#6870:  Doa Ketika Bertahajjud

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah doa yang dianjurkan untuk dibaca ketika tahajud? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَّكَ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا

Maksudnya: Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.”

(Surah al-Isra’: 79)

Allah SWT berfirman: (فَتَهَجَّدْ بِهِ). Ayat ini bermaksud berjagalah di waktu malam. Perkataan “الْهُجُودُ” membawa maksud tidur, manakala perkataan “التَّهَجُّدُ” adalah dalam wazan (timbangan kata) “تَفَعُّلٌ” yang membawa maksud mengusahakan perbuatan itu dan mensabitkannya sebagaimana asalnya.

Adakalanya timbangan perkataan atas wazan ini membawa erti menafikan perbuatan tersebut. Tetapi hanya segelintir perkataan sahaja yang membawa pengertian penafian ini.

Keseluruhannya ada tujuh perkataan yang wazan “تَفَعُّلٌ” baginya membawa erti menafikan perbuatan tersebut, iaitu “تَهَجَّدَ” yang membawa maksud menafikan “الْهُجُودَ”  (tidur). (Lihat Ahkam al-Quran oleh Ibn al-‘Arabi, 5/372).

Solat Tahajjud memiliki kelebihan yang besar, sepertimana disebut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ؛ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Maksudnya: “Sebaik-baik solat setelah solat fardhu ialah solat malam.”

Riwayat Muslim (1163)

Ibn Rajab berkata: “Waktu tahajud di malam hari adalah sebaik-baik waktu pelaksanaan solat sunat. Ketika itu hamba semakin dekat dengan Tuhannya. Waktu tersebut adalah saat dibukakannya pintu langit dan terkabulnya doa. Saat itu juga adalah waktu untuk mengemukakan pelbagai hajat kepada Allah SWT.” (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 77).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa antara doa yang dianjurkan untuk dibaca ketika bertahajud adalah sebagaimana yang diriwayatkan daripada Ibn  ‘Abbas R.Anhuma bahawa beliau berkata:

كَانَ رسولُ الله – صلى الله عليه وسلم – إِذَا قَامَ مِنَ اللَّيْلِ يَتَهَجَّدُ قَالَ: “اللهمَّ رَبَّنَا لَكَ الحَمْدُ، أَنْتَ قَيِّمُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الحَمْدُ، أَنْتَ نُورُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ، وَلَكَ الحَمْدُ أَنْتَ مَالِكُ السَّمَاوَاتِ والأرْضِ وَمَنْ فِيهِنَّ وَلَكَ الحَمْدُ، أَنْتَ الحَقُّ، وَوَعْدُكَ الحَقُّ، وَلِقَاؤُكَ حَقٌّ، وَقَوْلُكَ حَقٌّ، وَالجَنَّةُ حَقٌّ، وَالنَّارُ حَقٌّ، وَالنَّبِيُّونَ حَقٌّ، وَمُحَمَّدٌ – صلى الله عليه وسلم – حَقٌّ، وَالسَّاعَةُ حَقٌّ، اللهمَّ لَكَ أَسْلَمْتُ، وَبِكَ آمَنْتُ، وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ، وَإلَيْكَ أَنَبْتُ، وَبِكَ خَاصَمْتُ، وَإلَيْكَ حَاكمْتُ، فَاغْفِرْ لِي مَا قَدَّمْتُ وَمَا أَخَّرْتُ، وَمَا أَسْرَرْتُ وَمَا أَعْلَنْتُ، وَمَا أَنْتَ أَعْلمُ بِهِ مِنَّي، أَنْتَ المُقَدَّمُ وَأَنْتَ المُؤَخَّرُ، لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ

Maksudnya: “Apabila Nabi SAW bangun pada malam hari untuk solat tahajjud, baginda mengucapkan Ya Allah! Segala puji bagi-Mu. DIkaulah pemelihara langit dan bumi serta seluruh isi yang berada di dalamnya. Segala puji bagi Engkau. Kamu memiliki kerajaan langit, bumi dan siapa saja yang berada di dalamnya. Segala puji bagiMu, Dikaulah Qayyum (Raja yang maha menguruskan) langit, bumi dan siapa saja yang berada di dalamnya. Segala puji bagiMu, Engkaulah al-Haq (Yang Benar). Janji-Mu benar, firman-Mu pasti benar, pertemuan dengan-Mu pasti benar, syurga itu benar adanya, neraka itu benar adanya, hari kiamat itu benar, para nabi itu membawa kebenaran, dan Muhammad SAW itu membawa kebenaran, hari kiamat itu benar. Ya Allah! Kepada-Mu lah aku berserah diri.Kepada-Mu lah aku bertawakal. Kepada-Mu lah aku beriman. Kepada-Mulah aku bertaubat dan berhujah dengan hujahku dan kepada-Mu aku berhukum. ampunilah dosa-dosaku,  samada yang telah aku lakukan mahu pun yang belum aku lakukan, samada apa yang aku sembunyikan, mahu pun yang aku nyatakan. Engkaulah Pemula dan Pengakhir. Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Engkau atau  perawi berkata: Baginda mengucapkan, yang berhak disembah selain Engkau).”

Riwayat al-Bukhari (6317) dan Muslim (769)

Dinyatakan dalam Syarh Muharrar fi al-Hadith, (hlm.339) bahawa: Hadith ini menyebut tentang pembukaan solat malam oleh Rasulullah SAW Baginda memulakannya dengan zikir dan doa yang panjang. Ini kerana solat malam biasanya dipanjangkan bacaan (al-Quran), maksudnya seseorang itu solat sendirian dan memanjangkan bacaan, maka dia memulakan dengan doa iftitah yang panjang. Pembukaan ini merangkumi pujian kepada Allah Azza wa Jalla serta pengagungan kepada-Nya.

Justeru, dengan mengamalkan doa ini dalam solat malam, kita mengikuti sunnah Nabi SAW, yang merupakan panduan terbaik dalam melaksanakan ibadah dengan cara yang paling sempurna. Kita dianjurkan untuk memperbanyak doa ketika bertahajud kerana pada ketika itu adalah waktu yang dimustajabkan doa. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

Maksudnya: “Tuhan yang Maha Berkat dan Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia sewaktu masa berbaki sepertiga malam terakhir dan berfirman: Barangsiapa yang berdoa kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan baginya. Baransiapa yang meminta kepada-Ku nescaya aku akan memberikan (apa yang dipinta) kepadanya. Barangsiapa yang meminta pengampunan daripada-Ku, nescaya Aku akan mengampuninya.”

Riwayat al-Bukhari (1145)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam