#6861: Masuk ke Masjid Untuk Berehat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah saya masuk ke dalam masjid untuk berehat dan tidur sejenak? Lebih-lebih lagi ketika dalam perjalanan jauh dan ingin berehat dan tidur sebentar bagi menghilangkan penat, serta waktu solat belum lagi masuk? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami katakan bahawa masjid merupakan institusi yang penting dalam pembangunan masyarakat. Peranan masjid termasuklah sebagai agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan mereka. Masjid yang benar-benar berfungsi akan memberikan banyak faedah dan manfaat kepada masyarakat di sekitarnya seperti dalam aspek pembentukan kerohanian, keilmuan dan juga sebagai pusat rujukan dan khidmat kepada masyarakat. Bahkan fungsinya boleh dikembangkan sehingga ke tahap pengislahan ekonomi dan sosial.

Sejarah membuktikan fungsi masjid dalam memainkan peranan yang cukup luas bagi membina kesempurnaan dan keindahan Islam sebagai al-Din (cara hidup) melalui fungsi komprehensif yang dijana oleh institusi masjid. Sejarah Islam menggambarkan begitu tingginya nilai peranan institusi masjid yang dicetuskan pada zaman kegemilangan Islam. Walaupun keadaan dan suasana masyarakat pada zaman Rasulullah SAW berbeza dengan kehidupan masyarakat pada hari ini, namun masyarakat Islam di Malaysia mempunyai matlamat yang sama terutama dalam hal keagamaan.

Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَـٰجِدَ ٱللَّهِ مَنْ ءَامَنَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَأَقَامَ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَى ٱلزَّكَوٰةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا ٱللَّهَ ۖ فَعَسَىٰٓ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَن يَكُونُوا۟ مِنَ ٱلْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: “Hanyasanya yang layak memakmurkan masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, dengan adanya sifat-sifat yang tersebut maka adalah diharapkan mereka menjadi dalam kalangan golongan yang mendapat petunjuk.”

(Surah al-Taubah: 18)

Syeikh Al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan dalam kitabnya bahawa orang yang mengimarahkan masjid merupakan Mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan. (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228).

Begitu juga firman Allah SWT:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

Maksudnya:(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

Surah al-Nur: 36

Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/62).

Keduanya, berkenaan tidur di dalam masjid, kami katakan bahawa ia adalah diharuskan dan tidak makruh.

Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa dibolehkan tidur di dalam masjid dan tidak ada makruh dalam hal ini menurut pandangan kami (mazhab al-Syafi‘i). Imam al-Syafi‘i menaskan berkenaannya dalam kitab al-Umm dan disepakati oleh para ashab (ulama Syafi‘iyah). Imam al-Syafi‘i dan para ashabnya berhujah bahawa tidak makruh (tidur dalam masjid) berdasarkan apa yang sabit dalam Sahihain, riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

كُنْتُ أَنَامُ فِي المَسْجِدِ وَأَنَا شَابٌّ أَعْزَبُ

Maksudnya: “Aku biasa tidur di dalam masjid ketika aku masih muda dan bujang.”

Begitu juga telah sabit bahawa para ashab al-suffah biasa tidur di dalam masjid, dan begitu juga orang-orang dari kabilah ‘Uraniyyin juga tidur di dalam masjid. Terdapat juga riwayat dalam sahihain bahawa Ali R.A pernah tidur di dalam masjid, begitu juga Safwan bin Umayyah pernah tidur di dalam masjid dan seorang wanita pemilik selendang juga tidur di dalam masjid, serta beberapa sahabat lain. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/173-174).

Selain itu juga, terdapat riwayat daripada Sahl bin Sa‘d, katanya:

جَاءَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْتَ فَاطِمَةَ فَلَمْ يَجِدْ عَلِيًّا فِي البَيْتِ، فَقَالَ: أَيْنَ ابْنُ عَمِّكِ؟ قَالَتْ: كَانَ بَيْنِي وَبَيْنَهُ شَيْءٌ، فَغَاضَبَنِي، فَخَرَجَ، فَلَمْ يَقِلْ عِنْدِي فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِإِنْسَانٍ: انْظُرْ أَيْنَ هُوَ؟ فَجَاءَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، هُوَ فِي المَسْجِدِ رَاقِدٌ، فَجَاءَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ مُضْطَجِعٌ، قَدْ سَقَطَ رِدَاؤُهُ عَنْ شِقِّهِ، وَأَصَابَهُ تُرَابٌ، فَجَعَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْسَحُهُ عَنْهُ، وَيَقُولُ: قُمْ أَبَا تُرَابٍ، قُمْ أَبَا تُرَابٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah datang ke rumah Fatimah tetapi tidak mendapati Ali di rumah itu. Maka Baginda SAW bertanya: ‘Di mana anak bapa saudaramu?’ Fatimah berkata: ‘Berlaku sesuatu antara aku dan dia, membuatkan dia marah kepadaku. Dia pun keluar dan tidak tidur siang di rumah.’ Rasulullah SAW berkata kepada seseorang: ‘Pergilah lihat di mana dia.’ Setelah pergi, orang itu pun datang lalu berkata: ‘Wahai Rasulullah SAW, dia sedang tidur di dalam masjid.’ Rasulullah SAW pun pergi ke sana. Ketika itu, Ali sedang berbaring dalam keadaan kain selendangnya telah jatuh dari sisi badannya dan debu-debu menempel di tubuhnya. Sambil menyapu debu dari tubuhnya, Rasulullah SAW berkata: ‘Bangunlah wahai Abu Turab, bangunlah wahai Abu Turab.’”

Riwayat al-Bukhari (441)

Ketiganya, dalam menjawab soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa untuk seseorang masuk ke dalam masjid dan duduk di dalamnya bagi tujuan berehat, tidur, atau perkara seumpamanya. Tidak ada masalah dengan hal itu, kerana beberapa sahabat juga pernah tidur di dalam masjid pada zaman Nabi SAW seperti mana yang kami sudah terangkan sebelum ini.

Meskipun begitu, tidak sepatutnya seseorang duduk di dalam masjid kecuali setelah dia melakukan solat tahiyyatul masjid, jika dia berada dalam keadaan berwuduk. Dalam erti kata lain, jika dia berada dalam keadaan berwuduk, hendaklah dia solat dua rakaat terlebih dahulu, kemudian barulah dia duduk dan berehat. Akan tetapi jika dia tidak berada dalam keadaan berwuduk, tidak mengapa untuk dia terus duduk, dan tidak ada masalah dalam hal tersebut.

Pada masa yang sama, dia hendaklah menjaga dan memelihara adab-adab ketika berada di dalam masjid seperti memastikan aurat dalam keadaan tertutup ketika tidur dan berehat, tidak mengotorkan kawasan masjid, menghormati jemaah lain yang ingin beribadah di dalam masjid tersebut, memilih kawasan yang sesuai untuk berehat atau tidur dan lain-lain seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Surah Ibrahim (40-41)