#6847: Membuka Aib Orang Lain

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukum membuka aib orang lain?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi merungkaikan persoalan di atas, kami bawakan pedoman Ilahi daripada Muhkam al-Tanzil. Allah SWT berfirman:

لَّا یُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلۡجَهۡرَ بِٱلسُّوۤءِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ إِلَّا مَن ظُلِمَۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِیعًا عَلِیمًا

Maksudnya: “Allah tidak menyukai orang yang menyebarkan kata-kata berupa keburukan orang lain melainkan orang yang dizalimi (untuk menegakkan keadilan); dan Allah itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.”

(Surah al-Nisa’: 148)

Ayat di atas menyatakan sikap asal kita terhadap penyebaran sebarang kata-kata buruk dan aib manusia, iaitu kita dituntut untuk menghindarinyak kerana Allah murka dan tidak menyukainya. Pengecualian hanya diberikan kepada orang yang dizalimi. Orang sedemikian boleh menyebarkan keburukan penzalim secara khusus. Imam Ibn Jarir al-Tabari menafsirkan ayat di atas mengatakan: “Allah tidak menyukai perbuatan menzahirkan keburukan orang lain dengan menyebarkan kata-kata buruk, namun, sesiapa yang dizalimi maka tidak menjadi suatu kesalahan bagi dirinya untuk memberitahu orang lain tentang kezaliman yang menimpa dirinya, atau ketika dia hendak meminta tolong supaya menghentikan kejahatan penzalim itu.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 7/630)

Berhubung soalan di atas, kami tegaskan bahawa hukum membuka aib orang lain tanpa sebarang keperluan adalah haram dan merupakan suatu perbuatan dosa yang diancam dengan azab seksa. Perbuatan membuka aib hanya dibenarkan dalam keadaan tertentu sahaja.

Perbuatan menyebarkan aib, kekurangan dan keburukan orang lain ini dipanggil sebagai al-Ghibah (الْغِيبَةُ). Hukumnya adalah haram berdasarkan hadith sahih yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟ قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ. قِيلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ

Maksudnya: “Adakah kalian tahu apa itu al-Ghibah?” Mereka menjawab: ‘Hanya Allah dan Rasul-Nya yang mengetahui.’ Baginda bersabda: ‘Engkau menyebut perkara yang tidak disukai oleh saudaramu.’ Maka ditanya kepada Baginda: ‘Bagaimana kalau keburukan yang kami katakan kepada saudara kami itu adalah benar?’ Baginda menjawab: ‘Jika apa yang dikatakan itu benar, maka engkau telah mengumpatnya. Jika apa yang dikatakan itu salah, maka engkau telah berdusta berkenaan dirinya.’”

Riwayat Muslim (2589)

Imam Mulla ‘Ali al-Qari mensyarahkan hadith di atas seraya mengatakan: “[Sabda Baginda: Engkau menyebut] iaitu, wahai orang yang diajak berbicara secara umum [(berkenaan kekurangan) saudaramu] iaitu saudara seagama (Muslim) [dengan apa yang dia tidak sukai] iaitu jika dia mendengarnya, dia tidak menyukainya/membencinya.” (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 7/3032).

Manakala menurut Imam al-Nawawi, terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang iaitu:

  1. Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.
  2. Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.
  3. Meminta fatwa daripada Mufti.
  4. Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.
  5. Menyebut dan mendedahkan kesalahan dan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan. Namun haram membuka aibnya serta kesalahan-kesalahan lain yang tidak dilakukan secara terang-terangan, kecuali atas tujuan tertentu seperti yang dinyatakan di atas.
  6. Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram.

(Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 425-426)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, kami tegaskan sekali lagi bahawa hukum membuka dan mendedahkan aib orang lain adalah haram dan berdosa besar, melainkan dalam keadaan tertentu yang diizinkan oleh syarak sahaja. Ini kerana Allah SWT mengecam perbuatan keji ini (yakni membuka aib) dalam al-Quran menerusi firman-Nya:

وَلَا يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا

Maksudnya: “Janganlah kalian saling berkata buruk antara satu sama lain.”

(Surah al-Hujurat: 12)

Imam Ibn Juzai al-Kalbi berkata menafsirkan ayat di atas: “Maksudnya adalah Allah melarang kalian menyebut tentang keburukan saudara Muslim kalian; yang mana jika dia mendengarnya, dia tidak berasa senang tentang perkara tersebut (iaitu perbuatan al-Ghibah).” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/297)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّت قَلْبي على دِينكَ

Maksudnya: “Wahai Allah! Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati (menguasainya), teguhkan hatiku di atas agama-Mu (Islam).”

Wallahu a‘lam.