#6883: Memaki Anak apabila Tidak Mencapai Hasrat Ibubapa

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Isteri saya kecewa sangat dengan keputusan peperiksaan dan permohonan belajar yang dipohon gagal anak-anak  kami sehingga terkeluar dari mulutnya kesalan yang bukan-bukan. Bagaimana cara saya nak menasihatinya sebabnya anak-anak bukanlah kurang cerdik sangat cuba tidak capai impian si ibu, Dia bandingkan dengan anak-anak orang lain yang berjaya terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Anak merupakan anugerah Allah SWT dan ia adalah hibah serta kurniaan daripada-Nya. Firman Allah SWT:

يَهَبُ لِمَن يَشَاءُ إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاءُ الذُّكُورَ

Maksudnya: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”

(Surah al-Syura: 49)

Ibn Kathir berkata: “Allah SWT memberitahu bahawa Dia menciptakan langit dan bumi, memilikinya, dan mengatur keduanya. Dan Dia menetapkan segala sesuatu yang Dia kehendaki, dan jika Dia tidak menghendaki sesuatu, maka hal itu tidak akan terjadi. Dia memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki dan menahan rezeki daripada siapa yang Dia kehendaki. Tidak ada yang dapat menghalangi apa yang Dia berikan, dan tidak ada yang dapat memberikan apa yang Dia tahan. Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memberi anak perempuan kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Contohnya adalah Nabi Lut, yang hanya diberikan anak perempuan”. Dia juga memberikan anak lelaki kepada siapa yang Dia kehendaki. Al-Baghawi berkata: “Seperti Nabi Ibrahim yang tidak diberikan anak perempuan”. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 7/198)

Suka kami nyatakan bagaimana Rasulullah SAW bersabda: Daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: “Orang yang terbaik di kalangan kamu ialah orang yang terbaik kepada keluarganya dan aku adalah yang paling baik di antara kamu terhadap keluargaku.”

Riwayat al-Tirmizi (3895), Ibnu Majah (1977), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (16117), Syu’ab al-Iman (10502) dan Ibn Hibban (4177). Kata Imam al-Tirmizi: Hadis hasan sahih.

Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: (Iaitu) kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 10/269)

Dalam mendidik anak, hendaklah kita mengingati firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka.”

(Surah al-Tahrim: 6)

Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam tafsirnya menyatakan makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang ma’ruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara munkar. Di samping itu, Imam al-Qurthubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkahlaku dan memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka. (Lihat Tafsir al-Wasit, 14/476)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sebagai ibubapa, kita seharusnya mendidik anak-anak dengan cara yang baik dan mengikut situasi. Adakalanya apabila anak membuat perangai/ kerenahnya, kita akan berasa geram dan marah, tetapi itulah yang dinamakan anak-anak yang lumrah sifatnya suka bermain dan mempelajari dari sifat ibubapanya dari semasa ke semasa.

Oleh itu, berbalik kepada isu di atas, memaki hamun anak bukanlah sifat yang baik, malah ia akan memberi impak yang negatif di kemudian hari. Boleh jadi, apabila ia besar kelak, ia akan meniru sifat ibubapanya yang keras.

Oleh sebab itu, kami nasihatkan didiklah anak itu dengan baik dan berhikmah. Ada masanya kita perlu marah atau rotan (dengan sederhana dan bukan menyeksa) dan ada masanya kita perlu marah dengan cara nasihat. Bahkan, jika kita lihat dari sudut solat, ada peringkatnya yang disarankan oleh Rasulullah SAW dalam mendidik anak untuk solat. Diriwayatkan daripada Abdullah Bin ‘Amru bahawa Rasulullah SAW bersabda :

مُرُوا أَوْلادَكُمْ بِالصَّلاةِ وَهُم أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ

Maksudnya: “Suruhlah (didiklah) anak-anakmu dengan solat ketika mereka berumur 7 tahun, pukullah mereka jika tidak menunaikan solat ketika berumur 10 tahun.”

Riwayat Abu Dawud (495), al-Tirmizi (407) dan Ahmad (2/187). Imam al-Tirmizi menyatakan: Hadith Hasan Sahih

Nas-nas di atas dapat difahami bahawa tanggungjawab ibu bapa adalah untuk mengarahkan anak-anak agar menunaikan solat, menghalang mereka dari perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT, dan memastikan pelaksanaan kewajiban-kewajiban yang telah ditetapkan oleh-Nya. Semua ini adalah amanah dan tanggungjawab yang harus dipikul oleh ibu bapa dengan penuh kesungguhan.

Selain itu, suka kami nyatakan gagal dalam sesuatu perkara itu sebenarnya satu batu loncatan untuk seseorang itu lebih jauh ke hadapan. Kadangkala kita mahu begini, namun Allah SWT beri begitu kerana Dialah yang lebih mengetahui. Allah SWT telah berfirman:

وَمَكَرُوْا وَمَكَرَ اللّٰهُ ۗوَاللّٰهُ خَيْرُ الْمَاكِرِيْنَ ࣖ

Maksudnya: Setiap anak mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing kerana itulah yang disebut sebagai manusia yang sudah tentu ada kekurangannya.

(Surah Ali Imran: 54)

Justeru, janganlah marah anak dengan maki dan ucapan yang tidak baik, apabila anak anda tidak mecapai hasrat ibubapa. Sebaliknya, nasihatlah ia dengan kata-kata semangat dan ikhtiar dengan kelas tambahan dan seumpamanya yang boleh membantu si anak dalam pelajarannya.

Sebagai seorang suami juga, kita harus menasihati si isteri dengan kata-kata yang baik agar si isteri tidak terasa hati dan mendengar nasihat suaminya. Membandingkan anak dengan anak yang lain bukanlah sifat yang baik kerana setiap anak-anak itu ada rezeki masing-masing dan kelebihan masing-masing. Maka, perkara-perkara sebegitu perlu dijaga agar kita tidak merendah-rendahkan cahaya mata kita sendiri.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahua’lam