#6863: Dibangkitkan dalam Keadaan Telanjang

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah kita dibangkitkan dalam keadaan telanjang dan kita tidak malu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada hari kiamat kelak, semua hamba akan dikumpulkan dalam keadaan telanjang dan tidak berkhitan, seperti ketika mereka baru dilahirkan dari rahim ibu mereka. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW, seperti dalam riwayat daripada hadith Aisyah R.A, katanya: ‘Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

يُحْشَرُ النَّاسُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حُفَاةً عُرَاةً غُرْلًا. قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ النِّسَاءُ وَالرِّجَالُ جَمِيعًا يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ قَالَ: يَا عَائِشَةُ الأَمْرُ أَشَدُّ مِنْ أَنْ يَنْظُرَ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ

Maksudnya: “Pada hari kiamat, manusia akan dihimpunkan dalam keadaan tidak beralas kaki, telanjang bulat, dan tidak berkhatan.” Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah lelaki dan perempuan akan dihimpunkan bersama-sama dan saling melihat satu sama lain?” Rasulullah menjawab: “Wahai Aisyah! Perkara (yang dihadapi ketika itu) lebih besar daripada sekadar melihat aurat satu sama lain.”

Riwayat al-Bukhari (6527) dan Muslim (2859)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Al-Baihaqi berkata: Dalam hadis Abu Sa’id yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh Ibn Hibban, disebutkan bahawa ketika hampir meninggal dunia, beliau meminta diambilkan pakaian baru, lalu memakainya dan berkata: Aku mendengar Nabi SAW bersabda: ‘‘إِنَّ الْمَيِّت يُبْعَث فِي ثِيَابِهِ الَّتِي يَمُوتُ فِيهَا’  (“Sesungguhnya mayat akan dibangkitkan dengan pakaian yang dipakainya ketika meninggal dunia.’”)

Apabila digabungkan dengan hadis ini, bermakna sebahagian mereka dihimpunkan dalam keadaan tidak berpakaian dan sebahagian lagi berpakaian. Atau semuanya tidak berpakaian, kemudian pakaian dikenakan kepada para nabi, dan yang pertama kali dikenakan pakaian adalah Nabi Ibrahim AS. Atau mereka keluar dari kubur dengan pakaian yang mereka kenakan semasa mereka mati, kemudian ketika mula dihimpunkan, pakaian itu berguguran dari mereka, sehingga mereka dihimpunkan dalam keadaan tidak berpakaian. Orang yang pertama kali dikenakan pakaian adalah Nabi Ibrahim.

Sebahagian orang memahami hadith Abu Sa’id sebagai hadith tentang orang-orang yang mati syahid, kerana mereka adalah orang-orang yang Baginda perintahkan untuk dikuburkan dengan pakaian mereka. Dengan demikian, kemungkinan Abu Sa’id mendengarnya berkaitan dengan orang yang mati syahid, lalu diertikannya secara umum. Antara yang mengertikannya secara umum adalah Mu’az bin Jabal. Ibn Abi al-Dunya meriwayatkan dengan sanad yang hasan, daripada Amr bin al-Aswad, dia berkata: ‘دَفَنَّا أُمَّ مُعَاذ بْن جَبَل فَأَمَرَ بِهَا فَكُفِّنَتْ فِي ثِيَابٍ جُدُدٍ وَقَالَ : أَحْسِنُوا أَكْفَانَ مَوْتَاكُمْ فَإِنَّهُمْ يُحْشَرُونَ فِيهَا’ (“Kami menguburkan ibu Mu’az bin Jabal, lalu dia memerintahkan agar mayat itu dikafankan dengan pakaian baru, lalu kemudian dia berkata, ‘Baguskanlah kafan orang-orang yang mati di antara kamu, kerana sesungguhnya mereka akan dibangkitkan dengan pakaian tersebut.’”)

Sebahagian ulama mentafsirkannya sebagai amal, dan mentafsirkan pakaian itu sebagai amal. Ini seperti firman Allah dalam Surah al-A’raf, ayat 26: ‘وَلِبَاسُ التَّقْوَى ذَلِكَ خَيْرٌ’ (Dan pakaian takwa itulah yang baik) dan firman-Nya dalam Surah al-Muddatthir, ayat 4: ‘وَثِيَابَك فَطَهِّرْ’ (Dan pakaianmu bersihkanlah). Menurut salah satu pendapat, iaitu pendapat Qatadah, beliau berkata, “Maknanya, ikhlaskanlah amalmu.”

Pendapat ini dikuatkan oleh hadis Jabir yang diriwayatkan secara marfu’, ‘ يُبْعَث كُلُّ عَبْدٍ عَلَى مَا مَاتَ عَلَيْهِ ’ (Setiap hamba akan dibangkitkan dalam keadaan dia meninggal dunia). Hadis ini diriwayatkan oleh Muslim. Begitu juga, hadis Fadhalah bin Ubaid yang menyebutkan: ‘مَنْ مَاتَ عَلَى مَرْتَبَةٍ مِنْ هَذِهِ الْمَرَاتِب بُعِثَ عَلَيْهَا يَوْم الْقِيَامَة ’ (Barangsiapa meninggal dunia dalam salah satu kedudukan ini, maka dia akan dibangkitkan dalam kedudukan tersebut pada Hari Kiamat nanti). Hadis ini diriwayatkan oleh Ahmad.

Sementara al-Qurtubi menguatkan pemaknaan dengan makna zahir khabar, dan menguatkannya dengan firman Allah: ‘وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَى كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ’ (Dan sesungguhnya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri sebagaimana Kami ciptakan kamu pada mulanya). Firman Allah: ‘كَمَا بَدَأَكُمْ تَعُودُونَ’ (Sebagaimana Dia telah menciptakan kamu pada permulaan, demikian pula kamu akan kembali kepada-Nya). Itulah yang diisyaratkan dalam hadis bab ini dengan menyebutkan firman Allah dalam surah al-Anbiyaa’ ayat 104: ‘كَمَا بَدَأْنَا أَوَّلَ خَلْقٍ نُعِيدُهُ’ (Sebagaimana Kami telah memulai penciptaan pertama, begitulah Kami akan mengulanginya) setelah Baginda bersabda, ‘حُفَاة عُرَاة’ (Dalam keadaan tidak beralas kaki, tidak berpakaian).

Beliau juga berkata, ‘Hadis Abu Sa’id adalah mengenai para syuhada, kerana mereka dikuburkan dengan pakaian mereka dan dihidupkan semula dengan pakaian tersebut untuk membezakan mereka daripada yang lain.’ Pendapat ini juga dinukil oleh Ibn Abd al-Bar daripada ramai ulama.”

Apabila diperhatikan, sesungguhnya di dunia ini, pakaian adalah harta, sedangkan di akhirat tidak ada harta yang dahulunya dimiliki di dunia. Selain itu, yang dapat melindungi manusia daripada perkara yang tidak disukainya di akhirat adalah pahala daripada amal kebaikan atau rahmat daripada Allah, sementara pakaian dunia tidak bermakna apa-apa. Itulah pendapat yang dinyatakan oleh al-Hulaimi.

Dalam pada itu, al-Ghazali berpendapat dengan zahir hadis Abu Sa’id, dan beliau mengemukakannya dengan tambahan yang saya (al-Hafiz Ibn Hajar) tidak temui asalnya, iaitu: ‘فَإِنَّ أُمَّتِي تُحْشَر فِي أَكْفَانِهَا وَسَائِر الْأُمَم عُرَاة’ (Kerana sesungguhnya umatku akan dibangkitkan dengan kain kafan mereka, manakala seluruh umat lain dibangkitkan dalam keadaan telanjang).

Menurut al-Qurthubi, “Jika riwayat ini sahih, maka ini merujuk kepada para syuhada dalam kalangan umat Islam. Maka hadis-hadis ini tidaklah bertentangan antara satu sama lain.”

Inilah sepertimana yang dijelaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari (18/370).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”