#6857: Larangan Potong Bulu Bagi Yang Berniat Melaksanakan Korban

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ingin melakukan korban di mana 1 bahagian korban dikongsi bersama ahli keluarga. Soalannya, adakah larangan memotong kuku dan rambut terpakai atas diri saya sahaja? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Ibadah Korban (الأُضْحِيَةُ) adalah suatu amalan yang agung di sisi Tuhan. Allah SWT berfirman:

إِنَّآ أَعْطَيْنَـٰكَ ٱلْكَوْثَرَ ١ فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنْحَرْ ٢ إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلْأَبْتَرُ  ٣

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami mengurniakan sungai al-Kauthar di syurga kepadamu (wahai Rasulullah) [1] Maka dirikanlah solat kepada Tuhanmu dan sembelihlah haiwan korban (atas nama Tuhanmu) [2] Sesungguhnya musuhmu akan terputus daripada rahmat [3].”

(Surah al-Kauthar: 1-3)

Imam Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i menafsirkan: “Diriwayatkan daripada Muhammad bin Ka‘b al-Qurazi bahawa beliau berkata: Dahulu, orang-orang musyrik menyembah selain Allah dan menyembelih atas nama selain-Nya. Di dalam ayat ke-2 di dalam surah ini, Allah mengarahkan agar melaksanakan solat kerana-Nya dan ibadat sembelihan semata-mata hanya kerana Allah SWT sahaja.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil fi Tafsir al-Quran, 8/59)

Bagi menjawab persoalan yang diajukan di atas ini, kami mulakan dengan membawa hadith Nabawi yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Ummu Salamah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ

Maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai haiwan sembelihan untuk dibuat ibadat Korban, apabila masuk bulan Zulhijjah, maka janganlah dia mencabut suatu apa pun daripada bulu-bulu dan kuku-kukunya sehinggalah dia melaksanakan korban tersebut.”

Riwayat Muslim (1977); Abu Daud (2791)

Berdasarkan hadith di atas, bahawa hukum menggugurkan bulu dan kuku; sama ada dengan mencabut atau memotong bagi orang yang hendak melaksanakan korban adalah makruh tanzih bermula 1 Zulhijjah hingga haiwan korban tersebut disembelih. Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: “Mazhab kita (al-Syafi‘i) menyatakan bahawa menggugurkan rambut (dan bulu) serta kuku sepanjang 10 awal Zulhijjah bagi sesiapa yang akan melaksanakan korban adalah makruh tanzih, sehinggalah dia melaksanakan sembelihan korban tersebut.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/392)

Berhubung soalan di atas, yang dimakruhkan untuk memotong atau mencabut sebarang bulu atau bahagian daripada tubuh badan sepanjang awal Zulhijjah ini adalah orang yang berniat untuk melakukan serta membayar bahagian Korban.

Imam al-Ramli menegaskan: “[Dan disunatkan bagi orang yang hendak melaksanakannya (iaitu korban)] selain daripada orang yang berihram, iaitu yang hendak melaksanakan korban [untuk tidak menggugurkan sebarang bulunya mahupun kukunya] iaitu suatu apa pun daripada bahagian tersebut [pada sepuluh awal Zulhijjah sehinggalah dia melaksanakan korban] berdasarkan sabdaan Nabi SAW berkenaannya sama ada bulu rambut, janggut, ketiak, bulu ari-ari, misai atau lain-lain (seumpamanya).” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 8/132)

Begitu juga Imam Ibn Hajar al-Haitami turut memfatwakan: “[Dan dimakruhkan] bagi orang yang hendak melaksanakan korban [untuk menggugurkan suatu apa pun daripada bulunya dan lain-lain (anggota tubuh)] seperti kukunya, dan sekalian bahagian anggota tubuhnya [pada sepuluh hari awal Zulhijjah hingga dia melaksanakan korban tersebut].” (Lihat al-Minhaj al-Qawim fi Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 309).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan fatwa-fatwa para ulama mazhab al-Syafi‘i di atas, yang dimakruhkan untuk memotong sebarang bulu, kuku dan mana-mana anggota tubuh sepanjang sepuluh hari awal Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih; adalah orang yang hendak melakukan korban itu. Manakala ahli keluarga lain yang diniatkan untuk dikongsi pahala korban tersebut tidak perlu untuk melaksanakan sunnah ini dan mereka tidak terikat dengan larangan makruh ini.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.