#6854: Bolehkah Jamak Ta’khir Jika Tempat Kerja Jauh?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya bekerja dengan jarak rumah ke tempat kerja 85 KM. Bolehkah saya solat jamak ta’khir untuk solat fardhu Isyak dan Maghrib?  Mohon penjelasan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT yang menjadi hujah bagi amalan solat jama‘ iaitu firman-Nya:

أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمۡسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّیۡلِ وَقُرۡءَانَ ٱلۡفَجۡرِۖ إِنَّ قُرۡءَانَ ٱلۡفَجۡرِ كَانَ مَشۡهُودࣰا

Maksudnya: “Dirikanlah solat ketika tergelincirnya matahari dan juga ketika permulaan malam. Dan bacalah al-Quran (di dalam solatmu) ketika waktu Subuh. Sesungguhnya bacaan al-Quran pada waktu Subuh itu disaksikan (oleh para malaikat).”

(Surah al-Isra’: 78)

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi, ayat di atas merupakan dalil bagi keharusan menjamakkan antara dua solat yang telah ditetapkan iaitu Zuhur bersama Asar, dan Maghrib bersama Isyak. Beliau mengatakan dalam al-Tafsir al-Kabir: “Jika kita tafsirkan kalimat al-Ghasaq sebagai detik awal kemunculan gelap malam, maka al-ghasaq adalah kata nama bagi mengungkap waktu awal Maghrib. Berdasarkan keterangan ini, waktu-waktu solat yang disebutkan di dalam ayat ini ada tiga iaitu waktu zawal, waktu maghrib dan waktu fajar. Berdasarkan ini juga, waktu zawal adalah waktu untuk Zohor bersama Asar sekali gus, yang dikongsi bersama oleh dua waktu solat ini. Begitu juga dengan waktu awal Maghrib, ia merupakan waktu yang dikongsi oleh waktu Maghrib bersama waktu Isyak. Ini menandakan keharusan untuk menjamakkan antara solat Zohor dengan solat Asar, begitu juga solat Maghrib dengan solat Isyak. Namun dalil-dalil menunjukkan bahawa perbuatan menjamakkan solat tanpa keuzuran adalah tidak dibolehkan. Dalil hanya membenarkan perbuatan jamak solat ketika musafir, hujan dan sebagainya (sebab yang diizinkan oleh syarak).” (Lihat al-Tafsir al-Kabir atau Mafatih al-Ghaib, 21/27)

Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa seseorang hanya boleh melaksanakan Jamak Ta’khir apabila memenuhi syarat-syaratnya. Syarat-syaratnya pula ada dua seperti mana yang diterangkan oleh para fuqaha’ iaitu:

  • Niat hendak mengakhirkan perlaksanaan solat yang pertama kepada waktu yang kedua pada mana-mana waktu solat pertama.
  • Permusafiran itu kekal sehingga selesai solat yang kedua.

Syeikh Muhammad Nawawi al-Jawi menerangkan berkenaan tentang syarat-syarat yang wajib dipenuhi untuk melaksanakan Jamak Ta’khir, di mana syarat Jamak Ta’khir ada dua iaitu:

  • Pertama: Meniatkan Jamak Ta’khir pada waktu pertama sehingga tempoh yang sempat untuk dilaksanakan padanya solat tersebut, baik secara tamam atau qasar (bagi sesiapa yang mahu mengqasarkan solat); jika ia tidak pernah berniat langsung untuk melakukan Jamak Ta’khir sepanjang waktu ini atau baru sahaja berniat pada tempoh waktu yang tidak sempat untuk dilaksanakan padanya solat; maka dia berdosa dan solat yang dilaksanakan akan menjadi solat qadha’ apabila dia tidak sempat melakukan satu rakaat atau lebih pada waktunya, jika sempat pun, dia tetap berdosa walaupun sempat melakukannya secara ada’ (tunai).
  • Kedua: Sentiasa dalam keadaan bermusafir sehingga selesai melaksanakan kedua-dua solat tersebut dan jika seseorang itu bermukim sebelum itu, maka niat ta’khirnya tadi itu menjadi qadha’ sama ada dia menurut tertib solat ataupun tidak namun dia tidak berdosa, adapun jika seseorang itu luput status musafirnya ketika melaksanakan solat Zuhur yang tadi diniatkan untuk dilakukan secara ta’khir, lantas ia menjadi qadha’ kerana telah berada dalam keadaan hadhar (bermukim); maka tidak boleh dia mengqasarkannya.” (Lihat Nihayah al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in, hlm. 134)

Al-Habib Salim bin Sumair al-Hadhrami juga menyatakan bahawa syarat-syarat Jamak Ta’khir ada dua:

[1] Niat menta’khirkan (ia dilakukan dalam waktu solat pertama) sedangkan masih berbaki dari waktu yang pertama itu tempoh dapat mengerjakan solat tersebut

[2] Uzur (permusafiran) itu kekal sehingga selesai solat yang kedua.” (Lihat Safinah al-Najah, hlm. 47)

Manakala, seorang musafir boleh mengqasar solatnya apabila dia menjalani perjalanan safar yang jauh, iaitu perjalanan yang mencapai dan melebihi dua marhalah.

Imam Sa‘id bin Muhammad ba ‘Isyn berkata: “Dibolehkan ke atas orang yang bermusafir dengan perjalanan yang jauh iaitu perjalanan dua marhalah dan ke atas untuk mengqasarkan solatnya.” (Lihat Busyra al-Karim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 366)

Mazhab al-Syafi‘i berpendapat sedemikian berdalilkan amalan sahabat Rasulullah SAW iaitu  ‘Abdullah bin  ‘Abbas bin  ‘Abd al-Muttalib R.Anhuma dan  ‘Abdullah bin  ‘Umar bin al-Khattab R.Anhuma. ‘Ata’ bin Abi Rabah meriwayatkan bahawa:

كَانَا يُصَلِّيَانِ رَكْعَتَيْنِ وَيُفْطِرَانِ فِي أَرْبَعَةِ بُرُدٍ فَمَا فَوْقَ ذَلِكَ

Maksudnya: “Mereka berdua (Ibn ‘Abbas dan Ibn ‘Umar) hanya mengqasarkan solat dan mengambil rukhsah tidak berpuasa ketika berjalan melebihi 4 abrud (bersamaan dua marhalah) sahaja.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (5397)

Imam al-Nawawi menjelaskan pengiraannya: 1 barid bersamaan 4 farsakh. Manakala 4 abrud adalah bersamaan 16 farasikh. Manakala, 16 farasikh ini bersamaan 2 marhalah. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/322)

Para ulama kontemporari pula berbeza pendapat dalam menentukan kiraan semasa bagi dua marhalah seperti berikut:

  • Al-Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff mengatakan dua marhalah bersamaan 82KM.
  • Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili mengatakan dua marhalah bersamaan 704KM.
  • Syaikh Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan dua marhalah bersamaan 81KM.

Kita bebas untuk memilih mana-mana sahaja kiraan di atas.

Berhubung keadaan tuan di atas, tuan dibenarkan untuk melaksanakan solat secara Jamak Ta’khir sekiranya tuan memenuhi syaratnya iaitu:

  1. Melebihi dua marhalah, boleh berpegang pada kiraan Syeikh Muhammad al-Zuhaili (81 KM) dan al-Habib Hasan al-Kaff (82 KM). Maka, tuan telah melebihi jarak dua marhalah tersebut (85 KM). Atau juga mempunyai uzur-uzur yang lain yang diiktiraf oleh syarak.
  2. Meniatkan hendak melakukan Jamak Ta’khir pada mana-mana detik ketika waktu solat yang pertama iaitu sepanjang waktu solat Maghrib (mana-mana waktu antara 7.20 pm – 8.30 pm).
  3. Sentiasa dalam keadaan musafir atau uzur tersebut sehingga selesai melaksanakan solat yang kedua iaitu tuan masih di tempat kerja atau sepanjang perjalanan pulang. Tuan tidak dibenarkan untuk menjamakkan solat apabila telah sampai di tempat tuan, iaitu apabila melihat bangunan-bangunan di zon/kawasan perumahan yang tuan diami.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إيَّاكَ أرْجُو، وَلَكَ أدْعُو، فَبَلِّغْنِي صَالِحَ أمَلِي، واغْفِرْ لِي ذُنُوبِي، وَامْنُنْ عَليَّ بِما مَنَنْتَ بِهِ على أهْلِ طاعَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Hanya kepada-Mu aku berharap. Hanya kepada-Mu aku berdoa. Capaikanlah cita-cita baikku. Ampunkan dosa-dosaku. Kurniakanlah kepadaku segala perkara yang Engkau kurniakan kepada orang-orang yang mentaati-Mu.”

Wallahu a‘lam.