#6890: Fiqh Tanzil

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, apakah maksud Fiqh Tanzil dan bagaimana pelaksanaannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: “Oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).”

Surah al-Taubah (122)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ayat ini diturunkan bagi melengkapkan hukum-hukum yang bersangkut dengan perjuangan. Iaitu hukum mengenai pencarian ilmu dan mendalami urusan agama. Ertinya, melalui mempelajari ilmu secara mendalam itu merupakan suatu cara berjuang yang menggunakan hujjah dan menyampaikan beberapa bukti dan juga merupakan suatu rukun yang terpenting dalam aspek menyeru kepada keimanan dan menegakkan sendi-sendi Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2937)

Antara maksud Fiqh al-Tanzil ialah dengan cara melihat tertib, kedudukannya dan bersifat tadarruj. Maka seolah-olah ia memberi makna sebuah fiqh yang disusun merangkumi ilmu dengan sesuatu dan kefahamannya sehingga dapat kita  meletakkannya secara tadarruj berdasarkan martabatnya yang sepatutnya. itulah Fiqh al-Tanzil.

Syeikh Dr. Ali Muhyiddin al-Qarahdaghi berkata:

Sesebuah hukum syarak itu perlu kepada fiqh tanzil walaupun ia adalah hukum yang qat’ie dan disepakati. Perkara ini khusus buat para pakar daripada fuqaha rabbani berdasarkan firman-Nya:

 وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَىٰ أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ ۗ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya: “…padahal kalau mereka menyerahkan sahaja hal itu kepada Rasul dan kepada ulul amri (para pemimpin) antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang yang layak mengambil keputusan mengenainya antara mereka. Jika tidak kerana kurniaan dan rahmat Allah kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) mengikut syaitan kecuali sebilangan kecil sahaja (iaitu orang yang teguh keimanannya dan luas ilmunya antara kamu)”

(Surah al-Nisa’: 83)

Oleh sebab ini, Umar R.A tidak melaksanakan hukum potong tangan terhadap pencuri pada ‘am al-maja’ah (tahun kelaparan) kerana terdapat syubhah. Selepas menyatakan syarat-syarat seorang mufti yang agak berbeza dengan seorang alim, al-Syatibi berkata, “Justeru, jika dia seorang mufti, dia boleh berbicara dan memberi fatwa tentang perkara halal dan haram. Manakala, jika dia bukan seorang mufti, dia hanya boleh berbicara tentang ilmu sahaja, tidak boleh memberi fatwa.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 1/46)

Berpandukan segala perkara yang telah disebutkan sebelum ini, jihad yang membawa konotasi perang di jalan Allah SWT bagi melindungi agama, negara dan menolak sebarang bahaya adalah suatu kenyataan yang tidak disangkal oleh sesiapa pun. Bahkan, tidak mungkin wujud sebuah negara yang terpelihara tanpa ada keupayaan untuk melindunginya dan maslahatnya. Keupayaan yang mencukupi itulah faktor penghalang daripada berlakunya peperangan kerana pihak musuh pasti akan berfikir masak-masak jika mereka mengetahui kemampuan dan persediaan lawannya. Bertitik-tolak daripada kenyataan ini, kita dapati bahawa kedua-dua perang dunia yang berlaku pada awal kurun ke-20 sehinggalah pertengahannya telah memusnahkan tanam-tanaman dan hidupan.

Akan tetapi, sejurus selepasnya, wujud kekuatan senjata nuklear pada dua kuasa besar dunia, iaitu Amerika dan Kesatuan Soviet. Perang Dunia Ketiga belum berlaku; Islam menyeru penganutnya, sejak 1400 tahun yang lalu, untuk menyediakan kekuatan bagi menghalang sebarang pencerobohan musuh, bukan untuk berperang. (Lihat Kerahmatan dalam Islam dan Fenomenan Terrorisme, hlm. 330-331)

Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”