#6866: Perempuan Istihadhah Mahu Berpuasa Ganti

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah perempuan yang beristihadah dibolehkan mengganti puasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَمَنْ كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir, maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.”

                                               (Surah al-Baqarah: 185)

Syeikh Tahir Ibn Asyur berkata: “Orang yang sakit adalah yang berubah daripada keadaan stabil pada tabi’inya, membawa kepada fizikalnya demam, sakit atau lumpuh. Para fuqaha’ telah khilaf dalam menentukan sakit yang mewajibkan berbuka. Adapun sakit pada ghalibnya menyebabkan pesakit tidak mampu berpuasa dan jika meneruskannya boleh membinasakannya, maka tiada khilaf dia harus berbuka bahkan wajib berbuka. (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/162)

Darah istihadhah bukanlah darah haid, dan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW:

إِنَّمَا ذَلِكِ عِرْقٌ وَلَيْسَ بِالْحَيْضَةِ

Maksudnya: “Darah istihadhah itu hanyalah keringat (suci), dan bukan (seperti) darah haid.”

Riwayat al-Bukhari (306), Muslim (333), Abu Daud (282), al-Tirmizi (125), al-Nasa’ie (212), Ibn Majah (621) dan Ahmad (25681)

Ulama menyatakan bahawa wanita yang dalam keadaan istihadhah adalah sama hukumnya dengan wanita yang dalam keadaan suci. Imam al-Nawawi menyebut:

الْمُسْتَحَاضَةَ كَالطَّاهِرِ فِي الصَّلَاةِ وَالصَّوْمِ وَالِاعْتِكَافِ وَالْقِرَاءَةِ وَغَيْرِهَا

Maksudnya: “Wanita yang istihadhah (hukumnya) sama seperti wanita yang dalam keadaan suci pada melaksanakan solat, puasa, iktikaf, baca al-Quran dan selainnya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/372)

Secara umumnya, oleh kerana wanita istihadhah kebiasaannya darah yang keluar daripada mereka berterusan atau kerap kali, maka wanita istihadhah sama hukumnya dengan mereka yang mengalami kencing tidak lawas (سَلِس الْبَوْل) di mana mereka tidak terhalang untuk melaksanakan solat dan puasa. Wanita istihadhah wajib membasuh faraj serta membalutnya (sumbat dengan kapas dan memakai tuala wanita). Seterusnya mengambil wuduk setelah masuk waktu dan segera menunaikan solat. Adapun, melambatkan solat hanya pada perkara-perkara persediaan sebelum solat (kemaslahatan yang berkaitan solat) seperti menutup aurat, menanti jemaah dan seumpamanya. Kesemua tempoh ini tidak memudaratkan wuduknya (tidak batal). Sekiranya dilewatkan solat tanpa adanya keperluan, maka terbatal wuduk menurut pendapat yang sahih. Begitu juga wajib ke atas wanita istihadhah untuk mengambil wuduk setiap kali solat fardhu dan memperbaharui balutan (tuala wanita) menurut pendapat paling sahih (al-asah) (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/19).

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan perempuan yang sedang dalam istihadhah ibarat seperti perempuan suci, maka boleh untuknya solat dan puasa seperti biasa. Oleh itu, dibolehkan untuk anda berpuasa ganti meskipun dalam keadaan istihadhah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.