#6840: Banyak Menangis Kerana Rindu Arwah Suami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, soalan saya apakah hukum menangis merindukan almarhum suami dalam tiap waktu solat, ketika membaca al-Quran dan ketika berdoa? Adakah berdosa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Pertamanya, kami mendoakan agar Allah SWT merahmati dan mengampuni al-Marhum suami puan, dan menghimpunkannya dalam kalangan orang-orang yang soleh, dekat bersama Rasulullah SAW di syurga yang tinggi dan abadi.

Allah SWT berfirman dalam Kitab-Nya yang Suci tentang kisah Nabi Ya‘qub AS yang merindui anak Baginda, Nabi Yusuf AS:

وَتَوَلَّىٰ عَنۡهُمۡ وَقَالَ یَـٰۤأَسَفَىٰ عَلَىٰ یُوسُفَ وَٱبۡیَضَّتۡ عَیۡنَاهُ مِنَ ٱلۡحُزۡنِ فَهُوَ كَظِیمࣱ

Maksudnya: “Baginda berpaling daripada mereka seraya berkata: “Aduhai, betapa sedihnya aku mengenangkan Yusuf!” Sedangkan mata baginda semakin memutih kerana terlalu banyak menangis kesedihan sedangkan beliau menutup kesedihan itu daripada diketahui orang ramai.”

(Surah Yusuf: 84)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Kesedihan itu tidaklah haram. Yang haram adalah menempik dengan tangisan, mengoyakkan baju dan bercakap perkara yang tidak sewajarnya dituturkan.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, 4/267)

Berdasarkan ayat di atas beserta keterangannya, dapatlah kita ketahui bahawa menangis kerana bersedih, mengenangkan atau merindui sesuatu atau seseorang yang telah jauh daripada kita; adalah tidak dilarang dan bukanlah suatu perkara yang haram. Ia merupakan naluri dan fitrah manusia, yang bahkan dirasai dan dialami oleh para Nabi dan Rasul sepertimana Nabi Ya‘qub AS.

Imam al-Fakhr al-Razi mengulas dengan menyebutkan: “Sebahagian orang jahil berkata buruk terhadap Nabi Ya‘qub AS kerana Baginda bersedih dan berkata “Aduhai betapa sedihnya daku akan nasib Yusuf.” Mereka berkata: Ini merupakan sifat menzahirkan kesedihan dan ia sama perangainya seperti menganggap takdir Allah sebagai suatu yang buruk, dan ia tidak dibolehkan. Namun, para ulama menjelaskan bahawa hakikatnya bukanlah seperti apa yang disangka oleh orang jahil tersebut. Nabi Ya‘qub tidak menyebut perkataan ini kemudian makin menguatkan tangisannya. Inilah yang dikehendaki di dalam firman-Nya: “Mata baginda menjadi keputihan kerana banyak menangis akibat sedih,” Baginda juga menahan lisan daripada bercakap perkara yang buruk dan tidak sepatutnya, inilah yang dimaksudkan dengan firman-Nya: “Dan Baginda dalam keadaan menahan sedih.” Kemudian, Baginda tidaklah menzahirkan sebarang perasaan buruk atau mengadu kepada mana-mana orang, dengan dalil firman-Nya: “Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah.” Semua ini merupakan bukti bahawa semakin besar ujian dan semakin kuat dugaan yang menimpa Baginda, Baginda tetap bersabar dan menahan diri serta tidak beranggapan buruk kepada Allah. Tiada syak lagi bahawa sikap ini layak dipuji dan dimuliakan.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 18/497)

Maka, bersedih dan menangis itu dibolehkan namun dengan syarat-syarat berikut:

  • Tidak melampau dalam melayan tangisan atau kesedihan hingga melakukan perkara di luar kawalan atau melampaui batas.
  • Tidak beranggapan buruk kepada Allah SWT dan takdir ketentuan-Nya.
  • Tidak berlebihan mengadu kepada makhluk hingga kurang tawakal kepada Allah.

Rasulullah SAW yang merupakan Manusia Teragung jua turut mengalirkan tangis air mata kesedihan dan kedukaan apabila kehilangan anak lelaki Baginda yang bernama Ibrahim. Rasulullah SAW mengalirkan air matanya kesedihan seraya bersabda:

تَدْمَعُ الْعَيْنُ وَيَحْزَنُ الْقَلْبُ وَلَا نَقُولُ مَا يُسْخِطُ الرَّبُّ لَوَجَدْنَا عَلَيْكَ يَا إِبْرَاهِيمُ أَفْضَلَ مِمَّا وَجَدْنَا وَإِنَّا بِكَ لَمَحْزُونُونَ

Maksudnya: “Mata itu mengalirkan tangisan, hati itu menangis, namun kami tidak akan sekali-kali berkata dengan kata-kata yang mengundang kemurkaan Tuhan. Kamu akan dapati sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang kami dapati (di dunia ini), dan kami amat bersedih kerana (pemergianmu anakandaku Ibrahim).”

Riwayat Ibn Majah (1589); dan  ia dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah (1302)

Namun wajib diberi perhatian agar tidak melampau dalam tangisan supaya tidak mengganggu bacaan al-Quran dan zikir di dalam solat mahupun di luar solat, juga supaya tidak mengganggu bacaan doa.

Tangisan di dalam solat yang menyebabkan seseorang jelas mengeluarkan sebutan dua huruf atau satu huruf yang difahami (seperti قِ atau عِ); akan membatalkan solat kita serta-merta. Ibn Hajar al-Haitami berkata:

(تَبْطُلُ) الصَّلَاةُ (بِالنُّطْقِ بِحَرْفَيْنِ) مِنْ كَلَامِ الْبَشَرِ

Maksudnya: “[Imam al-Nawawi berkata: Akan terbatallah] solat [dengan ucapan dua huruf] berupa perkataan manusia.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/137).

Imam Ibn Hajar al-Haitami juga mengatakan:

(أَوْ حَرْفٍ مُفْهِمٍ) ك ف وق وع ول وط لِأَنَّهُ كَلَامٌ تَامٌّ لُغَةً وَعُرْفًا

Maksudnya: “[atau dengan satu huruf yang boleh difahami] seperti (فِ), (قِ), (عِ), (لِ), dan (ط) kerana ia merupakan satu perkataan yang sempurna di sisi bahasa dan kebiasaan.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/138)

Imam Ibn Hajar al-Haitami seterusnya turut menegaskan dengan jelas berkenaan perkara ini: “Pendapat al-asah (dalam mazhab al-Syafi‘i) bahawa suara dari tekak, ketawa, tangisan, suara rintihan, suara tiupan, suara selsema, bersin; sekiranya terkeluar bersamanya iaitu dengan semua yang disebutkan ini dua huruf, maka terbatallah solat, jika tiada maka tidak batal.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/140).

Kesimpulannya

Kesimpulannya, kami katakan bahawa kerap menangis ketika beribadat kerana terlalu rindukan arwah pasangan yang telah meninggal dunia adalah dibenarkan dan hukumnya adalah harus sahaja. Ia tidak dilarang kerana ia merupakan fitrah dan naluri manusia yang merasakan kesedihan dan kerinduan. Namun, jika tangisan terlalu kuat dan melampau, dikhuatiri ia akan mengganggu ibadat terutamanya ibadat solat. Tangisan yang mengeluarkan suara dua huruf akan membatalkan solat.

Kami sarankan juga, ubahkan niat menangis biarlah kerana Allah dan takutkan Allah, nescaya Puan akan rasa lazat dan halawah iman dan taat kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

سَمَّعَ سامِعٌ بِحَمْدِ اللَّهِ وَحُسْنِ بَلائِهِ عَلَيْنا، رَبَّنا صَاحِبْنا، وأفْضِلْ عَلَيْنا، عائِذاً باللَّهِ منَ النَّارِ

Maksudnya: “Semoga semua yang mendengar menjadi saksi bahawa aku melaungkan pujian kepada Allah dan memohon kebaikan takdir-Nya buat kita. Tuhan kami, bersamalah kami sentiasa. Kurniakanlah kepada kami segenap limpahan kebaikan. Aku memohon perlindungan Allah daripada neraka.”

Wallahu a‘lam.