#6893: Isteri Meminta Suami Lafaz Ta’liq

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Isteri sahabat saya minta suaminya lafaz taklik kalau suaminya buat lagi kesalahan yang sama Maka jatuh talak tiga. Kawan saya terpaksa lafaz taklik itu. Kalau perkara yang sama itu terjadi jatuh tidak taklik itu. Terima kasih ustaz.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Taʻliq  ialah  suami menggantungkan talaq kepada isterinya dengan sifat atau syarat  yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain atau berlaku pada masa  hadapan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

Fuqaha  empat mazhab  sependapat sabit talaq dengan lafaz ta’liq. Hal ini kerana fuqaha berhujah  berdasarkan dalil  pensyariatan talaq secara mutlak merupakan hak suami sebagaimana firman Allah SWT:

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ

Maksudnya : “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Ayat ini  bersifat umum tanpa membezakan talak secara langsung   (التنجيز)  mahupun  tidak langsung tergantung (التعليق). Oleh itu, suami berhak menjatuhkan talak ke atas isterinya sebagaimana yang dikehendaki sama ada segera atau disandarkan pada masa akan datang (ta’liq) sama ada bentuk sumpah dan sebagainya (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/447)

Perkataan yang digunakan bagi pensyaratan ta’liq  ialah  jika, apabila, kalau dan seumpamanya.  Sebagai contoh “Kamu tercerai sekiranya keluar daripada rumah ini”. (Lihat al-Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, 7/444)

Rasulullah SAW bersabda :

الْمُسْلِمُونَ عند شُرُوطِهِمْ

Maksudnya “Orang Islam terikat dengan syarat-syarat yang ditetapkan.”

   Riwayat al-Hakim (1352)

Implikasi talaq  ta’liq

  • Tidak jatuh talaq selagi sesuatu yang disyaratkan belum berlaku.
  • Mereka kekal sebagai suami isteri selagi syarat yang dikaitkan dengan ta’liq tidak berlaku walaupun ia pasti berlaku “Apabila tiba bulan ramadhan engkau tercerai”
  • Jatuh talaq apabila syarat yang berkaitan itu berlaku (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/128)

Dalam bab “Syarat Dalam Talak” al-Syirazi menyatakan : Jika perceraian dikaitkan dengan syarat yang bukanlah suatu hal yang mustahil seperti masuk ke rumah atau datangnya bulan, maka ia tergantung pada menepati syarat tersebut. Jika syarat tersebut dipenuhi maka,berlakulah perceraian, dan jika syarat tersebut tidak terpenuhi,maka tidak berlakulah perceraian.(Lihat al-Muhazzab Fi Fiqh al-Imam al-Syafie, 3/21)

Syarat-Syarat Paksaan

terdapat sebelas syarat-syarat terjadinya paksaan. Sesuatu tindakan hanya akan dianggap sebagai suatu paksaan dan membabitkan implikasi syara’ apabila ia memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Orang yang memaksa berkemampuan melaksanakan ancamannya. Jika tidak, ia hanya dikira sekadar gurauan. Ini kerana, kebenaran untuk melakukan perkara yang dipaksa kerana darurat hanya diberikan apabila orang yang memaksa benar-benar berkuasa.

  1. Orang yang dipaksa merasakan besar kemungkinan orang yang memaksa akan melaksanakan apa yang dikatakannya dan apa yang diancamnya jika tuntutannya tidak dipenuhi.
  2. Orang yang dipaksa tidak mampu membebaskan diri daripada orang yang memaksa dan juga paksaan tersebut. Sama ada dengan cara melarikan diri, melawan, meminta bantuan atau sebagainya.
  3. Orang yang dipaksa mestilah orang yang tidak dibenarkan melakukan apa yang dipaksa sebelum dia menerima paksaan tersebut atas sebab-sebab tertentu. Contohnya tindakan tersebut mengancam hak miliknya seperti memusnahkan hartanya sendiri, atau ia mengancam hak milik orang lain seperti memusnahkan harta orang lain, atau kerana hak syara’ seperti minum arak, berzina dan sebagainya.
  4. Ancaman yang dikenakan mestilah lebih berat bagi orang yang dipaksa berbanding perbuatan yang dipaksa. Oleh itu sesiapa yang diancam akan ditempeleng sekiranya tidak memusnahkan hartanya dalam keadaan ditempeleng adalah lebih ringan baginya berbanding memusnahkan hartanya sendiri, maka ia tidak dianggap sebagai paksaan. Sebaliknya, jika mangsa diancam akan dibunuh jika tidak mahu memotong tangannya, ia dikira sebagai paksaan. Ini kerana ancaman bunuh adalah lebih berat berbanding perkara yang dipaksa iaitu memotong tangan. Dalam keadaan ini, dia boleh memilih perkara yang lebih ringan.

Menurut riwayat yang sahih daripada Aisyah R.Anha katanya:

مَا خُيِّرَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ أَمْرَيْنِ أَحَدُهُمَا أَيْسَرُ مِنَ الآخَرِ إِلاَّ اخْتَارَ أَيْسَرَهُمَا

Maksudnya: “Setiap kali Rasulullah SAW diberi pilihan antara dua perkara, dan salah satu daripadanya adalah lebih mudah daripada yang satu lagi, Baginda akan memilih yang lebih mudah.”

Riwayat al-Bukhari (6786)

  1. Dengan melakukan perkara yang dipaksa, ia mestilah melepaskan orang yang dipaksa daripada ancaman. Jika seseorang berkata: “Bunuhlah diri kamu, jika tidak saya akan bunuh kamu.” Ancaman ini tidak dianggap sebagai paksaan kerana dengan membunuh diri, ia tidak melepaskan dirinya daripada ancaman.

Demikian juga jika seseorang diancam untuk dipotong tangannya, jika dia tidak mahu memotong tangannya sendiri. Dalam keadaan ini, orang yang dipaksa tidak boleh melaksanakan paksaan tersebut kerana pada hakikatnya dia sebenamya tidak dipaksa. Ini kerana orang yang dipaksa sebenarnya mestilah terlepas daripada ancaman jika dia melakukan apa yang dipaksa.

Jika dia sendiri membunuh dirinya atau memotong tangannya, bahaya sudah pasti berlaku kerana dia sendiri yang melaksanakannya. Namun jika dia tidak dilakukannya, ancaman tersebut masih belum pasti berlaku. Mungkin orang tersebut hanya memaksa tetapi tidak akan melakukannya.

  1. Ancaman tersebut mestilah bersifat serta-merta. Paksaan tidak wujud jika ancaman tersebut diberikan tempoh tertentu. Ini kerana dengan tempoh yang ada, mungkin orang yang dipaksa boleh menyelamatkan dirinya dengan meminta tolong, menuntut perlindungan pihak berkuasa atau sebagainya.
  2. Orang yang dipaksa tidak boleh melakukan selain daripada perkara yang dipaksa, ataupun melakukan melebihi apa yang dipaksa, ataupun melakukan kurang daripada perkara yang dipaksa. Ini kerana jika dia melakukan salah satu daripada tiga perkara ini, dia dikira sebagai menurut perintah dan bukan lagi dipaksa.

Contohnya, apabila seseorang dipaksa menceraikan isterinya, tetapi dia menjual rumahnya. Demikian juga jika dia dipaksa menceraikan isterinya dengan talak satu tetapi dia menceraikannya dengan talak tiga. Begitu juga jika dia dipaksa menceraikan isterinya dengan talak tiga tetapi dia menceraikannya dengan talak satu.

Dalam ketiga-tiga kes di atas, tindakan mereka dianggap berkuatkuasa. Ini bermakna dia tertakluk kepada hukum dan kesan daripada tindakannya, sama seperti jika dia melakukannya dengan pilihannya sendiri. Ini kerana tindakan ini tidak dianggap sebagai paksaan.

  1. Perkara yang dipaksa mestilah telah ditentukan dan mestilah hanya satu. Jika seseorang dipaksa menceraikan salah seorang isterinya atau, membunuh Zaid atau Amru, tindakan ini tidak dianggap sebagai paksaan.

  1. Perkara yang diancam mestilah tidak berhak diperlakukan sedemikian. Contohnya seorang muflis yang tidak dibenarkan menguruskan hartanya dipaksa supaya menjual hartanya. Begitu juga orang yang melafazkan ila kemudian dipaksa untuk menceraikan isterinya.

Demikian juga orang yang membunuh dengan sengaja diugut untuk dikenakan qisas. Semua ini sebenarnya bukan paksaan kerana paksaan- paksaan ini memang berhak diterima oleh orang yang dipaksa.

  1. Perkara yang dipaksa mestilah bukan hak pemaksa yang akan digunakan untuk memperolehi sesuatu yang bukan hak atau tanggungjawabnya.

Contohnya suami mengancam isteri bahawa dia akan menceraikannya jika si isteri tidak memansuhkan hutangnya kepada isterinya itu. Ancaman ini bukan suatu paksaan. Jika si isteri melupuskannya, hutang tersebut dianggap lupus dan dia tidak berhak menuntutnya kembali selepas itu.

Walau bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, ancaman ini dianggap sebagai suatu paksaan kerana suami mempunyai kuasa ke atas isteri. Dengan ini, wujud unsur paksaan. Berdasarkan pendapat ini, jika si isteri melupuskan hutang untuk melepaskan diri daripada ancaman tersebut, suami masih bertanggungjawab membayar hutang tersebut. Malah isteri berhak menuntutnya selepas itu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji,7/195)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sekiranya si suami melafazkan taklik sepertimana yang diminta oleh si isteri, maka jatuhlah talak apabila terjadi perkara tersebut. Ini kerana ia tidak termasuk dalam bab paksaan kerana ia tidak boleh mengancam nyawa  seperti akan dibunuh jika tidak melafazkannya atau seumpamanya.

Dalam isu ini juga Imam al-Nawawi menyatakan: Paksaan terhadap kata kata atau perbuatan tanpa hak adalah tidak sah sama ada memaksa dalam perkara  murtad, jual beli, sewa, nikah, khulu’, talak, membebaskan hamba atau sebagainya. Adapun paksaan yang dibenarkan oleh syara’ adalah sah dan dibolehkan. (Lihat Raudah al-Talibin, 8/56)

Justeru kami katakan bahawa seorang isteri tidak dibolehkan untuk meminta cerai daripada suami melainkan sebab-sebab yang diharuskan oleh syara’. Larangan tersebut boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

المختلِعاتُ هنَّ المنافقاتُ

MaksudnyaWanita-wanita yang memintai cerai dengan mengembalikan hak-haknya adalah munafik.

Riwayat Nasa’i (3461)

Sekiranya suami tidak menerima talak maka tidak dibolehkan bagi isteri untuk memaksanya melainkan terdapat sebab-sebab yang diharuskan oleh syara’. Kami syorkan jika  terdapat permasalahan rumahtangga adalah lebih baik untuk merujuk kepada mahkamah syari’ah agar dapat menemui jalan penyelesaian.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a’lam