#6902: Tanggungjawab Lelaki Terhadap Wanita Yang Pernah Disetubuhinya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Adakah seorang lelaki perlu bertanggungjawab dengan seorang wanita yang dia telah bersetubuh dengannya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan dengan firman Allah SWT di dalam al-Furqan, firman-Nya:

ٱلزَّانِی لَا یَنكِحُ إِلَّا زَانِیَةً أَوۡ مُشۡرِكَةࣰ وَٱلزَّانِیَةُ لَا یَنكِحُهَاۤ إِلَّا زَانٍ أَوۡ مُشۡرِكࣱۚ وَحُرِّمَ ذَ ٰ⁠لِكَ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِینَ

Maksudnya: “Penzina lelaki tidak boleh bernikah kecuali dengan penzina perempuan ataupun perempuan musyrikah, begitu juga penzina perempuan tidak boleh bernikah kecuali dengan penzina lelaki atau lelaki musyrik. Kedua-duanya diharamkan untuk orang-orang yang beriman.”

(Surah al-Nur: 3)

Berdasarkan tafsiran ayat di atas, para ulama silam berbeza pendapat tentang kebolehan untuk menikahi wanita yang telah berzina. Sebahagian ulama Salaf seperti ‘Abdullah bin Mas’ud RA mengharamkannya berdasarkan zahir ayat di atas. Imam Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata ketika menafsirkan ayat di atas beliau berkata: “Ibn Mas‘ud mengharamkan perbuatan berkahwin dengan penzina perempuan, beliau berkata: ‘Jika penzina lelaki berkahwin dengan penzina perempuan; mereka berdua adalah kekal penzina selama-lamanya!’” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 3/380)

Namun, pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi‘i adalah ayat ini telah mansukh (dimansuhkan). Ini sebagaimana dinyatakan oleh Imam Muhammad bin Idris al-Syafi‘i bahawa ayat, “الزَّاني لا يَنْكِحُ إلا زانيةً” (Penzina lelaki tidak boleh bernikah kecuali dengan penzina perempuan…) adalah mansukh. Ia telah dimansuhkan dengan ayat, “وأنْكِحُوا الأَيَامَى منكُمْ” (Dan nikahilah hamba-hamba perempuan dalam kalangan kalian) iaitu semua hamba perempuan kaum Muslimin (tanpa terkecuali).” (Lihat Musnad al-Syafi‘i, 2/17)

Dibolehkan untuk menikahi perempuan yang berzina, begitu juga lelaki; seperti mana yang difatwakan oleh para ulama Salaf. Imam Abu al-Qasim al-Rafi‘i berkata: “Diriwayatkan mengenai keharusan (menikahi seseorang yang telah berzina) daripada Abu Bakar (al-Siddiq), Jabir (bin Abdullah) dan Abu Hurairah R.Anhum.” (Lihat Syarh Musnad al-Syafi‘i, 3/391).

Bahkan perbuatan menganjurkan agar penzina lelaki mengahwini perempuan yang disetubuhinya itu adalah anjuran Saidina Umar bin al-Khattab RA. Namun, ia merupakan cadangan dan gesaan yang berbentuk nasihat supaya menutup aib dan memelihara maruah kedua-dua pihak. Bukan suatu kewajiban. ‘Ubaidullah bin Abu Yazid meriwayatkan daripada bapanya, Abu Yazid bahawa:

أَنَّ رَجُلًا تَزَوَّجَ امْرَأَةً وَلَهَا ابْنَةٌ مِنْ غَيْرِهِ، وَلَهُ ابْنٌ مِنْ غَيْرِهَا، فَفَجَرَ الْغُلَامُ بِالْجَارِيَةِ فَظَهَرَ بِهَا حَبَلٌ، فَلَمَّا قَدِمَ عُمَرُ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ مَكَّةَ رُفِعَ ذَلِكَ إِلَيْهِ، فَسَأَلَهُمَا فَاعْتَرَفَا، فَجَلَدَهُمَا عُمَرُ الْحَدَّ، وَحَرَصَ أَنْ يَجْمَعَ بَيْنَهُمَا فَأَبَى الْغُلَامُ

Maksudnya: “Ada seorang lelaki menikahi wanita yang mempunyai anak perempuan (hasil perkahwinan) dengan lelaki lain. Dan lelaki itu juga mempunyai anak lelaki (hasil perkahwinan) dengan perempuan lain. Maka, anak lelaki itu pun berzina dengan anak perempuan; lantas wanita itu pun hamil. Apabila Umar tiba di Makkah, kes ini diangkat kepada beliau. Umar bertanya mereka berdua dan kedua-duanya mengakui kesalahan tersebut. Lantas, Umar menyebat mereka berdua bagi melaksanakan hukuman hudud, kemudian Umar menggesa mereka berdua supaya berkahwin, namun anak lelaki itu tidak mahu.”

Riwayat al-Syafi‘i dalam al-Musnad (38) dan al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (13875)

Dihikayatkan bahawa Imam al-Syafi‘i berkata: “Lelaki muda itu melakukan kefasikan dan kejahatan dengan perempuan muda tersebut; iaitu dengan melaksanakan dosa zina antara mereka berdua, lantas kedua-duanya dihukum had iaitu dihukum dengan hukuman sebat. Dan perkataan harasa (حَرَصَ) untuk mengahwinkan antara mereka berdua, merupakan isyarat yang menunjukkan kepada keinginan Umar (yakni suatu cadangan) agar mereka berdua dinikahkan supaya boleh memelihara maruah dan menutup aib.” (Lihat Musnad al-Syafi‘i, 2/15)

Imam Abu Ibrahim al-Muzani juga mengisyaratkan bahawa lelaki yang menyetubuhi tidak diwajibkan menikahi wanita yang disetubuhinya secara zina. Beliau (al-Muzani) menaskan:

قال: ولا يُفْسَخُ نِكاحُ حاملٍ مِنْ زِنًا، وأحِبُّ أن تُمسَكَ حتّى تَضَعَ، وقال رجلٌ للنبيِّ -صلى الله عليه وسلم-: إنّ امْرَأتِي لا تَرُدُّ يَدَ لامِسٍ؛ قال: طَلِّقْها، قال: إنّي أحِبُّها، قال: فأمْسِكْها، وضَرَبَ عُمَرُ بن الخطابِ رجلًا وامرأةً في زِنًا وحَرَصَ أن يجْمَعَ بَيْنَهُما، فأبَى الغُلامُ.

“Beliau berkata: Dan tidak difasakhkan pernikahan seorang isteri yang hamil hasil zina (dengan lelaki lain), saya menganjurkan agar wanita itu tetap tidak diceraikan sehinggalah dia bersalin. Seorang lelaki dalam kalangan sahabat Rasulullah SAW mengadu kepada Baginda: “Isteri saya tidak menolak ajakan zina daripada orang lain.” Nabi bersabda: “Ceraikanlah dia.” Dia berkata: “Namun, saya masih mencintai dia.” Nabi berkata: “Jika begitu, tetaplah bersamanya.” Dan Umar bin al-Khattab juga pernah menghukum sebat ke atas lelaki dan perempuan yang berzina, dan Umar menggesa kedua-duanya untuk dikahwinkan antara mereka. Namun, lelaki itu enggan.” (Lihat Mukhtasar al-Muzani, 2/30)

Namun dalam masa yang sama, lelaki yang berzina dengan wanita tetap dibolehkan untuk mengahwini wanita yang disetubuhinya secara zina tersebut. Bahkan dianjurkan seperti mana cadangan Umar bin al-Khattab di atas.

وَسُئِلَ ابْنُ عَبَّاسٍ عَنْ رَجُلٍ فَجَرَ بِامْرَأَةٍ أَيَنْكِحُهَا؟ قَالَ: نَعَمْ

Maksudnya: “Ibn ‘Abbas ditanya: ‘Adakah lelaki yang berzina dengan seorang perempuan, boleh menikahi perempuan tersebut?’ Beliau menjawab: ‘Ya, boleh.’”

Riwayat Sa‘id bin Mansur dalam al-Sunan (886)

Kesimpulannya

Kesimpulannya, kami cenderung berpendapat bahawa lelaki yang telah menyetubuhi seseorang wanita hendaklah mengusahakan agar segera menikahi wanita tersebut demi memelihara maruah kedua-duanya, namun ia adalah anjuran semata-mata bukan suatu kewajiban. Umum mengetahui, kita tidak boleh memaksa sesiapa pun dalam membuat pilihan. Seperti mana yang difatwakan oleh Umar bin al-Khattab R.A. Imam Hasan al-Basri turut berkata:

الزَّانِي الْمَجْلُودُ لَا يَنْكِحُ إِلَّا زَانِيَةً مَجْلُودَةً وَالزَّانِيَةُ الْمَجْلُودَةُ لَا يَنْكِحُهَا إِلَّا زَانٍ مَجْلُودٌ.

Maksudnya: “Penzina lelaki yang telah disebat tidak boleh menikah kecuali dengan penzina perempuan yang telah disebat juga. Dan Penzina perempuan yang telah disebat tidak boleh menikah kecuali dengan penzina lelaki yang telah disebat juga.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 3/381)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا، وَانْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا، وَزِدْنَا عِلْمًا

Maksudnya: “Ya Allah! Ajarkanlah kami ilmu yang bermanfaat, dan manfaatkanlah dengan ilmu yang Engkau ajarkan kepada kami, dan tambahkan ilmu kami.”

Wallahu a‘lam.