#6852: Puasa Rejab Sehari Sahaja

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Bolehkah kita berpuasa 1 Rejab sehari sahaja? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Bagi mencerahkan persoalan di atas, kami mulakan dengan untaian mutiara firman Ilahi. Allah SWT berfirman dalam al-Quran al-Karim:

إِنَّ عِدَّةَ ٱلشُّهُورِ عِندَ ٱللَّهِ ٱثۡنَا عَشَرَ شَهۡرࣰا فِی كِتَـٰبِ ٱللَّهِ یَوۡمَ خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تِ وَٱلۡأَرۡضَ مِنۡهَاۤ أَرۡبَعَةٌ حُرُمࣱۚ ذَ ٰ⁠لِكَ ٱلدِّینُ ٱلۡقَیِّمُۚ فَلَا تَظۡلِمُوا۟ فِیهِنَّ أَنفُسَكُمۡۚ وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلۡمُشۡرِكِینَ كَاۤفَّةࣰ كَمَا یُقَـٰتِلُونَكُمۡ كَاۤفَّةࣰۚ وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلۡمُتَّقِینَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah dua belas [12] bulan, ia tertulis di dalam kitab di sisi Allah pada hari menciptakan langit dan bumi; di dalamnya ada empat bulan haram. Demikianlah agama yang teguh berdiri. Maka usahlah kalian menzalimi diri kalian dengan melakukan dosa di dalamnya. Dan perangilah orang-orang Musyrikin secara keseluruhan seperti mana mereka memerangi kalian secara keseluruhan. Dan ketahuilah bahawa Allah itu sentiasa bersama orang-orang yang bertakwa.”

(Surah al-Taubah: 36)

Imam Ibn Juzai al-Kalbi al-Gharnati menafsirkan ayat di atas seraya menyenaraikan bulan-bulan Haram yang disebutkan secara umum: “[Di dalamnya ada empat bulan haram (yang harus dimuliakan)] iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/337)

Maka bulan-bulan Haram yang mesti dihormati dan dimuliakan serta tidak dilakukan sebarang kezaliman di dalamnya ada empat iaitu (menurut susunan mazhab al-Syafi‘i dan jumhur ulama):

  • Muharram,
  • Rejab,
  • Zulkaedah,
  • Zulhijjah

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan Haram yang disucikan dan dimuliakan.

Berhubung dengan soalan di atas, kami nyatakan di sini bahawa puasa yang paling afdhal selepas puasa wajib di bulan Ramadhan adalah puasa pada bulan-bulan Haram. Puasa pada bulan-bulan Haram ini hukumnya adalah sunat yang digalakkan berdasarkan hadith Abu Mujibah al-Bahiliyah bahawa Nabi SAW bersabda:

صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ صُمْ مِنْ الْحُرُمِ وَاتْرُكْ

Maksudnya: “Berpuasalah beberapa hari daripada mana-mana bulan Haram dan kemudian berhenti. Berpuasalah beberapa hari daripada mana-mana bulan Haram dan kemudian berhenti. Berpuasalah beberapa hari daripada mana-mana bulan Haram dan kemudian berhenti.”

Riwayat Abu Daud (2428) dan dinilai soleh (baik) oleh Abu Daud sendiri.

Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari mensyarahkan hadith di atas: “Rasulullah SAW mengizinkan untuk meninggalkan amalan puasa (bulan Haram) ini kerana barangkali ia menyusahkan sebahagian orang untuk banyak berpuasa seperti mana yang ditegaskan di dalam hadith ini. Adapun orang yang tidak merasakan sebarang kesusahan, maka dia boleh berpuasa pada semua bulan-bulan yang mempunyai keutamaan istimewa ini.” (Lihat Asna al-Matalib Syarh al-Raudh al-Talib, 1/432-433)

Puasa Rejab

Bulan Rejab termasuk dalam kalangan bulan-bulan Haram, maka berpuasa pada mana-mana hari dalam bulan Rejab adalah amalan sunat yang digalakkan. Imam al-Nawawi mengatakan: “Dan antara puasa yang disunatkan itu ialah puasa pada bulan-bulan haram iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Dan yang paling afdhal ialah Muharram.” (Lihat Raudhah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, 2/388)

Bahkan di sisi fatwa muktamad Syeikh al-Islam dan Imam al-Ramli, berpuasa di bulan Rejab menduduki tangga kedua dari sudut keafdhalan selepas berpuasa di bulan Muharram. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Syams al-Ramli bahawa: “Ketahuilah olehmu sesungguhnya bulan yang paling afdhal untuk berpuasa selepas Ramadhan itu ialah bulan-bulan haram dan yang paling utama ialah bulan Muharram kemudian Rejab.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 3/211)

Begitu juga Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Bulan yang paling afdhal puasa sunat adalah bulan Muharram berdasarkan hadith riwayat Muslim: “Puasa yang paling utama selepas Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah, bulan Muharram.” Kemudian bulan-bulan yang lain, dan zahirnya, semuanya sama sahaja dari sudut keutamaan, dan zahirnya juga, keutamaan Rejab berbanding bulan yang lain, untuk keluar daripada khilaf sebahagian pihak yang mengutamakannya berbanding bulan-bulan Haram yang lain, kemudian bulan Sya‘ban.” (Lihat Asna al-Matalib Syarh al-Raudh al-Talib, 1/433)

Rasulullah SAW juga banyak melaksanakan puasa sunat pada bulan Rejab kerana ia merupakan salah satu bulan Haram. Imam Muslim meriwayatkan dalam al-Sahih menerusi ‘Uthman bin Hakim al-Ansari bahawa beliau berkata:

سَأَلْتُ سَعِيدَ بْنَ جُبَيْرٍ عَنْ صَوْمِ رَجَبٍ وَنَحْنُ يَوْمَئِذٍ فِي رَجَبٍ فَقَالَ سَمِعْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ لَا يُفْطِرُ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ لَا يَصُومُ

Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada Sa’id bin Jubair tentang puasa dalam bulan Rejab. Ketika itu kami berada dalam bulan Rejab. Sa’id bin Jubair pun menjawab: Aku mendengar Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata: ‘Rasulullah SAW berpuasa sehingga kami berkata Baginda tidak berbuka. Baginda berbuka sehingga kami berkata Baginda tidak berpuasa.’”

Riwayat Muslim (1157)

Sebagai penjelasan kepada hadith di atas, kami bawakan kalam Imam Ali al-‘Azizi berikut: “Syeikh kami berkata: Imam al-Nawawi menyatakan: Tidak sahih sebarang hadith berkenaan larangan atau anjuran khusus puasa Rejab, namun amalan-amalan berpuasa di bulan Rejab itu sendiri adalah mandub (digalakkan) berdasarkan hadith yang diriwayatkan di dalam Sunan Abu Daud bahawa Rasulullah SAW menggalakkan puasa pada bulan-bulan Haram dan bulan Rejab adalah salah satu daripadanya. Daku (al-‘Azizi) katakan: Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam kitab Syu‘ab al-Iman daripada Abu Qilabah bahawa beliau berkata: ‘فِي الْجَنَّةِ قَصْرٌ لِصَوَّامِ رَجَب’ (Ada istana khusus di dalam syurga bagi orang yang banyak berpuasa pada bulan Rejab). Beliau (al-Baihaqi) berkata: ‘Ini merupakan hadith yang paling sahih berkenaan keutamaan puasa Rejab.’” (Lihat al-Siraj al-Munir Syarh al-Jami ‘ al-Saghir, 3/266).

Kesimpulannya

Berhubung dengan soalan di atas, kami simpulkan bahawa berpuasa satu hari sahaja pada bulan Rejab iaitu pada 1hb Rejab sahaja misalnya; adalah dibolehkan dan dibenarkan. Seseorang itu bebas untuk memilih bilangan hari untuk dia amalkan puasa sunat. Sesiapa yang mengamalkan puasa sunat pada bulan Rejab, maka dia akan mendapat fadhilat pahala puasa sunat pada bulan Haram. Di samping itu, perbanyakkan lagi amalan puasa sunat jika berkemampuan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.