#6917: Kunci-kunci Ghaib

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apakah yang dimaksudkan dalam al-Quran dengan kunci-kunci ghaib?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَعِندَهُۥ مَفَاتِحُ ٱلْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَآ إِلَّا هُوَ

Maksudnya: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia.”

(Surah al-An‘am: 59)

Imam Abu Abdillah Fakhruddin al-Razi memperincikan perbahasan ayat ini seperti berikut: Lafaz mafatih (مَفَاتِحُ) ini mempunyai dua tafsiran, ia boleh membawa maksud kunci, dan ia juga mungkin bermaksud khazanah perbendaharaan. Sekiranya ia ditakwilkan dengan tafsiran pertama, maka ia tafsiran dengan kaedah isti‘arah (penggunaan perkataan yang membawa makna lain dari makna asalnya); kerana dengan kunci itu boleh sampai dibuka peti khazanah yang ditutup dan dikunci. Orang yang mengetahui kunci-kunci tersebut dan cara menggunakannya untuk membuka pintu-pintu yang terkunci, dia dapat mencapai apa yang ada di dalam peti-peti tersebut. Begitu juga hakikat di sini, kerana Allah SWT yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Sekiranya lafaz mafatih (مَفَاتِحُ) ditakwilkan dengan tafsiran kedua, bermaksud Allah SWT yang memiliki segala khazanah perbendaharaan yang ghaib itu.

Maka, dalam tafsiran pertama, ia bermaksud Allah SWT Maha Mengetahui tentang perkara ghaib. Manakala dalam tafsiran kedua, ia bermaksud kemampuan Allah SWT dalam menentukan segala kemungkinan yang akan berlaku, sebagaimana dalam firman-Nya:

وَإِن مِّن شَىْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَآئِنُهُۥ وَمَا نُنَزِّلُهُۥٓ إِلَّا بِقَدَرٍۢ مَّعْلُومٍۢ

Maksudnya: “Dan tidak ada sesuatu pun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu.”

(Surah al-Hijr: 21)

Mengapa digunakan lafaz mafatih (مَفَاتِحُ) yang pada zahir bahasa diterjemahkan kepada kunci-kunci? Ini disebabkan al-Quran tidak turun melainkan untuk memberi manfaat buat sekalian makhluk. Adapun ilmu berkenaan perkara ghaib ini amat sukar untuk dijelaskan dan sangat sedikit yang mampu memahaminya. Maka kaedah penyampaian dalam ayat ini adalah dengan memberikan contoh yang dapat dirasai, yang termasuk dalam perkara yang bersifat logik dan umum; agar ia dapat difahami oleh setiap individu. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 13/10)

Syeikh Muhammad al-Tahir bin ‘Asyur pula menjelaskannya dengan bahasa yang lebih mudah dan ringkas, katanya: “Mafatih al-ghaib (مَفَاتِحُ ٱلْغَيْبِ) ini adalah isti‘arah (penggunaan perkataan yang membawa makna lain dari makna asalnya). Perkara-perkara yang ghaib daripada manusia diumpamakan seperti harta yang berharga yang disimpan dalam gudang dan peti besi yang dikunci dengan rapat, di mana tiada yang mengetahui apa yang ada di dalamnya kecuali orang yang memegang kuncinya. Disebutkan ‘kunci’ ini sebagai satu bentuk perumpamaan khayalan sahaja apabila disebutkan ‘kunci-kunci ghaib,’ dalam erti kata hanya Allah SWT yang mempunyai ilmu ghaib yang tidak diketahui oleh selain-Nya.

Al-ghaib (الغَيْبُ) itu pula adalah kata tunggal yang disertakan dengan alif dan lam (ال) ini bermaksud umum,[1] yakni meliputi segala perkara ghaib; kerana segala ilmu berkenaan ini hanya khusus bagi Allah SWT sahaja. Adapun perkara-perkara yang mempunyai tanda-tanda seperti tanda-tanda cuaca dan gejala penyakit di sisi doktor, itu bukanlah daripada perkara ghaib tetapi daripada perkara yang nyata tetapi sukar difahami. Kesukarannya berbeza-beza, dan manusia dalam memperoleh pengetahuan tentangnya juga berbeza-beza. Pengetahuan mereka mengenainya adalah dalam bentuk sangkaan, bukan dalam bentuk kepastian, oleh itu ia tidak dinamakan sebagai ilmu (dengan maksud yakin).

Dikatakan juga, mafatih (مَفَاتِحُ) itu adalah kata majmuk bagi maftah (مَفْتَحٌ) yakni satu ruang yang terbuka, seperti bilik atau peti khazanah yang dikunci segala apa di dalamnya, kemudian dibuka apabila sesuatu di dalamnya itu diperlukan, beginilah yang dinukilkan daripada al-Suddi. Pengetahuan tentang perkara ghaib ini diibaratkan dengan suatu objek yang mampu menyembunyikan perkara-perkara sehingga tidak kelihatan seperti bilik menyimpan khazanah. Ia adalah perumpamaan yang dapat difahami dengan sesuatu yang dapat dirasai oleh pancaindera.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 7/271)

Manakala perkara ghaib yang dimaksudkan dalam konteks ayat tersebut, sepertimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَفَاتِحُ الغَيْبِ خَمْسٌ: {إِنَّ اللَّـهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ}

Maksudnya: “Kunci-kunci (perkara) ghaib itu ada lima:

إِنَّ اللَّـهَ عِندَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَّاذَا تَكْسِبُ غَدًا ۖ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

(Maksudnya: ‘Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang Hari Kiamat. Dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.’) [Surah Luqman: 34].”

Riwayat al-Bukhari (4627)

Dalam riwayat yang lain daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW menyebutkan dengan lafaz yang lebih jelas:

مَفَاتِيحُ الغَيْبِ خَمْسٌ، لاَ يَعْلَمُهَا إِلَّا اللَّهُ: لاَ يَعْلَمُ مَا تَغِيضُ الأَرْحَامُ إِلَّا اللَّهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ إِلَّا اللَّهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى يَأْتِي المَطَرُ أَحَدٌ إِلَّا اللَّهُ، وَلاَ تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِلَّا اللَّهُ، وَلاَ يَعْلَمُ مَتَى تَقُومُ السَّاعَةُ إِلَّا اللَّهُ

Maksudnya: “Kunci-kunci perkara ghaib itu ada lima, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah: Tidak ada yang mengetahui apa yang dikandung oleh rahim wanita melainkan Allah; Tidak ada yang mengetahui apa yang akan berlaku esok melainkan Allah; Tidak ada yang mengetahui bilakah turunnya hujan melainkan Allah; Tidak ada jiwa yang mengetahui di manakah dia akan mati melainkan Allah; Dan tidak ada yang mengetahui bilakah Hari Kiamat melainkan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (7379)

Beginilah serba ringkas berkenaan kunci-kunci ghaib ini. Semoga kita semua beroleh manfaat dan bertambah keimanan serta ketaqwaan kepada Allah SWT, Tuhan yang Maha Mengetahui dan pengetahuan-Nya meliputi segala sesuatu. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketaqwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a‘lam

Nota Hujung:

[1] Imam al-‘Amriti menyebutkan dalam sya‘ir beliau:

……………………                       وَلْتَنْحَصِرْ أَلْفَاظُهُ فِي أَرْبَعِ

الجَمْعُ وَالْفَرْدُ الْمُعَرَّفَانِ                      بِاللَّامِ كَالْكَافِرِ وَالْإِنْسَانِ

“………………………………………

                                    Dan lafaznya terhad kepada empat bentuk;

Kata majmuk dan kata tunggal yang diletakkan

alif dan lam al-Ta‘rifiyyah, seperti: Orang Kafir (الْكَافِرِ) dan manusia (الْإِنْسَانِ).