#6887: Merancang dan Menyusun Prioriti

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, bagaimana bentuk merancang dan menyusun prioriti dalam kehidupan kita seharian?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian – Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-Asr:1-3)

Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat pertama dari surah al-‘Asr ini berkata: “Tuhan kita bersumpah dengan al-‘ashr sementara makna al-‘asr adalah sebutan masa iaitu senja, malam dan siang dan tidak dikhususkan dengan salah satu maknanya dan mengesampingkan makna yang lainnya. Jadi semua boleh disebut dengan sebutan ini dan tercakup dalam sumpah Allah SWT tersebut. (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/589).

Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya (1/319) menaqalkan pandangan Imam al-Syafie Rahimahullah yang berkata:

لَوْ تَدَبَّرَ النَّاس هَذِهِ السُّورَة لَكَفَتْهُمْ

Maksudnya : “Sekiranya manusia mentadabbur (apa yang terkandung dalam) surah ini (al-Asr), nescaya sudah memadai bagi mereka.”

Imam al-Syaukani pula menyebut: “Allah SWT bersumpah dengan masa iaitu waktu kerana di dalamnya terdapat pelbagai pelajaran, dari sudut berlalunya malam dan siang dengan perhitungan putarannya serta pergantian gelap dan terang. Sesungguhnya pada demikian itu terdapat petunjuk yang jelas terhadap Pencipta yang Maha Perkasa, Maha Mulia dan untuk bertauhid hanya kepadaNya. (Lihat Tafsir Fathul Qadir, 8/56).

Al-Maraghi berkata bahawa Allah bersumpah dengan masa kerana di dalamnya terdapat banyak peristiwa dan pelajaran yang dijadikan sebagai petunjuk tentang kekuasaan, ketinggian hikmah dan keluasan ilmuNya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7696).

Dalam Sofwah al-Tafasir oleh Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni menerangkan bahawa masa adalah diantara penyebab kepada kebahagiaan manusia atau kebinasaannya dalam kehidupan. Ia juga menunjukkan dalil-dalil kepada kekuasaan Allah dan hikmahnya. Justeru, manusia yang bijaksana itu akan mempunyai empat sifat yang dinyatakan untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sifat tersebut dianggap sebagai asas iman. Asas-asas tersebut ialah iman, amal yang soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan berpegang dengan kesabaran. (Lihat Sofwah al Tafasir, 3/578).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan sebuah hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Bahawasanya apabila Rasulullah SAW mengutuskan Muaz R.A ke Yaman, Baginda bersabda:

إِنَّكَ تَقْدَمُ عَلَى قَوْمٍ أَهْلِ كِتَابٍ فَلْيَكُنْ أَوَّلَ مَا تَدْعُوهُمْ إِلَيْهِ عِبَادَةُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ فَإِذَا عَرَفُوا اللَّهَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي يَوْمِهِمْ وَلَيْلَتِهِمْ فَإِذَا فَعَلُوا فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ زَكَاةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ فَإِذَا أَطَاعُوا بِهَا فَخُذْ مِنْهُمْ وَتَوَقَّ كَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau akan datang kepada kaum ahli kitab. Maka hendaklah mereka engkau menyeru terlebih dahulu, supaya mereka mengakui Keesaan Allah. Apabila mereka telah mengetahui (mengakui) hal itu, khabarkanlah kepada mereka, bahawa Allah mewajibkan kepada mereka solat lima kali dalam sehari semalam. Setelah mereka mengerjakan solat, beritakanlah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka membayar zakat harta yang diambil daripada orang yang kaya dalam kalangan mereka lalu diberikan kepada golongan miskin mereka. Setelah mereka mengakui hal itu, ambillah daripada mereka dan jauhilah mengambil harta yang berharga kepunyaan orang banyak.”

Riwayat al-Bukhari (7372) dan Muslim (28)

Golongan yang berjaya tidak menetapkan objektif-objektif sahaja. Malah, mereka mengatur langkah bagi mencapainya. Dengan pengaturan langkah ini, mereka akan menyusun prioriti-prioriti mereka supaya langkah-langkah mereka tidak terlalu sesak untuk dilakukan. Oleh itu, mereka mengutamakan perkara yang lebih penting terlebih dahulu. Lihatlah kepada pengaturan pelaksanaan nabawi yang disediakan oleh Nabi SAW bagi mencapai tujuan menyampaikan agama kepada penduduk Yaman:

  • Memilih Mu’az bin Jabal R.A untuk menjalankan tugas ini;
  • Menjelaskan kepadanya akan arah yang akan dituju olehnya;
  • Menjelaskan kepada Mu’az akan ciri-ciri majoriti komuniti yang akan dijumpai oleh Mu’az;
  • Menetapkan bagi Mu’az akan pelan tindakan tugas tersebut iaitu dakwah kepada tauhid, solat, zakat diikuti dengan menjauhi kezaliman dalam urusan zakat. Perkara-perkara ini mewakili nilai-nilai teras yang bertitik tolak daripadanya pelan tindakan tersebut. Justeru, pengaturan langkah mengikuti nilai-nilai yang teratas adalah perancangan yang berjaya;
  • Menyusun keutamaan tugasan-tugasan tersebut buat Mu’az ; yakni tauhid adalah keutamaan yang paling penting lalu diikuti oleh susunan langkah-langkah bagi tugasan-tugasan yang selebihnya.

Antara cara penyusunan waktu dan interaksi dengan urusan-urusan kehidupan adalah Kotak Pengurusan Keutamaan. (Lihat First Thing First, Stephen R. Covey, hlm. 38)

Penulis akan melakukan aplikasi kotak tersebut ke atas kisah pengutusan Mu’az R.A oleh Nabi SAW ke Yaman dengan menyebutkan contoh-contoh hipotesis bagi tujuan pencerahan:

  SEGERA TIDAK SEGERA
PENTING Kritikal

(1)  Bertindak

Efisien

(2)  Rancang

TIDAK PENTING Tipu Daya

(3)  Penyumberan Luar

Sia-Sia

(4)  Buang

Rajah 1: Kotak Eisenhower

Kotak Pertama: Kritikal (Penting dan Segera)

Supaya kita dapat membayangkan keadaan Mu’az R.A ketika Nabi SAW memerintahkan kepadanya untuk bermusafir ke Yaman, dan ini merupakan keadaan yang kritikal dan penting, Mu’az hendaklah bersedia dengan bekalan dan unta tunggangan serta tidak menyibukkan dirinya dengan persediaan dari sudut intelektual, akidah dan fiqh untuk berdakwah. Keutamaan pada ketika ini adalah persediaan untuk bermusafir. Akan tetapi, bukankah persediaan intelektual itu lebih utama?

Benar, ianya lebih utama tetapi tidak bersifat segera. Perkara yang penting dan perlu dilakukan segera pada saat itu adalah persediaan untuk bermusafir. lanya lebih utama dari sudut tindakan dan pelaksanaan walaupun persediaan fiqh dan intelektual itu lebih utama dari sudut nilai.

Kotak Kedua: Efisien (Penting tetapi Tidak Segera)

Nabi SAW memilih Mu’az R.A hanyalah setelah Baginda memupuknya dari sudut akidah, akhlak dan fiqh serta mempersiapkannya untuk berdakwah. Ini ialah suatu perkara yang penting kerana ia terkait dengan nilai yang tertinggi iaitu menyebarkan tauhid. Perancangan strategi dalam bab ini memiliki tempoh yang panjang sehinggakan apabila Nabi SAW perlu kepada Mu’az R.A, Baginda mendapati Mu’az R.A dalam keadaan bersedia untuk menjalankan tugas ini. Inilah apa yang ditentukan oleh Nabi SAW pada waktu tersebut tentang perkara ini.

Inilah kotak perancangan orang-orang yang berjaya. Mereka menyusun masa mereka mengikut nilai yang tertinggi terlebih dahulu. Saat berlaku sesuatu yang kritikal, seseorang insan itu akan bersedia untuk menjalankan tugasannya.

Golongan yang berjaya menghabiskan sebahagian besar masanya pada perkara yang penting namun tidak segera menurut visi kehidupan mereka. Mereka tidak menjadikan hayat mereka digadaikan oleh perkara-perkara yang kritikal. Ketika ia terjadi, mereka akan bersedia menghadapinya.

Seandainya kita membayangkan Mu’az R.A, antara sahabat yang paling faqih, tidak mengutamakan pembentukan intelektual, akidah, dakwah dan seumpamanya, adakah dia akan berjaya dalam tugasannya ini?

Kotak Ketiga: Tipu Daya (Tidak Penting tetapi Segera)

Ketika persediaan Mu’az R.A untuk rehlah musafirnya, jirannya memanggilnya untuk makan tengah hari. Ini ialah perkara yang segera kerana waktu makan tengah hari sudah pun tiba. Akan tetapi, ianya tidaklah penting bagi Mu’az R.A yang sedang melakukan persiapan untuk perjalanannya. Oleh itu, kesibukan Mu’az R.A dengan makan tengah hari ketika melakukan persiapan pengembaraannya tidak disebutkan.

Kotak Keempat: Sia-Sia (Tidak Penting dan Tidak Segera)

Adakah kita terbayang bahawasanya Mu’az R.A menyibukkan dirinya dengan menghiasi kudanya sebagai persiapan untuk bermusafir sedangkan ianya tidaklah penting mahupun perlu segera dilaksanakan? Malahan, ianya membuang masa sahaja. Maka, tidak mungkin baginya untuk melakukan sedemikian.

Dalam realiti dunia pengajian, penulis mendapati kebanyakan pelajar kelam kabut pada malam peperiksaan. Bahkan, ahli keluarga mereka juga wajib berbuat demikian dengan menganggap ia adalah sesuatu yang penting dan segera. Lantaran itu, pelajar itu mengalami tekanan, kekeliruan dan tekanan psikologi. Tidak syak lagi bahawa peperiksaan itu penting tetapi ia tidaklah segera di sisi orang yang berjaya kerana dia akan melakukan persediaan untuk menghadapinya sebulan sebelum masanya.

Justeru, dia akan memiliki kelapangan masa untuk memahami dan mengulang kaji subjek pengajian. Apabila tiba masa peperiksaan, ia akan menjadi perkara yang segera lalu dia akan melakukan ulang kaji dengan tenang dan tenteram jauh daripada kekalutan. Inilah beza antara orang yang berjaya dengan selainnya. Mereka tidak meletakkan perkara yang penting pada kotak kritikal.

Malahan, mereka melakukannya sebelum tiba waktunya bagi memanfaatkan masa. Hal ini kerana kamu tidak mengetahui apabila kamu melengahkannya adakah mungkin kamu dapat menyelesaikannya sebelum tiba masanya? Kadangkala seseorang itu menyibukkan diri dengan sesuatu urusan yang tidak ada kepentingan sekalipun.

Dari sini, kita dapat fahami hadis Nabi SAW:

‏ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya: “Ada dua nikmat yang sering kebanyakan manusia tertipu tentangnya (sering melupakannya) iaitu waktu sihat dan waktu lapang.”

Riwayat al-Bukhari (6412)

Antara contoh realiti pengurusan masa yang buruk menurut Kotak Eisenhower ini ialah sebahagian orang, berbanding menyibukkan diri dengan kotak efisien yang penting walaupun tidak segera, dia berterusan obses dengan telefon bimbitnya dalam membalas setiap perbualan walaupun ianya tidak penting mahupun segera. Dia menghabiskan masa yang lama untuk mengikuti alat-alat komunikasi dengan mengorbankan perkara-perkara yang penting.

Kemudian, dia mengadu akan kesempitan masa dan kekurangan berkat pada masanya sedangkan isunya adalah penyusunan prioriti dan pengurusan masa. (Lihat 40 Hadis Aspirasi Kejayaan Rasulullah SAW oleh Prof. Dr. Ali Ibrahim Sa’ud al-’Ajeen, hlm. 236-244)

Kami akhiri dengan kita sentiasa bertawakkal kepada Allah di samping berazam dan banyakkan berdoa kepada-Nya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ ‎

Maksudnya: “Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

(Surah Ali Imran: 159)

Ibn Rajab menyatakan bahawa hakikat tawakal adalah benarnya penyandaran hati kepada Allah SWT dalam meraih maslahat dan menolak mudarat berhubung urusan dunia dan akhirat, menyerahkan semua urusan kepada Allah SWT, serta pengukuhan iman bahawa tidak ada yang memberi, menghalang, memudaratkan dan memberikan manfaat kecuali   Dia. (Lihat Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam, 3/1266).

Marilah kita berdoa:

رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”