#6869: Tadabbur Melihat Makna Sahaja, Tanpa Kitab Tafsir

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah dibolehkan untuk mentadabburi al-Quran dengan melihat makna sahaja tanpa melihat pada tafsir?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Berhubung dengan kemusykilan di atas, sukalah kami untuk membawakan firman Allah SWT dalam Muhkam al-Tanzil berhubung perkara ini. Allah SWT berfirman berkenaan tuntutan sekalian manusia untuk mentadabburi dan memahami Kalam-Nya:

أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَ أَمۡ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقۡفَالُهَاۤ

Maksudnya: “Adakah mereka tidak mentadabburi al-Quran? Bahkan jantung hati mereka semua itu terkunci rapat (daripada mahu mentadabburinya).”

(Surah Muhammad: 24)

Mentadabburi al-Quran adalah sifat insan yang suci hatinya dan terbuka hatinya untuk menerima petunjuk hidayah daripada Allah. Mereka akan terhindari dari segala jenis keburukan dan kebinasaan. Imam Syihabuddin al-Alusi menafsirkan ayat suci di atas ini dengan menyebutkan, maksudnya adalah memerhatikan (maknanya) dan mendalami (isi kandungannya) berupa pesanan nasihat dan kecaman jua ancaman, supaya mereka tidak terjerumus ke dalam kancah kebinasaan dan dosa-dosa yang membinasakan.” (Lihat Ruh al-Ma‘ani fi Tafsir al-Quran al-‘Azim wa al-Sab‘u al-Mathani, 13/229)

Berhubung soalan di atas, kami tegaskan bahawa tidak boleh enggan untuk merujuk kitab-kitab tafsir semasa mentadabburi al-Quran, dan berpada dengan terjemahan harfiah al-Quran semata. Perkara ini dilarang dan ditegah. Hal ini kerana, tadabbur adalah langkah yang dilakukan selepas mengetahui tafsir bagi sesebuah ayat. Bagi orang yang tidak menggapai martabat alim, maka dia wajib merujuk ulama tafsir dan syarahan mereka terhadap ayat-ayat suci al-Quran dalam kitab-kitab tafsir. Selepas merujuk semua itu, barulah dia boleh melakukan proses tadabbur.

Menafsirkan al-Quran memerlukan kepada penguasaan ilmu-ilmu alat yang mencukupi seperti segenap cabang ilmu bahasa Arab. Seseorang yang tidak mempunyai semua ilmu tersebut, tidak boleh menafsirkan al-Quran, sebaliknya dia wajib merujuk kepada kitab-kitab tafsir. Imam Yahya bin Syaraf al-Nawawi berkata: “Diharamkan menafsirkan al-Quran tanpa ilmu, dan bercakap tentang maknanya bagi orang yang tidak berkelayakan; dan hadith berkenaannya cukup banyak, ijma‘ berkenaannya juga telah diputuskan. Adapun menafsirkannya bagi ulama adalah diharuskan dan dipandang baik; dan ini ijma‘ yang telah diputuskan. Maka, sesiapa yang berkeahlian dalam bidang tafsir, menguasai semua ilmu-ilmu alat sehingga mampu memahami maknanya, dan mempunyai keyakinan yang kuat tentang makna yang ditafsirkannya itu yang boleh digapai dengan cara ijtihad seperti makna-makna dan hukum-hakam yang jelas dan tersembunyi, yang umum dan khusus, serta wajah i‘rab dan lain-lain perkara di dalamnya. Sekiranya dia tidak mampu semua ini, maka dia tidak boleh menafsirkan al-Quran secara sendiri melainkan dengan hanya menukilkan daripada ulama-ulama tafsir yang dirujuk.” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, hlm. 166).

Berhubung konsep tadabbur pula, Imam al-Alusi mentakrifkan tadabbur sebagai melihat sesuatu sehingga ke belakang/pengakhiran sesuatu tersebut, dan memikirkan akibat jua kesan daripadanya. Perkataan ini digunakan kebiasaannya bagi setiap perbuatan insan ketika dia melihat dan memerhatikan hakikat sesuatu perkara, atau mana-mana bahagian sesuatu, atau permulaan dan pengakhiran/kesudahan sesuatu perkara. (Lihat Ruh al-Ma‘ani fi Tafsir al-Quran al-‘Azim wa al-Sab‘u al-Mathani, 5/92).

Perkataan Tadabbur (التَّدَبُّرُ) dibina di atas pola kata (wazan) al-tafa‘ul (التَّفعُّلِ) kerana menunjukkan kesukaran proses tadabbur dan hasilnya hanya akan diperoleh selepas bersusah-payah dalam berusaha. Hal ini kerana, tadabbur merupakan perbuatan beroleh sesuatu maklumat, natijah, keputusan dan tindakan daripada sebuah ayat al-Quran selepas sentiasa memerhatikan maksudnya dari masa ke masa.

Oleh yang demikian, proses tadabbur adalah langkah terakhir dalam meneliti ayat al-Quran. Tadabbur dilakukan selepas mengetahui tafsir sesebuah ayat al-Quran tersebut. Hal ini ditegaskan oleh Syeikh Dr. Musa‘id bin Sulaiman al-Tayyar, salah seorang ulama pakar al-Quran dan bidang tafsir al-Quran di Riyadh, Arab Saudi. Beliau berkata di dalam kajiannya: “Hukum asalnya, bahawa peringkat tadabbur datang selepas memahami (ayat). Hal yang demikian kerana, tidak mungkin boleh untuk kita diminta mentadabburi sesuatu ayat yang kita tidak dapat taakuli (faham); ini juga menegaskan bahawa tiada suatu ayat pun yang tidak boleh difahami maknanya secara mutlak, dan bahawasanya tadabbur itu bersangkutan dengan peringkat tafsir (dilakukan selepasnya); iaitu tadabbur berkait dengan perkara yang telah diketahui maknanya.” (Lihat Mafhum al-Tafsir wa al-Ta’wil wa al-Istinbat wa al-Tadabbur wa al-Mufassir, hlm. 187).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa wajib merujuk kitab-kitab tafsir yang muktabar dahulu untuk mengetahui makna sesuatu ayat al-Quran dengan benar; kemudian barulah pembaca melaksanakan proses tadabbur. Ini kerana kebiasaannya terjemahan al-Quran per kata atau kebanyakkan terjemahan al-Quran belum lagi menggambarkan maknanya yang sempurna dan padat tentang sesebuah ayat.

Bagi memenuhi ruang yang lompong tersebut, bolehlah merujuk kepada tafsir-tafsir ringkas seperti Tafsir Pimpinan al-Rahman karya Syeikh Abdullah Basmeih atau Mukhtasar al-Bayan: Terjemahan al-Quran al-Karim yang diselia usaha penterjemahannya oleh Dr. Zulkifli Mohamed al-Bakri, atau mana-mana tafsir ringkas yang lain.

Sesungguhnya, al-Quran diturunkan untuk ditadabburi oleh sekalian kaum Muslimin.

Allah SWT berfirman:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Maksudnya: “(al-Quran) ialah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh keberkatan supaya mereka mentadabburi ayat-ayatnya dan supaya isinya memberi peringatan kepada orang-orang yang mahu berfikir secara mendalam.”

(Surah Sad: 29)

Manakala, di dalam qiraat  Abu Ja‘far al-Madani diriwayatkan bahawa beliau membaca firman Allah SWT di atas seperti berikut:

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِتَدَبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الألْبَابِ

Maksudnya: “(al-Quran) ialah Kitab yang Kami turunkan kepadamu penuh keberkatan supaya kalian semua mentadabburi ayat-ayatnya dan supaya isinya memberi peringatan kepada orang-orang yang mahu berfikir secara mendalam.”

(Surah Sad: 29)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata menjelaskan taujih (penjelasan makna) bagi Qiraat Abu Ja‘far di atas: “Maksud Qiraat (bacaan) ini adalah: (al-Quran itu diturunkan) supaya ditadabburi oleh Engkau, wahai Rasulullah SAW dan sekalian pengikutmu (umat Islam).” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 23/153)

Justeru, semua dalam kalangan kita bertanggungjawab untuk mentadabburi al-Quran; baik orang-orang bukan Muslim, bahkan lebih utama, kaum Muslimin yang mengimani dan menyanjungnya. Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.