#6919: Fitnah yang Terbesar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan apakah fitnah yang terbesar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kehidupan ini merupakan fitnah dan ujian daripada Allah termasuk kematian. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Maksudnya: Dialah yang mencipta kematian dan kehidupan, untuk menguji kamu (sehingga zahir) siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya. Dialah yang maha Perkasa lagi maha Pengampun.

(Surah al-Mulk: 2)

Al-Baghawi menukilkan daripada ‘Ata’, daripada Ibn ‘Abbas, katanya: “Kematian akan ditemui di dunia. Sedangkan kehidupan hakiki adalah di akhirat.” Qatadah berkata: “Allah memang menentukan adanya kematian dan kehidupan di dunia. Namun Allah menjadikan dunia ini sebagai negeri kehidupan yang pasti akan binasa. Sedangkan Allah menjadikan negeri akhirat sebagai negeri balasan dan akan kekal abadi.” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 8/173)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan fitnah yang terbesar adalah fitnah Dajjal. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW: Daripada Abi Umamah al-Bahili R.A, sabda Nabi SAW:

 إِنَّهَا لَمْ تَكُنْ فِتْنَةٌ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ، مُنْذُ ذَرَأَ اللهُ ذُرِّيَّةَ آدمَ أَعْظَمَ من فتنةِ الدَّجّالِ، وإنَّ اللهَ عَزَّ وجَلَّ لم يَبْعَثْ نبيًّا إلا حَذَّرَ أُمَّتَه الدَّجّالَ، وأنا آخِرُ الأنبياءِ، وأنتم آخِرُ الأُمَمِ، وهو خارجٌ فيكم لا مَحالةَ، فإن يخرجْ وأنا بين أَظْهُرِكم، فأنا حَجِيجٌ لكلِّ مسلمٍ، وإن يخرجْ من بَعْدِي، فكلٌّ حَجِيجُ نفسِه، واللهُ خَلِيفَتِي على كلِّ مسلمٍ،

Maksudnya: “Sesungguhnya tiadalah fitnah di muka bumi sejak Allah ciptakan zuriat Adam lebih besar daripada fitnah Dajjal dan sesungguhnya Allah azza wa jalla tidak bangkitkan seorang Nabi kecuali dia akan memberi peringatan kepada umatnya perihal Dajjal. Dan aku adalah nabi yang terakhir sedangkan kamu umat yang terakhir. Dia (Dajjal) akan keluar pada kamu tanpa sebarang keraguan dan jika dia keluar sedangkan aku masih hidup bersama kamu, aku akan menjadi benteng dan penghujah bagi setiap orang Islam. Dan jika ia keluar selepas kewafatanku, maka setiap orang hendaklah menjadi benteng untuk dirinya dan Allah lah penggantiku kepada setiap orang Islam.”

Riwayat Abu Daud (4322) dan Ibn Majah (4077). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (7875)

Hadith ini dengan jelas menunjukkan, Dajjal adalah musuh dan fitnah yang terbesar bagi umat Islam pada akhir zaman. Bagi mengelakkan Dajjal dan terpedaya dengan tipu helahnya, maka disarankan dengan beberapa saranan:

  • Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith.
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah serta memperbanyakkan amalan soleh.
  • Beruzlah (menjauhkan atau mengasingkan diri) daripada fitnah yang berlaku.
  • Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
  • Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
  • Dajjal tidak boleh memasuki Makkah dan Madinah.
  • Memperbanyakkan zikrullah (zikir kepada Allah SWT) dan sentiasa ingat kepada-Nya berdasarkan hadith di atas.

Antara nasihat Rasulullah SAW seperti riwayat Abi Hurairah R.A, sabda Baginda SAW:

بادِروا بالأعمالِ سِتًّا: طُلوعَ الشَّمسِ مِن مَغرِبِها، والدجالَ، والدُّخانَ، والدابَّةَ، وخاصَّةَ أحدِكم، وأَمْرَ العامَّةِ.

Maksudnya: Bersegeralah kamu dalam melakukan amalan soleh sebelum datangnya enam perkara: Dajjal, Dukhan (asap), Dabbatul Ardh, Keluar matahari dari sebelah barat, ditimpa kematian dan berlakunya Kiamat.

Riwayat Muslim (2947) dan Ahmad (8446)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”