقُ بالجدارِ

Maksudnya: “Beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda keluar daripada masjid dalam keadaan melihat lelaki dan wanita bercampur di jalanan. Maka, Baginda bersabda kepada para wanita: ‘Kalian tidak boleh berjalan di tengah-tengah jalan. Kalian mesti jalan di tepian sahaja.’ Maka wanita-wanita pun berjalan di tepian dinding hingga baju-baju mereka melekat di dinding.”

Riwayat Abu Daud (5272); dan dinilai sahih oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Hidayah al-Ruwwah (4/345)

Maka bayangkanlah seandainya Rasulullah SAW melihat percampuran di pasaraya dan tempat membeli-belah, sudah tentu lebih keras lagi larangan dan ancaman Baginda. Imam Syihabuddin Ibn Raslan al-Syafi‘i ketika mensyarahkan hadith di atas berkata: “Di dalam hadith ini terdapat dalil yang melarang wanita untuk bercampur dengan lelaki di tengah jalan, bahkan hendaklah mereka berjalan secara berasingan di tepi-tepi jalan sepertimana yang akan dijelaskan kelak. Hal ini kerana, keadaan ini lebih mampu mengelakkan daripada wanita tersebut dilihat, kerana mereka boleh mendorong kepada keburukan. Kebiasaan masyarakat kita membuktikan kemungkaran dan keburukan tersebut benar-benar berlaku. Aisyah R.Anha sendiri pernah melarang para wanita daripada pergi ke masjid untuk menghadiri solat berjemaah kerana berlaku tren atau norma yang buruk ketika itu yang berlaku selepas kewafatan Rasulullah SAW. Beliau melarang kerana takutkan berlakunya fitnah. Maka bagaimanakah pula dengan percampuran antara lelaki dengan wanita di jalanan. Bayangkanlah, itu berlaku pada zaman Aisyah, bagaimana pula dengan zaman sekarang sekarang yang lebih teruk lagi apabila pendedahan aurat dan perbuatan melampau dalam berhias yang berlaku; dan banyak lagi kemungkaran yang terhasil kini!” (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 19/675)

Rasulullah SAW juga melarang lelaki berjalan antara dua wanita (ajnabiyyah), atau juga bersama dua wanita (ajnabiyyah). ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يَمْشِيَ – يَعْنِي الرَّجُلُ – بَيْنَ الْمَرْأَتَيْنِ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW melarang (lelaki) untuk berjalan di antara dua orang wanita.”

Riwayat Abu Daud (5273); dinilai sebagai soleh (baik) di sisi Imam Abu Daud

Imam Muhammad bin Isma‘il al-San‘ani mengupas hadith di atas dengan menyatakan: “Iaitu: di satu jalan yang mencampuradukkan sesama mereka. Sebaliknya hendaklah lelaki jalan di hadapan, manakala perempuan jalan di belakang; kerana percampuran (antara lelaki dan perempuan itu) adalah pembawa ke arah keburukan.” (Lihat al-Tahbir li Idhah Ma‘ani al-Taisir, 6/669)

Oleh yang demikian, kami tegaskan di sini bahawa haram bagi seorang perempuan Muslimah untuk keluar bersama lelaki ajnabi, sama ada seorang atau beramai-ramai. Perbuatan ikhtilat ini mendedahkan dirinya kepada pelbagai jenis keburukan, bahaya dan mengantar kepada dosa zina. Muslimah yang bermaruah itu memelihara dirinya daripada percampuran bersama lelaki-lelaki asing.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa yang elok untuk diamalkan sebagai pendinding diri setiap kali selepas selesai melaksanakan solat-solat fardhu:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لي ذُنُوبي وَخَطايايَ كُلَّها، اللَّهُمَّ انْعِشْنِي واجْبُرْنِي، وَاهْدِنِي لِصَالِح الأعْمالِ وَالأخْلاقِ، إنَّهُ لاَ يَهْدِي لِصَالِحها وَلاَ يَصْرِفُ سَيِّئَها إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah! Ampunkan dosa dan kesalahanku kesemuanya. Ya Allah! Dorong dan pimpinlah daku (ke arah kebaikan). Berilah aku petunjuk kepada amalan-amalan dan akhlak yang baik; sesungguhnya tiada yang mampu memimpinku ke arah kebaikannya, dan mencegahku daripada keburukannya; melainkan hanya Engkau sahaja.”

Wallahu a‘lam.