#6865:  Larangan Menceritakan Mimpi Yang  Buruk

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, benarkah kita dilarang menceritakan mimpi yang buruk? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Mimpi

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, mimpi merupakan sesuatu yang seolah-olah dialami atau dilihat seorang sewaktu tidurnya. Ia merupakan hal keadaan yang biasa berlaku kepada manusia.

Terdapat beberapa jenis mimpi yang dialami oleh seseorang Muslim. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadith daripada ‘Auf bin Malik R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ : مِنْهَا أَهَاوِيلُ مِنَ الشَّيْطَانِ لِيَحْزُنَ بِهَا ابْنَ آدَمَ ، وَمِنْهَا مَا يَهُمُّ بِهِ الرَّجُلُ فِي يَقَظَتِهِ ، فَيَرَاهُ فِي مَنَامِهِ ، وَمِنْهَا جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi itu ada tiga jenis: Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk meresahkan anak Adam; Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan manusia ketika jaga lalu terbawa hingga ke dalam tidur dan mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

 Riwayat Ibn Majah (3907)

Daripada hadith di atas dapat difahami bahawa mimpi yang datang kepada seseorang itu terbahagi kepada tiga jenis iaitu:

  • Mimpi yang merupakan gangguan syaitan untuk menimbulkan keresahan kepada seseorang.
  • Mimpi yang pada asalnya perkara yang difikirkan oleh seseorang ketika jaga. Apabila tidur lalu terbawa-bawa perkara tersebut dalam mimpinya.
  • Mimpi yang merupakan satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian. Atau mimpi ketuhanan iaitu yang datang dan ilham daripada Tuhan.

Guru kami, Syeikh Atiyyah Salim Rahimahullah ketika menafsirkan 46 bahagian kenabian menyebut, ini kerana kerasulan Nabi SAW selama hampir 23 tahun sedangkan muqaddimah kenabian melalui mimpi hampir 6 bulan. Justeru, 6 bulan daripada 23 tahun bersamaan 1/46. Wallahu a’lam.

Ibnu Battal pula berkata, mimpi ada dua jenis:

Pertama, mimpi yang jelas-jelas menjadi nyata, seperti seseorang yang bermimpi memberi seseorang kurma, dan pada siang harinya ia memberi seseorang kurma. Mimpi seperti ini tidak memerlukan takwil.

Kedua, mimpi yang hadir dengan simbol-simbol. Untuk memahami mimpi seperti ini harus ada seseorang yang memiliki ilmu dan pengalaman mentakwil mimpi untuk memahaminya kerana kadang-kadang simbol-simbol itu sangat halus dan rumit. (Lihat Fath al-Bari, 19/451)

Walaubagaimanapun, harus diingatkan bahawa mimpi tidak boleh dijadikan landasan dalam menghukumkan sesuatu perkara. Imam al-Syatibi berkata, “Sesungguhnya mimpi dari selain para Nabi secara Syar’i tidak boleh dijadikan landasan untuk menghukumkan perkara apa pun, kecuali setelah ditimbangkan dengan hukum Syariat. Faedah dari mimpi tersebut hanyalah memberi khabar gembira atau peringatan. Adapun menentukan sesuatu hukum dengannya, maka tidak boleh sama sekali.”

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa tidak dinafikan bahawa mimpi buruk itu merupakan gangguan dan permainan syaitan yang bertujuan untuk meresahkan hati anak Adam. Yang demikian sebagaimana yang diriwayatkan daripada  Abu Qatadah bahawa Baginda SAW juga ada bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Ibn al-Athir menyatakan bahawa: Mimpi yang benar dan buruk adalah apa yang dilihat oleh orang yang sedang tidur. Namun, al-Ru’ya al-Sadiqah sering dikaitkan dengan kebaikan, manakala al-hulum sering dikaitkan dengan keburukan. Oleh itu, al-hulum sering dianggap berasal dari syaitan, walaupun sebenarnya semua itu adalah ciptaan Allah, dan kaitan dengan syaitan adalah bersifat kiasan. (Lihat Minhah al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 10/98)

Oleh itu, kita dilarang menceritakan mimpi yang buruk kepada orang lain. Ini kerana Rasulullah pernah melarang daripada menceritakannya kepada orang lain sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah bahawa beliau berkata: seorang lelaki Badwi datang kepada Rasulullah SAW dan berkata:

إنِّي حَلَمْتُ أنَّ رَأْسِي قُطِعَ فأنا أَتَّبِعُهُ، فَزَجَرَهُ النبيُّ ﷺ، وَقالَ: لا تُخْبِرْ بتَلَعُّبِ الشَّيْطانِ بكَ في المَنامِ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku bermimpi bahawa kepalaku dipenggal;, lalu aku mengikutinya. Maka Nabi SAW menegahnya dan bersabda: Jangan kamu ceritakan tentang permainan syaitan terhadapmu dalam mimpi.”

Riwayat Muslim (2268)

Hadith in merupakan larangan untuk memberitahu tentang mimpi yang buruk. Al-Nawawi menyatakan bahawa: Sebab larangan ini adalah kerana mungkin pendengar mentafsirkannya dengan tafsiran yang tidak disukai berdasarkan rupa zahir mimpi tersebut, dan itu adalah sesuatu yang tidak jelas, maka hal tersebut berlaku dengan takdir Allah. (Lihat al-Tahbir Li Idah Ma‘ani al-Taisir, 2/541)

Al-Maziri menyatakan bahawa: Ada kemungkinan bahawa Baginda mengetahui mimpinya ini adalah dari jenis mimpi yang tidak nyata melalui wahyu yang diberikan kepadanya, atau melalui petunjuk dalam mimpi itu sendiri, atau mungkin juga ia merupakan sesuatu yang tidak disukai yang merupakan usaha syaitan untuk menakut-nakutkannya. (Lihat Ikmal al-Mua‘llim bi Fawaid Muslim, 7/222)

Justeru, dengan mengikuti petunjuk ini, umat Islam dapat berpegang kepada sunnah Nabi SAW dalam menguruskan mimpi, baik yang baik mahupun yang buruk, dan menjaga diri dari terpengaruh dengan perkara yang tidak bermanfaat.

Daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu semua bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Kesimpulan daripada bab tentang mimpi yang baik ada tiga perkara:

  • Memuji Allah SWT atas mimpi yang baik.
  • Bergembira kerana mimpi yang baik.
  • Menceritakannya, tetapi hanya kepada orang yang suka, bukan kepada orang yang tidak suka.

Manakala kesimpulan yang dapat dirumuskan sekitar adab ketika bermimpi yang tidak disukai ada empat, iaitu:

  • Memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada keburukannya.
  • Memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada kejahatan syaitan.
  • Meludah ke sebelah kiri tiga kali ketika terjaga daripada tidurnya.
  • Tidak menceritakannya sama sekali kepada seorang pun. (Lihat Fath al-Bari, 34/389-397)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

بِسْمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ، وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Wallahu‘Alam