#6884: Makan dan Minum dalam Masjid

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah kita makan dan minum di dalam masjid? Sebenarnya apakah hukumnya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

Maksudnya:(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.”

Surah al-Nur: 36

Ibn Kathir menyebutkan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk memuliakan masjid dengan menyucikannya daripada segala kotoran, perkara yang sia-sia, perkataan atau perbuatan yang tidak berkait dengannya. Ini juga adalah pendapat Ibn Abbas, ‘Ikrimah, al-Dhahhak, dan ramai lagi dalam kalangan ulama tafsir. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/62).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, kami bawakan pandangan ulama mazhab berkenaan hal ini.

Mazhab Hanbali berpandangan bahawa tidak ada masalah untuk makan di dalam masjid. Dinyatakan dalam Kassyaf al-Qina‘ (5/420) bahawa tidak mengapa (makan di dalamnya), iaitu di dalam masjid, bagi orang yang beriktikaf dan selainnya. Ini berdasarkan riwayat Abdullah bin al-Harith:

كُنَّا نَأْكُلُ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي الْمَسْجِدِ الْخُبْزَ وَاللَّحْمَ

Maksudnya: “Kami pernah makan roti dan daging di dalam masjid pada zaman Nabi SAW.

Riwayat Ibn Majah (3300); Ahmad (17702) dan al-Baghawi dalam Mu‘jam al-Sahabah (1673)

Begitu juga al-Rahibani al-Hanbali turut menyebutkan bahawa tidak mengapa berkumpul di dalam masjid dan makan di dalamnya. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 2/263).

Demikian juga dalam mazhab al-Syafi‘i, Imam al-Nawawi dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah menyebutkan, tidak mengapa makan dan minum di dalam masjid, serta meletakkan hidangan di dalamnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/174).

Walau bagaimanapun, mazhab Maliki membezakan antara makan makanan ringan yang kering dengan makanan lainnya. Mereka membolehkan untuk makan makanan yang ringan dan kering seperti kurma di dalam masjid, tetapi melarang makanan selain itu kecuali dalam keadaan darurat (keperluan mendesak). Ini sebagaimana dinyatakan oleh al-Baji bahawa adapun makan di dalam masjid, dalam kitab al-Mabsut dinyatakan, “Imam Malik tidak suka makan makanan seperti daging dan seumpamanya di dalam masjid.” Ibn al-Qasim menambah dalam al-‘Utbiyyah, “Atau (makan) di halaman masjid.” Adapun orang yang berpuasa yang didatangkan dengan makanan dari rumahnya seperti sawiq[1] dan makanan yang menyerupainya, Ibn al-Qasim menyebutkan: “Makanan yang ringan (tidak berat lagi kering), maka tidak mengapa dengan itu.” (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 1/311).

Dalam al-Taj wa al-Iklil li Mukhtasar Khalil (7/516-517) dinyatakan, Ibn al-Qasim menyebutkan, Imam Malik berpendapat bahawa tidak ada masalah dengan makan kurma yang diletakkan di dalam masjid. Ibn Rusyd menyatakan, dalam hal ini, menunjukkan bahawa orang-orang asing yang tidak mempunyai tempat tinggal boleh berteduh dan bermalam di dalam masjid serta makan di dalamnya makanan menyerupai kurma yang terdiri daripada jenis makanan kering. Imam Malik juga memberi kelonggaran (rukhsah) kepada tetamu untuk bermalam dan makan di dalam masjid-masjid di kampung, kerana mereka yang membina masjid untuk solat mengetahui bahawa tetamu akan bermalam di dalamnya kerana keperluan mereka bagi hal tersebut. Oleh itu, jadilah seolah-olah pembinaannya juga untuk tujuan tersebut, walaupun pada asalnya dibina untuk solat sahaja dan bukan untuk tujuan lain seperti bermalamnya tetamu.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang itu makan dan minum di dalam masjid, tidak kira makanan itu dari jenis makanan kering/ringan seperti kurma mahupun makanan berat seperti hidangan daging. Namun, dia hendaklah memastikan kebersihan masjid dan kawasan sekitarnya daripada dikotori mahupun dicemari sehingga akhirnya menimbulkan ketidakselesaan jemaah yang hadir kerana menjaga kebersihan masjid adalah wajib.

Meskipun begitu, kami menyarankan jika tiada sebarang keperluan untuk makan di dalam masjid terutamanya makanan berat, maka sebaiknya ia dielakkan dan makanlah di kawasan luar masjid ataupun di kawasan pekarangan masjid. Ini adalah lebih baik dan lebih menjaga kebersihan dalam masjid daripada dibimbangi akan tercemar dengan makanan yang tumpah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.”

Nota Hujung:

[1] Sawiq ialah sejenis makanan yang diperbuat daripada gandum dan barli yang halus.