#6885: Pengaruh Pemakanan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah makanan seseorang itu boleh mempengaruhi seseorang sekalipun makanan yang dimakan itu halal?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya.”

(Surah al-Baqarah: 172)

Ibn Kathir berkata: “Ayat ini jelas menunjukkan perintah Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman agar memakan makanan yang baik (halal) daripada apa yang telah Allah SWT rezekikan kepada mereka. Selain itu, mereka juga perlu bersyukur kepada Allah SWT di atas kurniaan tersebut jika benar mereka itu adalah hamba Allah SWT. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/480)

 Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ، ‌إِنَّ ‌اللهَ ‌طَيِّبٌ ‌لَا ‌يَقْبَلُ ‌إِلَّا ‌طَيِّبًا، وَإِنَّ اللهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ، فَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا، إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ} [المؤمنون: 51] وَقَالَ: {يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ} [البقرة: 172] ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟ “

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnyaAllah SWT telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul, maka Allah SWT bersabda: (Wahai para Rasul! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kami beramal soleh). Dan Allah SWT berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman! Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu). Kemudian Baginda SAW menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang rambutnya kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan kelangit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?”

Riwayat Muslim (1015)

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa: Sesiapa yang hartanya lebih banyak daripada sumber yang haram, makruh untuk menerima pemberian daripadanya sebagaimana makruh melakukan apa-apa transaksi dengannya.(Lihat Raudhat al-Talibin wa ‘Umdat al-Muftin, 337/7)

Menjawab persoalan di atas, Syeikh Abdullah Nasih Ulwan berkata dalam Tarbiyyah al-Aulad bahawa makanan memang boleh mempengaruhi seseorang mengikut pakar Farmakologi. Dikatakan bahawa ada dua ekor unta sanggup berlawan sehingga tiada satu yang mengalah, yang akhirnya kedua-dua mati. Lantas dikira unta sebahagian daripada haiwan yang paling ganas.

Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah pernah berkata bahawa orang Arab suka makan unta, maka mereka mengambil sikap dan sifat daripada unta yang ghairah serta keras. Sedangkan orang-orang Turki suka makan kuda, maka dia mengambil daripadanya sifat kasar dan kekuatan. Sedangkan bangsa Eropah suka makan khinzir, maka mereka mengambil sifat hina dan kerendahan nilai akhlak. Orang-orang sebahagian Afrika suka makan kera atau monyet, maka mereka mengambil daripadanya sifat suka menyanyi atau buat bising.

Ibn al-Qayyim pula berkata bahawa setiap orang mengikut apa yang menjadi dekat dengan haiwan, yang sentiasa bersama dengannya. Dan dia akan mengambil tabiat dan kelakuan haiwan tersebut. Apabila dia makan dan merasa daging haiwan tersebut, maka keserupaan dengan haiwan tersebut lebih kuat.

Kami katakan, pada zaman kini, kebanyakan kita suka makan ayam. Maka kami mengambil daripada sifat ayam tersebut seperti bertempik, kehinaan, mengangguk-anggukkan kepala dan lain-lain lagi. Inilah yang menyebabkan kita dikalahkan oleh bangsa yang lain. Betapa ramainya mereka yang berperangai seperti ayam pada zaman kita kecuali apa yang dirahmati oleh Allah. Isu di sini bukan bermaksud dilarang memakan sesuatu yang halal di sisi Allah, tetapi menjadi kelaziman dan kebiasaan kesan daripada pemakanan boleh mempengaruhi seseorang. Justeru, pilihlah makanan yang terbaik sebagaimana yang dinyatakan dalam nas seperti di atas. Bahkan makanan yang terbaik, yang mempunyai dua sifat: bersih, berzat dan halal akan memberi kesan yang besar sehingga doa seseorang itu akan mustajab. Inilah pesanan Nabi SAW kepada Sa’d bin Abi Waqqas R.A:

يَا سَعْدُ ! أَطِبْ مَطْعَمَكَ ، تَكُنْ مُسْتَجَابَ الدَّعْوَةِ

 Maksudnya: “Wahai Sa’ad, perelokkanlah makananmu, nescaya doamu akan mustajab.”

Riwayat al-Tabarani (6495) dalam kitab al-Mu’jam al-Awsat. Hadith ini dinyatakan sebagai dha’if jiddan oleh pengarang al-Silsilah al-Dha’ifah (1812).

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Maka, memakan makanan yang halal, meminum minuman yang halal, berpakaian dengan pakaian yang halal termasuk dalam perkara yang menjadi sebab untuk dimustajab dan diperkenankan doa.” (Lihat Jami’ al-’Ulum wa al-Hikam, 12/25)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”