#6923: Nasihat Imam al-Akbar

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami sebahagian daripada nasihat Syeikh al-Azhar, Prof Dr. Ahmad al-Tayyib berkenaan dengan isu khilaf dengan sebuah kesedaran kepada kita semua?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

(Surah al-Anfal: 46)

Ibn Kathir ketika menjelaskan firman Allah SWT “وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ”, menyebut: Iaitu kekuatan dan semangat kamu semua. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/50)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Janganlah sesekali timbulnya perselisihan dan pertikaian dalam kalangan kamu, kerana yang demikian itu akan menyebabkan hati menjadi gentar, mengalami kegagalan, dan hilangnya kekuatan sehingga akhirnya kamu senang dikalahkan oleh pihak musuh.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2627)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada kitab al-Qaul al-Tayyib, kata Syeikh al-Azhar:

Soalan yang ingin saya lontarkan pada hari ini, dan kita bersama menanti dan mengalu-alukan cadangan serta nasihat tuan-tuan ialah: bagaimana umat Islam ini hendak saling berdamai sesama mereka?

Soalan yang begitu mendukacitakan ini, sayangnya begitu kelam dan gelap peluangnya untuk dijawab jauh sekali direalisasikan.. Cukuplah saya nyatakan di sini, bahawa corak dakwah kebanyakkan umat Islam zaman kini merupakan faktor utama yang menghalang kesatuan umat Islam dan menjadi pendorong umat bagi perpecahan dalam kalangan mereka. Persengketaan dalam kalangan pemuda dan belia umat ini semakin meruncing, betapa banyak aliran-aliran yang makin memarakkan api permusuhan dan memperbesarkan jurang sesama generasi muda umat ini? Di mana perginya kepentingan mereka terhadap isu-isu umat Islam, yang sepatutnya menjadi keutamaan para pendakwah tersebut? Bukankah isu-isu yang lebih besar dan lebih penting lebih berhak dilaungkan dan diutarakan, berbanding agenda sebahagian mereka yang hampir mengharamkan yang halal, dan menghalalkan yang haram?

Adakah para pemuda Islam tahu tentang isu al-Quds dan Masjid al-Aqsa, sepertimana mereka tahu tentang konflik al-Asy‘ariyyah, al-Salafiyyah dan al-Sufiyyah?

Adakah mereka menggunakan akal mereka untuk mengkaji realiti umat kini sebagaimana mereka sibuk membahaskan isu-isu khilaf yang telah lapuk?

Berapa banyak sumbangan intelektual berupa tesis dan jurnal ilmiyyah yang dihasilkan, berbanding buku-buku berunsur sektarianisme dan perpecahan?

Berapa banyak masa dan tenaga kita luangkan untuk bertelingkah isu niqab, berbanding tenaga untuk membahas soal penjajahan Amerika di Iraq, Afghanistan, Somalia dan Sudan?

Mampukah kita berhadapan dengan musuh-musuh Islam dengan pemuda kita yang tidak tahu menahu langsung tentang sejarah musuh mereka, yang tidak arif tentang bumi yang dijajah itu kini?

Bahkan, bagaimana generasi muda kita boleh berpaling daripada kewajiban yang pasti, iaitu perpaduan dan kesatuan umat Islam? Berbanding mereka berbalah tentang isu fiqh semata yang bercampur-baur pembahasannya tentang perkara sunat, wajib, makruh dan haram?

Para ulama’ yang dihormati sekalian, umat kini telah disibukkan dengan isu-isu perbezaan pendapat yang remeh-temeh. Mereka disibukkan dengan isu-isu rumahtangga yang hakikatnya amat minor dan tidak wajib untuk diamalkan, dan tiada masalah pun jika tidak dilaksanakan; seperti isu akikah, isu perempuan keluar rumah pergi ke masjid. Mereka meminggirkan isu yang lebih penting semisal isu berbuat baik kepada ibu bapa, berbaik sesama jiran, nilai kerja, nilai waktu, peri pentingnya kebersihan, rahmat kasih-sayang sesama manusia dan lain-lain isu berupa kewajiban akhlak kemasyarakatan yang dianggap remeh dan terpencil di sisi pemahaman fiqh yang ganjil kini.

Perkara lain lagi, yang mendorong umat kepada keadaan yang serba teruk ini ialah cubaan yang ketara untuk memburukkan dan memperlekehkan para Imam Empat Mazhab, dan usaha untuk membuat sebuah mazhab baharu yang ganjil, mewajibkan ke atas manusia sekalian perkara yang tidak wajib, bahkan tidak masuk akal untuk diwajibkan seperti: solat sunat sebelum Maghrib, pembayaran zakat fitrah menggunakan beras semata-mata dan tidak sah bayar menggunakan barang yang lain. Perbuatan semisal ini tidak diketahui asasnya di sisi majoriti umat Islam dan tidak diamalkan di masjid-masjid umat ini zaman-berzaman, dan tidak diamalkan oleh para fuqaha’ yang merupakan pakar rujuk.

Perkara ketiga yang lebih dahsyat lagi bahaya berbanding yang sebelumnya, wujud usaha untuk merosakkan dan memperlecehkan khazanah kitab-kitab turath Islam, mereka cuba menerbitkannya semula dengan disertakan usaha merendah-rendahkannya, sama ada cubaan untuk memadamnya, atau menambah komentar yang meruntuhkan maksud sebenar yang dikehendaki oleh penulis, lebih-lebih lagi wujudnya penyimpangan daripada metodologi ilmiah yang tepat dalam usaha semakan manuskrip dan penerbitannya.

Rakan-rakan ulama’ sekalian..

Demikianlah perkara yang wajib kita tangani bersama. Jika kita tidak banteras sejak awalnya, tanpa menanamkan kefahaman yang benar dan ilmu yang jelas, nescaya akan bertebaranlah budaya saling mengkafirkan dan menuduh fasik atau ahli bid‘ah, lantas membawa kepada perbuatan keji membunuh, menghalalkan darah, harta dan maruah.

Bagaimanakah aliran keras menyimpang ini boleh tersebar dalam kalangan umat yang dilengkapi kewujudan ulama dan para Imam ulung daripada tiga aliran perdana Islam, yang semuanya berpegang dengan slogan emas. Saya hafal slogan tersebut, dan ia diajarkan di anjung-anjung ilmu al-Azhar semenjak saya masih kecil lagi. Slogan-slogan semisal: ‘Kita tidak mengkafirkan sesiapa pun dalam kalangan ahli kiblat,[1] kita bersolat di belakang setiap Muslim sama ada dia baik atau jahat.[2] Kita tidak mengeluarkan seseorang daripada Islam melainkan jika seseorang itu yakin mahu keluar darinya’,[3] dan lain-lain kaedah jua prinsip yang disematkan supaya memelihara kelangsungan serta kesatuan umat Islam sepanjang zaman. Prinsip ini berdasarkan kepada sabda Nabi SAW di dalam hadith yang sahih:

مَنْ صَلَّى صَلاَتَنَا وَاسْتَقْبَلَ قِبْلَتَنَا، وَأَكَلَ ذَبِيحَتَنَا فَذَلِكَ المُسْلِمُ الَّذِي لَهُ ذِمَّةُ اللهِ وَذِمَّةُ رَسُولِهِ، فَلاَ تُخْفِرُوا اللهَ فِي ذِمَّتِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat dengan cara solat kami, menghadap ke arah kiblat yang sama dengan kiblat kami, makan sembelihan kami, maka dia seorang Muslim yang dinaungi di bawah perlindungan Allah dan Rasul-Nya, maka janganlah kalian mencemarkan perlindungan Allah.”[4]

Saya minta maaf saudara sekalian jika ucapan saya terpanjang, juga atas segala kekurangan daripada hasil segenap kemampuan antara kita. Urusan ini begitu besar dan sukar. Tanggungjawab ini berat yang akan dirasakan beratnya bagi setiap insan yang mengharapkan pertemuan yang baik dengan Allah SWT dalam keadaan membawa amal soleh, dan hati yang sejahtera.

Barangkali kalian menyedari bahawa kita sedang mempersiapkan sesuatu yang besar untuk umat ini, menerusi pertemuan, mesyuarat, persidangan yang kita anjurkan. Oleh kerana itulah, kami menjemput tuan-tuan ke sini untuk berkongsi sudut pandang dari latar aliran yang berbeza, daripada tiga aliran utama dalam arus perdana Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah.

Kita harapkan agar dapat merealisasikan tujuan yang mulia ini untuk mencari solusi berkaitan isu: mencari kesatuan di celah perpecahan, isu takfir (saling mengkafirkan), saling memburukkan, permusuhan sesama kita, dan lain-lain isu yang harus dikaji, disingkap, dibahaskan secara objektif, dengan penuh ketakwaan kepada Allah dan amanah. Kami perlukan nasihat dan pedoman dari kerjasama tuan-tuan semua dalam perkara ini. Kami mahu mendengarnya semua.

Saudara sekalian..

Sesungguhnya persidangan ini dan muktamar-muktamar yang seterusnya yang bakal dianjurkan, dengan izin Allah, bukanlah sebuah idea yang terbiar, atau sekadar perbincangan intelek yang terhenti setakat ucapan dan khutbah yang dilontarkan oleh empunyanya semata, untuk meninggikan profil dan kedudukannya semata. Semua ucapan ini adalah amat kecil jika mahu dibandingkan berbanding nilai usaha-usaha insan dan semua pihak yang terlibat di sebalik tabir yang mengusahakan penganjuran sidang ini.

Waktu kini ialah waktu untuk bekerja dan beramal penuh serius. Bukan waktu untuk berucap dan bercakap semata-mata. Pihak-pihak sekeliling kita bekerja dalam diam dan secara senyap, penuh kecurigaan, sistematik dan penuh mekar. Kita sudah bosan dengan kalam-kalam yang tidak membuahkan amal dan praktik dalam lapangan realiti.

Suka untuk saya berkongsi tinta emas milik Imam Darul Hijrah, iaitu Imam Malik R.A bahawa beliau berkata, “Saya tidak suka sebarang kata-kata yang tiada manfaat untuk diamalkan.”[5]

Saudara sekalian..

Bertakwalah kepada Allah dalam urusan umat kita. Bersikap jelas dan teranglah tentang agenda kita. Ikhlaskan hati dan tuluslah dalam niat hati kita.

Semoga Allah memberi taufik kepada kita semua sepanjang memberi khidmat kepada Islam dan menebarkan manfaat kepada sekalian kaum Muslimin. (Lihat al-Qaul al-Tayyib, 1/292-296)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Nota Hujung:

[1] Lihat Aqidah al-Tahawi, hlm. 21.

[2] Lihat Aqidah al-Tahawi, hlm. 23.

[3] Lihat Aqidah al-Tahawi, hlm. 21.

[4] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (391) menerusi hadith Anas R.A.

[5] Direkodkan oleh Ibn ‘Abd al-Barr secara maknanya di dalam Jami‘ Bayan al-‘Ilm wa Fadlih (1786).