#6855: Mengaminkan Doa Qunut

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, perlu atau tidak mengaminkan doa ketika imam membaca Qunut subuh/Qunut nazilah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan makalah ini dengan firman Allah SWT dalam Kitab Suci ketika mengisahkan tentang sejarah hidup Nabi Musa bin ‘Imran AS, firman-Nya:

وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَآ إِنَّكَ ءَاتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُۥ زِينَةًۭ وَأَمْوَٰلًۭا فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا۟ عَن سَبِيلِكَ ۖ رَبَّنَا ٱطْمِسْ عَلَىٰٓ أَمْوَٰلِهِمْ وَٱشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا۟ حَتَّىٰ يَرَوُا۟ ٱلْعَذَابَ ٱلْأَلِيمَ ٨٨ قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَٱسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ٨٩

Maksudnya: “Dan Musa pun berdoa: ‘Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Firaun dan para pembesarnya, perhiasan dan harta di kehidupan duniawi. Wahai Tuhan kami! Semua itu untuk semakin menyesatkan mereka semua daripada jalan-Mu. Wahai Tuhan kami! Hancurkanlah harta mereka, dan keraskanlah hati mereka. Janganlah jadikan mereka beriman sehinggalah mereka melihat sendiri azab yang amat pedih!’ [88] Allah berfirman: ‘Telah Daku makbulkan doa kalian berdua, maka hendaklah kalian berdua tetap istiqamah dan janganlah kamu berdua menuruti jalan orang-orang yang tidak mengetahui.’”

(Surah Yunus: 88-89)

Berdasarkan ayat di atas, kita boleh mengetahui tentang pensyariatan amalan mengaminkan doa yang dibaca, dan ia merupakan amalan para Nabi dan Rasul sejak zaman Nabi Musa dan Nabi Harun. Imam Ibn Jarir al-Tabari menafsirkan ayat di atas seraya berkata: “Sekiranya ada yang bertanya, mengapa kemakbulan doa dinisbahkan kepada dua orang, sedangkan yang berdoa hanyalah seorang. Jawapannya adalah: Memang yang berdoa adalah seorang sahaja secara zahirnya (iaitu Nabi Musa AS), namun orang yang kedua itu mengaminkan doa tersebut iaitu Nabi Harun AS. Oleh kerana itu, kemustajaban doa dinisbahkan kepada mereka berdua.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 15/185)

Berhubung dengan soalan di atas, menurut mazhab al-Syafi‘i, makmum tetap sunat untuk mengaminkan bacaan doa Qunut Imam pada bahagian doa, manakala pada bahagian al-thana’ (pujian) pula, maka makmum dianjurkan sama ada menyebutkan semula al-thana’ (pujian) tersebut secara perlahan atau diam atau mengucapkan “أَشْهَدُ” (asyhad).

Syeikh al-Islam Zakariya al-Ansari berkata: “[Dan] hendaklah [makmum mengaminkan] dengan suara yang kuat [pada bahagian Doa dan hendaklah mengulang semula bahagian al-Thana’] dengan suara yang perlahan, atau dia boleh (diam) mendengar bacaan doa imam seperti mana yang difatwakan di dalam kitab Raudhah al-Talibin sepertimana kitab asalnya, atau makmum boleh juga menyebut asyhad “أَشْهَدُ” sepertimana yang difatwakan oleh Imam al-Mutawalli. Yang paling afdhal adalah pilihan yang pertama tadi, dan dalilnya adalah berdasarkan sunnah Nabi yang diriwayatkan oleh Imam al-Hakim. Dan permulaan bagi bahagian al-Thana’ adalah lafaz: “إنَّك تَقْضِي” (innaka taqdhi); sekiranya makmum tersebut mendengar bacaan (doa Qunut) si Imam.” (Lihat Fath al-Wahhab Syarh Minhaj al-Tullab, hlm. 51)

Potongannya adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ اهْدِنَا فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنَا فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنَا فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لَنَا فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنَا بِرَحْمَتِكَ شَرَّ مَا قَضَيْتَ، فَإِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ نَسْتَغْفِرُكَ وَنَتُوبُ إِلَيْكَ

Tulisan berwarna hijau adalah bahagian Doa yang perlu diaminkan.

Tulisan berwarna merah adalah bahagian al-Thana’ yang boleh dilafazkan sama ada:

  • Mengulang semula dengan suara yang perlahan, atau
  • Diam sahaja mendengar bacaan Imam, atau
  • Menyebut asyhad “أَشْهَدُ”

Namun yang demikian, terdapat juga pendapat kedua di dalam mazhab yang mengatakan makmum tetap sunat mengaminkan kedua-dua bahagian iaitu bahagian doa dan al-Thana’ kesemuanya di dalam Qunut kerana hadith mengarahkannya secara mutlak.

Imam Kamaluddin Muhammad bin Musa al-Damiri al-Syafi‘i berkata: “Pendapat yang kedua: Makmum mengaminkan bahagian doa dan al-thana’ (pujian) di dalam doa qunut atas dasar kemutlakan hadith.” (Lihat al-Najm al-Wahhaj Syarh al-Minhaj, 2/143)

Manakala, al-Khatib al-Syirbini juga menyatakan sedemikian rupa, menerusi nas beliau: “Oleh yang demikian, sebahagian syeikh saya berkata: Yang lebih utama adalah mengaminkan bacaan doa imam dan mengulang semula (bacaan al-thana’); dan pendapat pertama inilah yang paling kuat. Dikatakan juga, hendaklah mengaminkan semua bahagian qunut. Dikatakan juga, mestilah mengikut semua bacaan Imam seperti isti‘azah. Dikatakan juga, boleh pilih sama ada hendak aminkan atau turut membaca qunut. Semua ini sekiranya makmum mendengar bacaan Imam yang dikuatkan.” (Lihat Mughni al-Muhtaj fi Ma‘rifah Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, 1/371)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang ditanyakan, jelaslah bahawa perkara ini adalah luas dan kami berpendapat makmum hendaklah mengaminkan bacaan doa qunut yang dibaca oleh Imam. Yang paling afdhal adalah mengaminkan bahagian doa, dan mengulang semula dengan suara yang rendah pada bacaan al-thana’ (pujian). Dibolehkan juga untuk mengaminkan keseluruhan doa qunut. Tidak dianjurkan untuk diam, melainkan pada bahagian al-thana’ seperti yang difatwakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Raudhah.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.